Facebook Atuk Banjar Masin

Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 08, 2018

Najib akan buka pejabat sendiri

Rahimah Abdullah,
Astro Awani | Jun 07, 2018 18:35 MYT
   
NAJIB: "Selain itu, saya juga dalam proses untuk membuka satu pejabat untuk menjalankan urusan peribadi serta memudahkan mereka yang ingin bertemu saya." - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuka sebuah pejabat untuk urusan peribadi dan kemudahan untuk mereka yang mahu bertemu dengan Ahli Parlimen Pekan itu.

Ketika ini katanya, beliau mahu meluangkan masa beribadat dan mengambil keberkatan bulan Ramadan.

"Saya juga banyak menerima kunjungan pemimpin dan ahli UMNO dari seluruh negara, penyokong dan sahabat, yang menziarahi saya di rumah untuk bertanyakan khabar, memberi sokongan dan minta pandangan tentang kedudukan semasa. Boleh dikatakan tak putus-putus mereka yang datang ke rumah, terima kasih.

"Selain itu, saya juga dalam proses untuk membuka satu pejabat untuk menjalankan urusan peribadi serta memudahkan mereka yang ingin bertemu saya," katanya dalam entri terbaharunya di laman sosial Facebooknya hari ini.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional itu juga mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

"Waktu sekarang ini adalah masa yang cukup bernilai untuk saya bersama keluarga, terutamanya anak-anak dan cucu saya kerana saya terlalu sibuk dengan urusan negara selama ini.

"Dari segi kebajikan, saya akan terus menyampaikan bantuan zakat kepada kumpulan asnaf, walaupun lebih bersederhana berbanding dahulu apabila ada banyak sumbangan daripada agensi-agensi Kerajaan. Saya dan keluarga akan menyambut Hari Raya di Pekan,' ujarnya lagi.

Beliau dalam pada itu menyeru ahli UMNO meneruskan perjuangan parti.

"Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN saya bertanggungjawab atas kekalahan kita dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Oleh itu, ahli UMNO hendaklah kuatkan semangat, perkukuhkan ketahanan diri untuk terus menyuburkan dan memulihkan UMNO. Ini kerana UMNO telah banyak berjasa dan sinonim dengan pelbagai kejayaan negara kita," tambahnya.

Najib berkata, beliau akan terus memimpin UMNO Pekan dan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Pekan.

Jumaat, Mac 31, 2017

Umno sanggup jilat ludahnya

Oleh Zainudin Maidin
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional bahawa kerajaan tidak akan mengambil alih pembntangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Pindaan di bidang jenayah) atau RUU355.

Ini menyerlahkan kewarasan UMNO mengutamakan rakan-rakan sejati komponen Barisan Nasional yang tidak senang dengan pindaan itu dan menindakan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang sanggup "kehilangan segelintir kawan kita tapi akan dapat kawan baharu yang kumpulannya lebih besar bersama kita."

Walaupun Zahid tidak memandai-mandai sendiri tetapi posting saya pada 19 Mac 2017,meanggapnya agak beremosi dalam kenyataannya itu yang tidak dibeli dengan mudah oleh Pas sebaliknya menimbulkan kecurigaannya,UMNO mahu mencuri pengaruhnya.

Presiden Pas Datuk Haji Hadi mahu melihat dulu draf pindaan yang hendak dibentangkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun dengan pembatalan hasrat kerajaan untuk mengambil alih pembentangan itu tidak sahaja demoralised kerajaan tetapi juga Pas disamping mendedahkan prasangka mendalam yang terus terpendam antara kedua parti itu.

Ia menunjukan ketidakikhlasan UMNO untuk berkerjasama dengan sebuah parti yang tidak diyakini malah digeruni oleh semua walaupun UMNO menanam tebu dibibir.Kesan buruknya kepada Pas,ia terlihat bersendirian kembali dalam mengemukakan pindaan itu.Kerajaan BN memisahkan diri sekalipun mungkin akan disokong oleh wakil-wakil UMNO.

Untuk mengawal kecederaan politik yang terlalu teruk kepada UMNO dan Pas maka itulah Utusan Malaysia yang menjadi hysteria dengan pengumuman kerjaan sendiri akan mengambil tanggungjawab pembentangan, tiba-tiba menyembunyikan berita pembatalannya hanya sebagai berita sampingan dimuka dalam sehingga sukar untuk ditemui.

Ini juga menyerlahkan kerjasama Pas dan UMNO tidak boleh berlaku atas sentimen Melayu dan Islam. UMNO yang dari asal percaya kepada masyarakat berbilang kaum dan agama tidak sehati dan dan sejiwa dengan Pas yang pendekatan dan dasarnnya bersifat retorik,keras,perkauman dan melampau.

Kerjasama yang nampak berlaku sekarang lebih terdorong oleh kepentingan politik Najib dan Hadi dan bukannya perpaduan Melayu dan Islam.

Maka itu percubaan untuk mengkhianati sesama sendiri terus berlaku disebalik tabir.Pendedahan klip video Presiden Pas Haji Hadi mahu "UMNO serahkan lima negeri kepada Pas dan mereka boleh ambil yang lain", walaupun dinapikan tetapi cukup mencederaparahkan hubungan UMNO PAS diakar umbi terutama di kalangan UMNO.

Maka itu tidaklah heran jika kerajaan BN yang bagitu ghairah dan bersemangat tinggi dalam komitmennya untuk menyokong RUU355,tiba-tiba memprojekan Pas kepada rakyat dalam keadaan sendirian dan sekali lagi dalam keadaan tidak pasti samaada ianya akan dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini.

-http://zamkata.blogspot.my/

Selasa, Januari 10, 2017

Pas sama sekali tidak akan bekerjasama dengan Dr. Mahathir

Majlis menandatangani Perjanjian Projek Perdagagan Karbon dalam hutan simpan kekal antara kerajaan negeri dengan Syarikat Climate Protector Sdn Bhd di salah sebuah hotel di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE

KOTA BHARU 9 Jan. - Pas memberi peringatan sama sekali tidak akan menjalikan kerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana menyedari bekas Perdana Menteri itu tidak akan pernah berubah sikap.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerjasama politik sekiranya berlaku sekalipun hanya melibatkan Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), bukan Dr. Mahathir meskipun beliau merupakan pengerusi parti itu.

Dalam masa sama, Mohd. Amar juga memberi peringatan bahawa pakatan pembangkang akan menghadapi kesukaran sekiranya terus bekerjasama dengan Dr. Mahathir.

“Kena beza itu, kerjasama kalau berlaku hanya antara Pas dan PPBM bukan dengan Mahathir sebab kita tahu dia tidak boleh bekerjasama.

Dan, kita juga sama sekali tidak akan mendengar apa-apa pandangan Dr. Mahathi

“Dr. Mahathir ini, tidak boleh bekerjasama dengan sesiapa pun. Kalau betul nak kerjasama, Dr. Mahathir mesti ubah sikapnya. Dr. Mahathir kena ingat dia bukan lagi Perdana Menteri atau Presiden UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Perdagangan Karbon dalam hutan simpan kekal antara kerajaan negeri dengan Syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. di salah sebuah hotel di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut diwakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob manakala Climate Protector diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Too Siah. - UTUSAN ONLINE.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pas-sama-sekali-tidak-akan-bekerjasama-dengan-dr-mahathir-1.429832#sthash.cLLjqgjj.dpuf

Jumaat, Jun 03, 2016

PRK: Wanita Umno akan perjelas RUU Mahkamah Syariah

Pembentangan usul Rang Undang-undang Persendirian berkaitan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 tidak akan memberi kesan kepada BN meraih sokongan pengundi bukan Melayu dalam dua pilihan raya kecil (PRK) pada 18 Jun ini.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan itu akan turun padang untuk memberi penjelasan mengenai RUU tersebut kepada pengundi sewaktu berkempen di PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

"RUU ini mungkin menjadi isu tetapi kita akan memberi penjelasan. RUU tersebut sebenarnya bukan hudud seperti yang digempar-gemburkan oleh pihak pembangkang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Festival India Global 2016 di ibunegara semalam.

RUU itu dibentang oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga ahli Parlimen Marang, di Dewan Rakyat, Khamis lepas.

Shahrizat turut merayu kepada pengundi agar terus memberikan mandat kepada calon BN bagi kedua-dua pilihan raya itu.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Datin Mastura Mohd Yazid merupakan calon BN di Kuala Kangsar manakala Budiman Mohd Zohdi, calon BN di Sungai Besar.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno mengambil pendekatan mendekati pengundi di Kuala Kangsar dalam menangani pelbagai tohmahan terhadap calon BN yang disebarkan menerusi media sosial.

Naib Ketua Pemudanya Khairul Azwan Harun berkata pihaknya akan bergerak sebagai agen pemasaran bagi memastikan calon BN Datin Mastura Mohd Yazid menang pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Kuala Kangsar itu.

"Kita tidak berasa sukar (untuk berkempen bagi pihak Mastura), kita bersedia untuk memastikan pengundi memilih calon BN pada PRK ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Kerjaya dan Pekerjaan di Safari Resort di Kuala Kangsar hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekangan Mastura yang tidak dapat berkempen berikutan masih dalam edah selepas kematian suaminya yang juga penyandang kerusi berkenaan dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.

Mengulas lanjut mengenai pelbagai tohmahan terhadap Mastura di media sosial, Khairul Azwan berkata mereka yang menyebarkan tohmahan itu perlu sedar bahawa pengundi di Kuala Kangsar bijak dalam menilai calon BN itu.

"Kalau orang di sini tidak kenal calon macam mana boleh nak bertanding? Datin Mastura sudah dikenali ramai (di Kuala Kangsar)," katanya.

Pengundi di Kuala Kangsar juga sedar bahawa Mastura pastinya komited untuk meneruskan perjuangan suaminya dalam membela penduduk kawasan berkenaan, katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRK itu adalah pada Ahad ini, manakala pengundian 18 Jun.

- Bernama

Jumaat, Februari 05, 2016

Bashah perlu segera pulihkan BN dan UMNO Kedah - veteran

Sebagai orang lama dalam arena politik Kedah, Ahmad Bashah diharap dapat menakhodai Umno/BN dalam pelayaran yang bergelombang menuju pantai PRU14. Foto TRP/ Adib Hakim
KUALA LUMPUR, 5 Februari:

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah perlu segera memulihkan keadaan Barisan Nasional (BN) di Kedah, sebaik selesai krisis Menteri Besar di negeri itu ekoran tindakan ketua Umno Bahagian yang menuntut Datuk Seri Mukhriz Mahathir melepaskan jawatan tersebut.

Tan Sri Abdul Aziz Rahman, yang mengetuai Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) berkata, baki dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seharusnya digunakan bagi memantapkan kembali perpaduan antara mereka untuk memastikan BN terus kekal menguasai negeri itu.

“Jadi keadaan politik di negeri Kedah itu sendiri merupakan satu aset besar kepada BN kerana PRU14 sudah tidak lama lagi, jadi ia memerlukan masa untuk memantapkan, merapatkan semula barisan

“Memang ada tergurisnya perasaan-perasaan orang yang menyokong Mukhriz yang selama ini menunjukkan cara kepimpinan remaja dia,” kata Presiden Mubarak itu kepada The Rakyat Post.


“Masa yang diluangkan untuk merapatkan barisan itu wujud, jadi kena guna masa sebaik mungkin untuk merapatkan jurang itu.”

Beliau berkata, tempoh dua tahun itu juga begitu singkat untuk Ahmad Bashah yang baru diangkat menjadi Menteri Besar menggantikan Mukhriz yang melepaskan jawatan itu pada Rabu.

“Dua tahun ini tidak lama, tetapi cukup untuk mereka berusaha untuk merapatkan kepimpinan dan juga pengikut-pengikut untuk BN akan kekal pada PRU akan datang,” katanya.

Beliau berkata, lebih cepat isu itu diselesaikan lebih baik kerana ia bakal memberikan harapan kepada rakyat Kedah.

“Pertukaran telah dibuat selepas beberapa hari perundingan berlaku, jadi ini penting sebab lebih cepat benda ini diselesaikan lebih baik, kerana ianya memberi harapan kepada rakyat untuk satu lagi pentafsiran yang boleh menumpu membawa pembangunan negeri Kedah itu sendiri

“Ini perkara biasa, sudah berlaku di Terengganu dan beberapa tempat beberapa kali, di Kedah itu sudah berlaku,” katanya.

“Di dalam politik ini satu kebiasaan, saya percaya ianya boleh diuruskan.

“Dan terbukti akhirnya selesai, pada mulanya ia mengambil masa dan berakhir dengan baik. Pada saya itu sudah cukup baik,” tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Veteran Umno Malaysia Datuk Mustapha Yaakub berkata, beliau mengharapkan Bashah mampu menyatu padukan kembali Umno Kedah yang retak susulan krisis tersebut.

“Veteran berharap sebagai orang lama dalam arena politik Kedah, beliau akan berjaya menakhodai Umno/BN dalam pelayaran yang bergelombang menuju pantai PRU14.

“Semoga beliau berjaya menyatukan Umno. Yang retak dipeterikan, yang putus disambungkan dan yang pecah disatukan,” katanya.

Beliau berkata, Mukhriz berjaya menunjukkan sikap mementingkan rakyat dan parti daripada terus berada dalam suasana tidak menentu yang boleh menjadikan kerajaan negeri menjadi lumpuh ketika krisis tersebut berlaku.

“Veteran yakin Mukhriz berjiwa besar dan beliau boleh menerima ketentuan Allah dengan berlapang dada,” katanya.

Malah, beliau turut melihat, sebagai pemimpin muda, Mukhriz masih mempunyai peluang untuk kembali ke dalam arus perdana politik sekiranya beliau tidak melatah dan tahu mengimbangi percaturan dan silat politik.

“Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran yang amat berharga kepada Mukhriz,” katanya.

“Veteran yakin, dengan kerjasama, dan sokongan kuat dari mereka, Umno Kedah akan bekerja sebagai satu pasukan yang kuat bagi mempastikan Kedah kekal dikuasai Umno/BN dalam PRU14 nanti,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2016/02/05/bashah-perlu-segera-pulihkan-bn-dan-umno-kedah-veteran/#ixzz3zFT3d33E

Jumaat, Januari 15, 2016

Pakatan Harapan hanya sekadar kosmetik

PAKATAN Harapan, yang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), perlu membuktikan bahawa ia mempunyai kekuatan tersendiri, sekali gus berupaya mengubah landskap politik Malaysia, demikian menurut penganalisis politik.

Tekad memeterai perjanjian kerjasama pada 9 Januari lepas, ketiga-tiga parti perlu membuktikan dan tidak mengulangi kesilapan lampau ketika bersama-sama dalam PR melalui gerak kerja dan keputusan kolektif sebagai satu gabungan politik mantap.

Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun ini pastinya ditunggu-tunggu oleh banyak pihak untuk melihat sejauh mana kemampuan ketiga-tiga parti itu bekerjasama dan memberi impak kepada dunia politik tanah air.

Bertambah kukuhkah Pakatan Harapan selepas termeterainya perjanjian baharu itu?

Kekal formula lama
Penganalisis politik bagaimanapun melihat perjanjian pakatan kali ini masih menggunakan model serupa dengan PR yang mengamalkan politik berasaskan kepada hubungan berasaskan kepentingan tertentu.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, perjanjian yang ditandatangani ketiga-tiga parti itu masih mengekalkan prinsip sama seperti ketika PR diwujudkan dahulu.

Perbezaannya cuma pada nama dan tanpa penglibatan Pas, yang kedudukannya kini diambil alih Amanah.

“Pembangkang telah pun kehilangan aset yang besar apabila Pas keluar daripada pakatan… mereka (pakatan) mengalami kemerosotan sokongan khususnya orang Melayu apabila Pas tidak menyertai mereka dan inilah realitinya,” katanya kepada Bernama.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Amini Amir, yang bersependapat dengan Samsul Adabi, berpandangan bahawa perjanjian itu sekadar kosmetik dan tidak membawa apa-apa keuntungan kepada rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata, apa yang terjadi ketika PR boleh terjadi di dalam pakatan PKR, DAP dan Amanah.

“Apabila Pas keluar, sudah pasti Pakatan Harapan tidak kukuh dan kuat kerana yang menguatkan PR sebelum ini ialah Pas yang memiliki jentera yang besar. Amanah tidak setanding Pas meskipun parti itu diberikan peranan menggantikan Pas,” katanya.

Retorik
Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib melihat tindakan mengadakan perjanjian itu hanyalah satu retorik politik.

“Apa yang berlaku dalam pembangkang sebelum ini (PKR, Pas dan DAP) menyebabkan gabungan pakatan baharu ini (PKR, DAP dan Amanah) kononnya mahu lebih berwaspada sehingga membawa kepada perjanjian ini,” katanya.

Md Shukri berkata pembangkang ketika ini sedang berusaha keras sehingga menuntut mereka mengadakan perjanjian berkenaan bagi mengikat ketiga-tiga parti, selain cuba menonjolkan kepada rakyat bahawa mereka juga mampu bertahan dan mencapai kesepaduan seperti BN.

“Persoalannya, jika sudah wujud pakatan yang baharu dengan perjanjian bersama maka apa akan jadi dengan pakatan sebelum ini yang melibatkan Pas terutamanya dalam hal pentadbiran kerajaan Selangor?

“Kerajaan Selangor nampaknya perlu membuang anggota Exco Pas dan menggantikannya dengan seseorang daripada Parti Amanah, itupun atas persetujuan dan perjanjian baharu yang dimeterai oleh ketiga-tiga parti. Tetapi, bersediakah Pakatan Harapan menguatkuasakan perkara itu atau adakah ini satu ‘siri drama’ pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14?,” katanya.

Gimik politik
Merujuk kenyataan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 9 Januari lepas yang dilapor sebagai berkata perjanjian itu menunjukkan komitmen serius Pakatan Harapan untuk menjadi ‘government-in-waiting’, penganalisis politik berkenaan berpendapat bahawa ia adalah sekadar gimik politik.

“Realitinya, mereka dah kemerosotan sokongan selepas PAS tidak lagi bersama mereka… ini hakikat yang mereka tidak boleh nafikan dan mereka juga tidak mampu menggantikan BN.

“Kenyataan ini dibuat sekadar untuk menunjukkan kepada umum bahawa pakatan masih lagi kuat meskipun tanpa Pas,” kata Samsul Adabi.

Amini pula berkata: “Ia sekadar untuk mempengaruhi rakyat bahawa mereka semakin matang dan kukuh walaupun realiti adalah sebaliknya.”

Perjanjian Pakatan Harapan antara lain berkenaan hala tuju pakatan termasuk proses dalam membuat keputusan membabitkan gabungan itu, calon pilihan raya dan kesetiaan terhadap kerjasama itu.

Perjanjian itu juga turut menggariskan langkah tegas termasuk memecat keanggotaan parti tidak sehaluan.

Sokongan Melayu pecah
Natijahnya, ke arah mana sokongan orang Melayu selepas penubuhan Amanah, yang berteraskan orang Melayu?

Melihat senario politik semasa ini, kedua-dua penganalisis politik ini berpendapat penubuhan parti Amanah akan membawa kepada perpecahan undi khususnya di kawasan majoriti Melayu.

Mereka juga yakin pertandingan tiga penjuru antara – Pas, Umno, Amanah – pasti tidak dapat dielakkan pada pilihan raya umum akan datang.

Amini berkata, dalam konteks Pakatan Harapan, Pas pastinya tidak akan mendapat sokongan padu daripada penyokong tegar pakatan itu sekiranya bertanding di kawasan majoriti Melayu yang turut ditandingi Umno dan Amanah.

“DAP dan PKR pastinya berhabis-habisan berjuang memastikan rakan sekutu mereka menang manakala Pas bukan lagi rakan sekutu mereka,” katanya.

Samsul Adabi berpandangan ekoran pergolakan politik semasa khususnya melibatkan parti berteraskan orang Melayu akan menjadikan kumpulan atas pagar lebih ramai pada pilihan raya umum ke-14.

“Ini akan menyebabkan perpecahan di kalangan orang Melayu,” katanya. – Bernama

Isnin, November 02, 2015

'Janganlah kita marahkan nyamuk, kelambu dibakar'

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hadir menyertai larian amal 'Malaysian United Run' anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) di Padang Merbok hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 1 November:

Politik harus diterjermahkan mengikut ideologi semangat kesatuan tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata mana-mana gabungan parti politik diminta supaya menerapkan perpaduan bagi membina masa depan bangsa dan negara.

Beliau yang merupakan Menteri Pertahanan, berkata sebagai asas politik semua pihak perlu menjauhi politik perpecahan dan kebencian.

“Dalam politik tidak semestinya menjurus kepada perpecahan kerana politik ada had dan batasannya dan janganlah kita marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

“Apa yang penting sekarang kita mestilah ada asas-asas politik yang membina untuk masa depan negara,” katanya selepas menyertai larian amal Malaysian United Run anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) di Padang Merbuk, di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam berkaitan Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipelopori beberapa bekas pemimpin Pas secara tidak langsung telah mewujudkan peluang kepada Umno untuk mencari titik persefahaman dengan Pas.

Mukhriz yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata, tindakan pemimpin Pas melompat ke Amanah merupakan peluang kepada Umno untuk menghidupkan semula usaha mencari titik persefahaman dengan Pas.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/11/01/janganlah-kita-marahkan-nyamuk-kelambu-dibakar/#ixzz3qFFniPY6

Ahad, Julai 12, 2015

DEMI MELAYU DAN ISLAM

Dalam bulan pose ni atuk agak kurangkan sedikit membuat posting di blog Pejuang Tok Gajah46 ni. InshaAllah selepas hari raya nanti atuk akan mule kembali membuat posting setiap hari.

Ari ni atuk tak nak cakap banyak, cume buat permulaan nak ulas sedikit tentang 'penceraian' PAS dengan DAP. Perkare ni dah pun berlaku, cume yang atuk harafkan biarlah ianye menjadi satu penceraian yang kekal abadi - bukan nye setakat bercerai talak 3 yang kemudian nye boleh di 'cine butekan'.

Sebenarnye 'penceraian' PAS/DAP ni lebih menguntungkan PAS, Atuk berkate demikian berdasarkan kepada tujuan asal dan asas parti itu ditubuh kan. Perjuangan untuk menegakkan negara Islam serte memertabatkan undang-undang Islam.

PAS telah pun mencube nye dengan bantuan pertolongan dari DAP, malang nya ianye telah gagal dan PAS terpakse mengundurkan diri bersengkokol dengan DAP.

Walaupun disuatu mase dulu PAS juge pernah berkerjasama dengan UMNO dalam memperjuangkan Islam, tetapi telah menemui jalan buntu kerana sesuatu hal yang tidak dapat di elakkan. Bagi pendapat atuk, tidak salah bagi PAS untuk sekali lagi bersama UMNO memperjuangkan agama Islam dan Bangse Melayu.

Mungkin kali ini kite akan berjaya menegak kan sebuah negara Islam yang lebih kuat dan bersatu padu.

Sabtu, Jun 13, 2015

PAS kini lebih teruk daripada Umno, kata Kassim Ahmad

OLEH LOOI SUE-CHERN
Aktivis Dr Kassim Ahmad menganggap PAS berada di jalan sempit dan terkebelakang kerana dasarnya yang tertutup serta tidak progresif. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Jun, 2015.

PAS kini lebih teruk daripada Umno dan malah berfikiran lebih sempit dan mundur, kata aktivis Dr Kassim Ahmad, susulan keputusan pemilihan parti itu minggu lalu.

Pada pemilihan yang diadakan ketika Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor itu, golongan ulama dan konservatif membolot semua jawatan tertinggi.

"Sekurang-kurangnya Umno ada semangat kebangsaan," kata pemikir berusia 82 tahun itu kepada The Malaysian Insider.

Kassim berkata, gabungan Pakatan Rakyat (PR) kini gagal dan semua parti di dalamnya, bukan sahaja PAS, “dua kali lima” juga.

"Mereka semuanya fanatik. Jika mahu jadi pakatan yang dipilih rakyat, ia perlu lebih progresif daripada pesaingnya, Umno.

"Tetapi mereka gagal. Jadi bagaimana mereka hendak yakinkan rakyat?" soalnya.

Muktamar PAS itu dikatakan dicemari fitnah yang dilemparkan kepada puak progresif dalam parti yang dianggap lebih mesra dengan PKR dan DAP.

DAP menjadi sasaran kemarahan apabila Dewan Ulama PAS meluluskan usul supaya parti itu memutuskan hubungan dan kerjasama dengan parti itu.

Ia satu tindak balas kepada keputusan DAP pada Mac yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menentang hudud di bawah Enakmen Jenayah Syariah Kelantan.

Usul itu kemudiannya diterima tanpa bahas oleh muktamar utama, satu keputusan yang dibuat pemimpin kanan parti itu tetapi dikritik hebat perwakilan.

Kassim berkata, tiada beza antara kemenangan kem pro-ulama atau bukan, kerana baginya, parti Islam itu sudah berada di jalan yang sempit dan terkebelakang.

"Dasar PAS kini tidak seperti zaman Dr Burhanuddin Helmy yang bersikap terbuka dan progresif dalam kepimpinannya," katanya merujuk kepada presiden ketiga PAS yang memegang jawatan itu dari 1956 hingga 1969.

"Hari ini, dasar PAS tertutup dan tidak progresif. Ia bertentangan dengan Islam yang mengajar umatnya cara hidup yang progresif," katanya, menggesa umat Islam mengikuti ajaran al-Quran.

Kassim yang sebelum ini terpalit kontroversi kerana mempertikaikan hadis Nabi berkata,situasi itu terjadi kerana orang Islam di Malaysia mengamalkan mazhab Shafie yang disifatkannya sempit dan kolot.

Salah satu contoh ajaran konservatif katanya, ialah wanita Islam wajib menutup kepala mereka.

Katanya, 95% wanita Islam di negara ini memakai tudung, mengikuti ajaran ulama yang mengatakan rambut itu aurat.

"Tetapi 35 tahun lalu, ibu saya dan wanita generasi itu tidak pernah memakai tudung. Mereka memakai selendang.

"Ini merupakan fenomena yang berlaku selepas Revolusi Iran (juga dikenali Revolusi Islam pada 1979).

"Iran ialah negara teokrasi dan ajaran ulamanya sempit dan jumud," katanya.

Kassim berkata beliau sedia berdebat dengan PAS berhubung dasarnya dalam Islam yang kini sempit dan terkebelakang.

"Saya sedia berdebat dengan mereka," katanya sambil bersetuju dengan label "ular dalam semak" yang sering diberikan kepada golongan ulama dalam PAS akhir-akhir ini.

Beliau pada Isnin lalu melalui blognya menulis di bawah tajuk "Ancaman kepada negara dan bangsa Malaysia kini", Malaysia kini diancam dua bahaya besar, iaitu rasuah dalam Umno dan fahaman agama yang sempit, jumud dan fanatik.

Katanya, parti tulang belakang pemerintahan Malaysia kini korup, dan ia di peringkat yang amat teruk.

Beliau berkata, retorik transformasi yang dilaungkan Najib tidak boleh membersihkan korupsi yang parah itu.

Mengenai ancaman kedua, katanya banyak institusi “Islam” muncul dan dianggotai petugas yang sempit dan berfikiran jumud, mengambil kesempatan dari peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Islam sebagai agama Persekutuan dan perisytiharan Umno yang Malaysia sebuah negara Islam.

Kassim berkata, itu merupakan strategi Umno melawan PAS.

"Bagaimana kita hendak mengatasi bahaya ini? Umno mesti membangunkan fahaman Islam yang luas, terbuka dan humanis dalam dirinya. Demikian juga patriot daripada agama lain.

"Mereka harus memanggil satu persidangan nasional untuk menimbulkan kefahaman keagamaan yang luas, humanis dan progresif," katanya, sambil menambah, perlu satu perbincangan yang ikhlas oleh pemimpin negara.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-lebih-teruk-daripada-umno-kata-kassim-ahmad#sthash.LxTCrU5M.dpuf

Jumaat, Jun 12, 2015

Tiba masa PAS ganti tahaluf siyasi dengan tahaluf silaturrahim - Penganalisis

Konsep silaturrahim wajib dijadikan keutamaan berbanding keharusan mengadakan kerjasama politik dengan umat bukan Islam. - Foto TRP/Azrol Ali

KUALA LUMPUR, 12 Jun:

Sudah tiba masanya tahaluf siyasi atau kerjasama politik PAS dalam pakatan pembangkang digantikan dengan tahaluf silaturrahim atau kerjasama silaturrahim bersama UMNO ekoran kedua-dua parti itu diterajui umat Islam.

Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berpendapat konsep silaturrahim wajib dijadikan keutamaan berbanding keharusan mengadakan kerjasama politik dengan umat bukan Islam.

“Konsep tahaluf silaturrahim wajar diterima PAS kerana ia amalan yang diajar dalam Islam sendiri. Sekiranya PAS benar-benar pejuang Islam dan dibarisi kepimpinan ulama, mereka perlu menimbangkan perkara ini dengan membatalkan kerjasama politik dalam pembangkang dan mengetengahkan konsep silaturahim sesama ummah.

“PAS terlebih dahulu perlu memperkukuhkan persaudaraan sesama ummah sebelum mencari alternatif lain sebagai jalan mendapat kekuasaan. Kerjasama antara PAS dan UMNO akan lebih memudahkan mereka untuk berada di Putrajaya berbanding bersama pakatan,” katanya kepada Bernama.

Minggu lepas, Dewan Ulama PAS sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.

Keputusan itu dibuat ekoran kenyataan beberapa pemimpin DAP yang mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutama dalam isu hudud.

Mengulas lanjut Md Shukri berkata PAS seharusnya tidak mementingkan politik parti semata-mata namun perlu memikirkan untuk bekerjasama dengan UMNO bagi tujuan kepentingan Islam dan seluruh rakyat.

Beliau berkata tahaluf silaturrahim ini wajar dijadikan pedoman dalam berpolitik selain PAS yang dianggotai ulama seharusnya bersikap lebih terbuka dan mementingkan kesatuan ummah berbanding terus bermusuhan dengan UMNO.

“Ketika ini hanya faktor kongsi kuasa kerajaan Selangor sahaja yang menjadi ‘pengikat’ bagi PAS dalam pakatan.

“Resolusi PAS memutuskan tiada lagi kerjasama antara PAS dengan DAP tetapi masih kekal dengan pakatan. Namun, apakah dalam konteks Selangor PAS tidak akan bekerjasama dengan DAP sedangkan mereka berkongsi kuasa pentadbiran kerajaan di dalam majlis mesyuarat exco?” soalnya.

Berpendapat bahawa PAS sedang melalui satu fasa dalam menentukan maruah dan hala tuju perjuangan mereka, Md Shukri berkata oleh yang demikian ulama yang menguasai pentadbiran parti perlu berperanan memulihkan kembali ‘kemerdekaan’ politik PAS serta membina kekuatan sokongan akar umbi parti itu.

Katanya, adalah sesuatu yang wajar dibimbangi sekiranya wujud kelompok dalam PAS yang mencipta alternatif lain terhadap parti itu sebagai contoh mewujudkan kemesraan politik bersama parti lain termasuklah DAP, yang sedia maklum tidak sealiran dengan PAS.

“PAS perlu sedar bahawa apa sahaja tindakan dan percakapan mereka boleh menjadi gosip politik. Lihat sahaja bila tersebarnya gambar Abdul Hadi bersama Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa taklimat gempa bumi Sabah yang menimbulkan tanda tanya politik.

“Umat Islam pastinya mengharapkan hubungan baik antara PAS dan UMNO di samping PAS juga akan menjadi parti kedua terbesar selepas UMNO jika mereka terbuka hati membina kerajaan perpaduan bersama. Negeri seperti Kelantan dan Terengganu juga akan dapat dibangunkan tanpa polemik politik pembangkang,” katanya.

Menjawab persoalan adakah PAS begitu ‘terluka’ dengan UMNO apabila mereka sebelum ini keluar dari Barisan Nasional yang dibina bersama, Md Shukri sebaliknya mempersoalkan apakah PAS tidak ‘terluka’ dengan kerenah pakatan selama ini.

“Apakah layanan tidak mesra DAP kepada PAS dilihat munasabah apabila PAS terus taat setia dan sayang kepada pakatan? Orang PAS dan pemimpin lama PAS pastinya lebih faham dan tahu apa tindakan sepatutnya yang boleh mereka ambil,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/12/tiba-masa-pas-ganti-tahaluf-siyasi-dengan-tahaluf-silaturrahim-penganalisis/#ixzz3cqZfYb7L

Nasihat terbaik bagi PAS dari seorang non-muslim.......?

Tiada masalah jika Pas masuk BN

MOHD IDROS MOHD ALI
12 Jun 2015

Chua Soi Lek

BUTTERWORTH - Pas patut bergabung atau menyertai Umno untuk memastikan parti itu terus kuat dan kukuh dalam mengharungi arus politik di negara ini.

Bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek berkata, kedua-dua parti itu boleh bergabung atau bersatu atas dasar agama yang sama iaitu Islam, sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh pihak lain.

Menurutnya, perkara itu sudah dibangkitkannya begitu lama iaitu sebelum PRU13 lagi tetapi tidak pernah mendapat perhatian mana-mana pihak.

“Ada yang gelak kepada saya kerana menimbulkan isu itu. Ada yang memandang remeh cadangan saya dalam soal penyatuan parti untuk orang Melayu.

“Tetapi dengan keadaan politik semasa yang semakin bercelaru, saya rasa inilah masa yang sesuai untuk Pas memikirkan semula cadangan itu demi kebaikan bersama,” katanya kepada media selepas melancarkan kapal mengangkut kontena MTT Pulau Pinang di Terminal
Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini semalam.

Menurutnya, perkara itu tidak mustahil dapat dijayakan kerana tidak banyak parti orang Melayu yang dominan di negara ini kecuali Umno, Pas dan PKR di semenanjung.

Menurutnya, parti kaum Cina agak sukar untuk berbuat demikian kerana begitu banyak dan tidak mempunyai hala tuju atau matlamat yang sama.

“Sana sini boleh jumpa parti berteraskan Cina. Banyak sangat dan sukar untuk bergabung,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) berkata, perkara itu tidak akan menjadi masalah kepada parti komponen BN yang lain atau bukan Islam kerana mempunyai pemimpin yang sama iaitu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak
yang juga menjadi Pengerusi BN.

“Beliau seorang pemimpin yang baik dan boleh bertoleransi kerana peka dengan masalah dan sensitiviti kaum lain.

“Jadi penggabungan Umno dan Pas tidak menimbulkan apa-apa masalah kepada rakan komponen BN yang lain atau pengundi bukan Melayu,” katanya.

Soi Lek berkata, BN sudah wujud begitu lama dalam politik tanah air dan mampu menangani apa jua masalah yang timbul melalui permuafakatan yang diamalkan selama ini.

“Banyak juga masalah yang berlaku dalam kalangan komponen BN tetapi akhirnya dapat diselesaikan dengan baik.

“Itulah kelebihan BN berbanding dengan PR yang begitu bercelaru sesama mereka walaupun hanya mempunyai tiga parti dalam gabungan.

“Kita tengok apa yang berlaku sekarang ini antara DAP dan Pas. Makin retak dan serius serta belum ada penyelesaian,” katanya.

Ahad, April 19, 2015

PRK Rompin: Datuk Hasan Arifin diumum calon BN

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat di pejabat UMNO Bahagian Rompin, Muadzam Shah. Turut kelihatan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri), Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (tiga dari kanan) dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin (dua dari kanan). – Foto Farizul Hafiz Awang

MUADZAM SHAH: Barisan Nasional (BN) sebentar tadi mengumumkan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin, 62, sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah Utama PRK Parlimen Rompin di Dataran Muadzam Shah, di sini. Turut hadir, Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; dan barisan kepemimpinan UMNO Pahang dan bahagian.

Hasan yang berasal dari Kampung Ayau, Leban Chondong pernah menjadi Timbalan Menteri Besar dari tahun 1995 sehingga 1999. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tioman dan Bukit Ibam selama empat penggal bermula 1990. PRK Rompin ditetapkan pada 5 Mei manakala hari penamaan calon pada Rabu depan.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 Mei lalu. Nahas itu turut mengorbankan lima yang lain, termasuk Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias.

Khamis, April 02, 2015

Dr Mazlan calon terbaik UMNO rampas Permatang Pauh - Penganalisis politik

Dr Mazlan yang calon UMNO bagi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) itu mampu meraih sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat. -Foto Facebook Kami Sokong Dr. Mazlan Ismail sebagai MP Permatang Pauh

KUALA LUMPUR, 2 April:

Dr. Mazlan Ismail dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk bertanding dalam Pilih Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh tidak lama lagi sekiranya UMNO ingin merampas kerusi berkenaan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr.Sivamurugan Pandian berkata, bekas calon UMNO bagi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) itu mampu meraih sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, Mazlan yang juga merupakan bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang itu dilihat boleh meraih sokongan bukan sahaja daripada ahli UMNO malah juga daripada penyokong PAS.

“Pergeseran antara PAS dan DAP menyebabkan penyokong parti Islam tersebut kurang senang dan mungkin akan memberikan undi kepada UMNO.

“Ia juga mungkin dilihat sebagai jalan terbaik bagi mengelakkan daripada berulangnya kes meletakkan calon yang tidak sesuai di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post di sini.

Tambah Pensyarah Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu lagi, PAS dilihat akan bersama-sama dalam Pakatan Rakyat (PR) dalam mengharungi PRK tersebut.

Namun begitu jelasnya, sekiranya PAS membuat keputusan untuk keluar daripada PR sewaktu PRK berlangsung, ia akan memberikan impak yang cukup besar kepada PKR.

“PAS mempunyai sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Permatang Pasir yang dimenangi sejak 1999 dan merupakan kubu kuat parti berkenaan di Permatang Pauh.

“Oleh itu sekiranya PAS keluar daripada PR dalam tempoh kempen PRK berlangsung mungkin sesuatu di luar jangkaan akan berlaku,” ujarnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/02/dr-mazlan-calon-terbaik-umno-rampas-permatang-pauh-penganalisis-politik/#ixzz3W6iQhfTj

Khamis, Mac 26, 2015

Sikap buruk yang ada pada Guan Eng

Hudud: Tuduhan Guan Eng adalah bodoh – Rahman Dahlan

Khairil Ashraf | March 26, 2015

Guan Eng mempunyai satu penyakit iaitu suka menyalahkan pihak lain untuk menutup kelemahan sendiri.
KUALA LUMPUR : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengecam tuduhan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa UMNO menghasut PAS supaya membentangkan enakmen Hudud sebagai “bodoh”.

“Saya ada satu perkataan, bodoh,” katanya sambil menambah, Guan Eng mempunyai satu penyakit iaitu suka menyalahkan pihak lain agar orang lain tidak melihat kelemahannya.

Katanya, Setiausaha Agung DAP itu yang memberikan nafas baru kepada PAS membentangkan Hudud sedangkan sejak 1957 UMNO dapat menangani aspirasi untuk mewujudkan undang-undang berkenaan dengan berhemah.

“Tetapi dengan wujudnya dinamik politik baru yang dibawa DAP ini mereka mahukan keuntungan politik jangka pendek, maka mereka meberikan nafas baru kepada PAS untuk membawa usul ini,” jelas Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau menambah selama tujuh tahun kewujudan Pakatan Rakyat lebih merupakan satu penipuan dan bertujuan untuk mengaburi mata rakyat

“Kerajaan negara ini akan huru-hara kerana mereka menggunakan mantera bersetuju untuk tidak bersetuju. Apa jenis kerajaan ini? Akhirnya realiti itu mengetuk pintu rumah mereka. Tahap gabungan Pakatan Rakyat ini ialah satu fonomena untuk mengaburi mata rakyat,” soalnya.

“Sebab itu saya ingin katakan UMNO masih lagi relevan. 88 kerusi UMNO itu mampu tentukan sama ada negara ini akan menjadi negara sederhana atau negara lain bentuknya,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, UMNO merupakan sebuah parti yang membawa pendekatan sederhana dalam negara ini dan tanpa UMNO negara akan mempunyai masalah.

“Walau cabaran dari pelbagai pihak, UMNO mampu lahirkan negara yang sederhana,” jelasnya.

Sabtu, Januari 31, 2015

Malaysia negara pertama lancar Indeks Syariah

Najib (tengah) berkata, Indeks Syariah diwujudkan sebagai pengukur pencapaian negara dalam melaksanakan tuntutan syarak. - Foto TRP/ Wan Kah Hoong

KUALA LUMPUR, 30 Januari:

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal melancarkan Indeks Syariah, pada 10 Februari ini.

Menerusi pelancaran itu, Malaysia merupakan negara pertama yang akan menggunakan indeks berkenaan dan boleh dijadikan penanda aras dalam pelaksanaannya.

“Apabila melakukan perkara ini, Malaysia jadi negara pertama akan ada Indeks Syariah dan diharap ia boleh diterima pakai negara Islam lain.

“Kita juga berharap dengan penanda aras ini, pengisian Islam jelas apa yang telah kita lakukan dan laksanakan selama ini,” katanya pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Jelasnya, Indeks Syariah ini melibatkan lapan sektor yang akan membuktikan UMNO komited untuk memartabatkan syariat Islam dalam urusan pentadbiran negara.

“Maqasid Syariah melibatkan lima perkara – agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Indeks ini akan melibatkan lapan sektor – pendidikan, ekonomi, infrastruktur, alam sekitar, perundangan, kesihatan, politik budaya dan sosial,” jelasnya lagi.

Indeks ini akan dilaksanakan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan turut melibatkan badan-badan bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang berkenaan.

Indeks ini diwujudkan sebagai pengukur pencapaian negara dalam melaksanakan tuntutan syarak.

Indeks yang komprehensif itu sedang dibangunkan, diterajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Universiti Islam Antarabangsa dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/30/malaysia-negara-pertama-lancar-indeks-syariah/#ixzz3QMQzevwC

Kesepakatan UMNO-PAS diperlukan -- Muhyiddin


KUALA LUMPUR - Sudah tiba masa untuk Umno dan Pas membentuk kesepakatan dan menubuhkan kerajaan perpaduan seperti yang pernah disarankan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2009.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad berkata, kesepakatan itu amat diperlukan dalam realiti semasa tatkala Islam dikecam dan diancam dengan pelbagai tohmahan

“Ancaman ini termasuklah daripada orang Islam yang liberal dan ekstremis. Bagi keadaan di Malaysia, hanya Umno dan Pas institusi politik yang dilihat mempertahankan Islam.

“Sewajarnya untuk kedua-dua parti membentuk kesepakatan. Selain itu, ia juga amat penting kerana akan membina kekuatan bangsa Melayu sebagai peneraju pembangunan negara ini,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam. - SH

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=241822:kesepakatan-umno-pas-diperlukan-muhyiddin&Itemid=2#ixzz3QJk7R66K
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

Khamis, Disember 11, 2014

Kalau masih sayangkan UMNO akui segala kesalahan dan kesilapan........




Ini adalah posting yang pertama Atuk tulis selepas PAU yang baru lepas. Atuk rasa terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan tentang PAU tersebut.

Jika di pandang-dengar segala ucapan2 dari para perwakilan dan pemimpin2 Atuk dapati ianya sangat kurang daya usaha yang boleh menjurus kepada kebangkitan UMNO yang mungkin dianggap semakin layu.

Sejak dari PRU 11 permulaan kemerosotan sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO, tidak ada nampak usaha2 yang ber sungguh2 dan yang berkesan untuk memulihkan kemerosotan itu.

Hingga kini UMNO/BN boleh dikatakan seperti "telur di hujung tanduk". Ini telah diakui sendiri oleh TPM dalam ucapan nya -jika undi/sokongan terhadap UMNO/BN menurun 2% maka kerajaan yang di terajui oleh UMNO ini boleh tumbang.

Pada hemat atuk, UMNO sukar untuk kembali gemilang selagi masih ada pemimpin2 yang 'bermasalah' berada dipucuk pimpinan UMNO. UMNO harus dibersihkan dengan cara mengeluarkan semua pemimpin2 yang 'bermasalah' ini secara total.

Tugas paling berat seterus nya ialah mengembalikan sokongan dari kaum bukan melayu terutamanya kaum cina dan india untuk bersama Barisan Nasional. UMNO/BN akan terus menghadapi jalan sukar jika masalah2 ini masih gagal diatasi.

Sabtu, November 29, 2014

Atuk nak tanye sikit, perlukah Akta Hasutan ni dikekalkan........?


Atuk agak dah lame juge tak masuk blog buat posting, maklum le orang dah tue, selalu sakit2 aje, tambah2 nye dimusim hujan ni. Walaupun atuk tak buat posting tapi atuk memerhati juge sedikit2 tentang posting dari blog2 sahabat yang lain tu.

Boleh le dikatekan ketike ini hampir semue sahabat2 bloggers sedang menumpukan perhatian mereke tu kepade Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung di PWTC. Nampak gaye nye UMNO ni dah membuat perubahan yang drastik dalam pemimpinan nye.

Agenda yang paling menyukekan menyenangkan hati atuk ialah berkenaan Akta Hasutan. Pade mule nye atuk terase takut juge kalau2 Datuk Seri Najib akur kepade kehendak puak pembangkang yang mahu hapuskan akta itu.

Bagi atuk, Datuk Seri Najib telah bertindak bijak menolak kehendak pemimpin2 pembangkang tu. Tindakan Datuk Seri Najib ni bukan sahaje telah menjamin keutuhan bangse Melayu tapi ianye juge telah menjamin keselamatan agame dan negare kite juge.

Atuk yakin dengan mengekalkan Akta Hasutan ini ianye akan sedikit sebanyak mengurangkan perbuatan segelintir bangse kafir haramjadah yang gemari mengutuk dan menghine agama Islam dan bangse Melayu secare terang di media letronik dan alam maya seperti Face-Book dan Blog.


Sabtu, November 22, 2014

Pakatan Rakyat semakin goyang menghadapi tindak-balas dari UMNO.......

"Agenda jahat Umno tutup sekolah vernakular dibantah


BATU GAJAH, 22 NOV: Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar membantah sekeras-kerasnya usaha licik Umno untuk menghapuskan sekolah vernakular di Malaysia.

Katanya, kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengenai kedudukan sekolah vernakular berbaur perkauman dan menunjukkan bahawa beliau berfikiran sempit.

“Saya tidak faham kenapa Umno sengaja mahu campur tangan dalam hal berkaitan sekolah vernakular, sedangkan ada banyak lagi perkara seperti isu-isu ekonomi dan pembangunan negara yang patut dijadikan topik dalam perbahasan parti mereka.............."

Sedutan diatas ni atuk ambil dari sebuah laman blog parti pembangkan tergar kaum cine. Jika kita amat2 ti isi tajuk ucapan Ahli Parlimen Batu Gajah ni, nampak sangat mereke dah takut yang teramat sangat diatas kata2 Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin.

Bagi atuk, atuk menyokong 100% diatas cadangan Naib Presiden UMNO tu. Cuba anda semua peratikan, dari selepas kite Merdeke hingga kini, jurang perkauman semakin melebar. Kaum cina dan india semakin menjauhkan diri mereke dan menganggap mereke berhak diatas se gale2 nye di Tanah Melayu ini.

Mereke mahukan hak2 yang same taraf dengan orang melayu, sedangkan mereke masih gagal untuk menguasai bahasa melayu dan kebanyakan nye juge masih 'berkiblatkan' negare asal nya.

Kegagalan mereke menguasai bahasa melayu ni berpunce dari didikan disekolah2 vernakular. Selagi sekolah ini terus ujud maka selagi itulah hasrat kerajaan untuk menyatukan kaum di Malaysia ini akan terus gagal.

Sabtu, November 15, 2014

Pengislahan Dalam Umno Perlu Bermula Dengan Muhasabah Diri - Najib


JOHOR BAHARU, 14 Nov (Bernama) -- Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan anggota parti bahawa proses pengislahan Umno perlu bermula dengan muhasabah diri dan seterusnya melakukan perubahan dalam usaha untuk menguatkan parti.

Perdana Menteri berkata proses pengislahan bukan terletak kepada kepimpinan tertinggi Umno semata-mata tetapi mesti merangkumi kesemuanya, termasuk akar umbi.

"Pengislahan bermaksud kita ada motivasi untuk berjuang demi kepentingan parti. Kalau ahli Umno disenangi dan diyakini, itu merupakan proses pertama kebolehpercayaan pada Umno," katanya ketika berucap sebelum merasmikan Konvensyen Umno Johor di sini pada Jumaat.

Beliau turut menegur sikap sesetengah anggota Umno yang lebih mementingkan diri sendiri dan kurang semangat cintakan parti.

"Macam dulu, bila Tunku Abdul Rahman (Presiden Umno ketika itu) tidak cukup duit untuk pergi London (runding tentang kemerdekaan Tanah Melayu (kini Malaysia)), ada ahli-ahli yang menghulurkan bantuan tetapi sekarang, bila minta buat kerja, ada yang tanya, apa yang dapat," kata Najib secara sinis, mengundang sorakan daripada lebih 800 perwakilan Umno Johor yang hadir pada konvensyen dua hari itu.

"Jangan hanya kaya material tetapi tidak kaya daya juang dan semangat sayangkan parti. Kalau kita ada semangat cintakan parti, kita akan buat kerja yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata pengislahan perlu bermula dengan muhasabah diri dan seterusnya melakukan perubahan.

"Kita harus sedar dalam mengamalkan demokrasi terbuka ini, kesudahannya, 'it's a game of numbers'. Kita harus menambah lagi sokongan kita yang seterusnya diterjemahkan kepada bilangan kerusi yang semakin meningkat untuk menjamin kekuatan kita yang lebih utuh.

"Kalau parti kuat, kalau parti masih berkuasa, perjuangan boleh diteruskan," kata Najib.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata anggota Umno perlu berfikiran terbuka sekiranya mahu menarik lebih ramai golongan muda menyertainya untuk menjadikan parti kekal relevan.

"Kalau kita terpaksa bagi laluan, bagilah laluan pada orang lain (orang muda contohnya), Barulah parti kita dilihat sebagai parti dinamik, parti segar dan parti berwibawa," katanya.

Merujuk ucapan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyentuh pengislahan moden dan progresif, inklusif, Melayu dan Islam tanpa mengetepikan kaum lain, Najib berkata itulah antara ramuan dan gerak kerja yang diperlukan untuk kelangsungan parti pada masa depan.

"Tidak salah saya cakap yang proses kebangkitan semula Umno adalah amat wajar bermula di sini (Johor). Di bumi inilah kebangkitan semula Umno Johor dan Barisan Nasional sebagai tunjang kekuatan kita. Saya amat sedar yang kelangsungan mesti dimulakan dengan kubu kuat Umno," kata beliau.

Konvensyen itu, yang bermula pada Jumaat, turut dihadiri Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

-- BERNAMA