Facebook Atuk Banjar Masin

Memaparkan catatan dengan label Datuk Seri Najib Tun Razak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Datuk Seri Najib Tun Razak. Papar semua catatan

Ahad, Jun 26, 2016

Tuduhan dedak hina rakyat, kata PM

Alyaa Azhar
Perdana menteri sekali lagi mengecam pengkritiknya yang mendakwa kerajaan BN memberi "dedak" kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan.

Kali ini Datuk Seri Najib Razak berkata, sesiapa yang membuat tuduhan begitu sebenarnya mereka telah menghina rakyat.

Hakikatnya, kata Najib, sokongan yang diberikan membuktikan rakyat berkeyakinan kepada kerajaan kerana mengutamakan kemaslahatan ramai.

"Sebab itulah kalau ada orang kata kita menang (dalam pilihan raya Sarawak dan dua pilihan raya kecil pada 18 Jun lalu) kerana kita beri dedak kepada rakyat, itu adalah satu penghinaan. Penghinaan kepada rakyat," katanya di majlis Nur Ramadan di Putajara malam tadi.

Najib berkata rakyat memang tahu menilai dan membuat keputusan memilih kerajaan yang mengutamakan mereka.

Kerajaan, kata perdana menteri, terus memberi bantuan kepada rakyat walaupun berdepan dengan pelbagai tohmahan kerana ia adalah tanggungjawab.

Bantuan itu kata Najib bukan bertujuan untuk menghina rakyat kononnya dengan memberi 'dedak' sebaliknya ia dibuat kerana kerajaan sentiasa mementingkan kemaslahatan rakyat.

"Sbb itulah kerajaan pimpinan saya, kami dengan rakan-rakan jemaah menteri, kami tak kisah (orang) nak cakap apa pun, cakaplah.

"Akhirnya rakyat bertambah yakin kepada kerajaan," katanya disambut tepukan orang ramai.

Dedak adalah istilah yang dipopularkan kumpulan pengkritik Najib dalam usaha mereka mendapatkan sokongan bagi menyingkirkan beliau daripada jawatan perdana menteri serta presiden Umno.

Istilah itu semakin popular ketika pilihan raya kecil diadakan di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Terdahulu dalam ucapannya Najib membandingkan Malaysia dengan negara Islam lain yang sedang berperang seperti Syria dan Iraq.

Beliau bersyukur dengan Malaysia yang terus maju kerana rakyat memilih sebuah kerajaan yang sentiasa mengutamakan kebajikan awam.

"Sebab itulah, walaupun kita diserang dengan pelbagai fitnah, tohmahan - yang separuh benar, separuh tidak benar - tetapi kemenangan di pilihan raya di Sarawak, Sungai Besar dan Kuala Kangsar bar-baru ini membuktikan rakyat yakin kepada kerajaan," katanya.

[Baca berita asal]

Sabtu, Oktober 03, 2015

Jangan timbulkan sengketa - Najib

Rakyat Malaysia digesa berhenti membuat kenyataan politik yang boleh membawa kepada masalah dan salah faham.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi kenyataan ringkas di Facebooknya, menegaskan ini bukan waktu untuk bersengketa tetapi waktu untuk berusaha memajukan negara.

"Saya mahu semua pihak di Malaysia tidak mengeluarkan kenyataan berbaur politik yang boleh menimbulkan sengketa dan salah faham.

"Ini masa untuk kita bersatu pastikan negara kita terus maju, bukan berbalah dan tuduh-menuduh," katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau seperti yang disiarkan Astro Awani.

Semalam, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan memberi amaran kepada orang Cina Malaysia supaya tidak mengadu mengenai kerajaan negara ini kepada pihak luar dengan harapan akan mendapat pembelaan daripada kerajaan asing.

"Saya nak bagi amaran juga kepada Cina-Cina Malaysia jangan ingat bila ada masalah dia nak mengadu, sikit-sikit mengadu supaya ada yang lindungi mereka," Tajuddin dipetik sebagai berkata pada sidang media selepas merasmikan Pameran Perdagangan dan Persidangan Herbal Asia 2015 di bangunan Matrade, di sini hari ini.

Sabtu, Ogos 15, 2015

Zahid: Pemimpin Umno cuba jatuhkan kerajaan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa terdapat seorang pemimpin Umno kini sedang mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan melalui "pintu belakang" dengan sokongan ahli parlimen pembangkang.

Naib presiden Umno itu berkata, sebagai menteri dalam negeri beliau difahamkan mereka ini sedang menyediakan akuan bersumpah (SD) untuk menggulingkan kerajaan.

"Saya dapat maklumat ada usaha untuk gulingkan kerajaan sedia ada yang sedang dilakukan dan didalangi oleh tokoh-tokoh tertentu.
"Terdapat usaha mendapatkan SD di kalangan ahli parlimen pembangkang dan juga (usaha) untuk menarik ahli parlimen BN supaya menumbangkan kerajaan melalui pintu belakang," kata Zahid semasa merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Ampang di Dewan Dato' Setia Mufti Shuib di Ampang, Selangor hari ini.

Zahid, bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan membenarkan perkara tersebut berlaku malah turut meminta pemimpin Umno di semua peringkat juga melakukan perkara sama.

Kerusi diambil kira

"Ini adalah sesuatu yang serius. Saya tidak mahu menyebut nama orang itu, tetapi perkara ini berlaku. Sebagai timbalan perdana menteri dan juga Naib Presiden Umno, saya tidak akan membenarkan ia berlaku.

“Jika ada sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan, saya minta kepimpinan, akar umbi, parti bangun bagi memastikan keadaan ini tidak akan berlaku,” tegasnya.
Dalam pada itu mengulas mengenai pembangkang, Zahid berkata meskipun Pakatan Rakyat tewas dalam pilihan raya lalu namun mereka tetap mendakwa memperoleh sokongan majoriti rakyat.

“Mereka ini adalah pemimpin yang tewas semasa pemilihan yang lalu namun mendakwa majotiri rakyat bersama mereka.

“BN menang kerana majoriti kerusi manakala undi popular kononnya dimenangi mereka. Tapi ikut sistem (Parlimen) British bukan jumlah undi yang dianggap majoriti,” katanya.

Ujar Zahid lagi, usaha itu adalah tindakan terdesak pihak berkepentingan dengan menggunakan taktik ‘pintu belakang’.

"Peguam sedang menyediakan memorandum tujuh muka surat dengan kertas kuning dilampirkan dengan SD untuk dibentangkan menyatakan bahawa mereka mempunyai suara majoriti.

"Ini akan membawa kepada pergolakan politik negara. Mereka tidak sanggup menunggu pilihan raya akan datang, mereka mahu menggunakan cara pintu belakang," katanya.

Bagaimanapun Zahid percaya ahli-ahli BN tidak akan jatuh dengan apa-apa "taktik pintu belakang".

Khabar angin kuat sebelum ini kuat mengatakan bahawa timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin pembangkang utama didakwa berkomplot untuk menggulingkan perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Bagaimanapun, khabar angin tersebut telah dinafikan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

[Baca berita asal]

Jumaat, April 03, 2015

Pemimpin Sarawak pertahan Najib, yakin BN menang PRU14

Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini daripada serangan Tun Dr Mahathir Mohamad, mengatakan setakat yang negeri itu tahu, Najib “akan menang besar di Sarawak pada pilihan raya umum (PRU) 2018”.

Tan Sri James Masing yang merupakan presiden parti Dayak yang terbesar, Parti Rakyat Sarawak (PRS), berkata ini kerana Najib membela kebajikan mereka yang mengundi BN, merujuk kepada sokongan rakyat Sabah dan Sarawak.

Menteri pembangungan tanah negeri itu juga mengatakan kenyataan Dr Mahathir yang rakyat di Sarawak tidak lagi percayakan Najib adalah tidak benar.

Perdana menteri paling lama berkhidmat itu semalam melemparkan kritikan paling keras terhadap Najib di dalam blog popularnya chedet.cc, menjangka kekalahan BN dalam PRU akan datang sekiranya Najib masih berkuasa.

Masing tidak setuju dengan perkara itu, mengatakan yang Najib, tidak seperti 5 perdana menteri sebelumnya, termasuk Dr Mahathir sendiri, bukannya hanya mementingkan Semenanjung dalam polisinya, sebaliknya juga menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat Sabah dan Sarawak, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Daripada 5 perdana menteri sejak 1963, hanya Najib seorang yang betul-betul prihatin dengan kebajikan Sabah dan Sarawak,

“Beliau mengiktiraf 16 September, tarikh yang dekat dengan rakyat Sabah dan Sarawak sebagai Hari Malaysia, 50 tahun selepas kemerdekaan.

“Beliau memperuntukkan dana untuk pembangunan Lebuhraya Pan Borneo sementara 4 perdana menteri sebelum ini, termasuk Dr Mahathir, tidak kisah langsung.”

Masing berkata, di bawah perdana menteri sebelum ini, “lebuh raya di Malaya dibina dari utara ke selatan, timur ke barat dan merata tempat.”

Katanya, berkata projek mega berbilion ringgit seperti Menara Berkembar Petronas, 2 jambatan di Pulau Pinang dan 'jambatan bengkok' yang gagal, semuanya dibina di Semenanjung.

Beliau berkata, hasil pandangan sempit perdana menteri terhadap Malaysia sebelum ini, “kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak tidak diendahkan.”

“Najib ambil masa melawat dan memperuntukkan dana bagi membangunkan Sabah dan Sarawak.

“Najib merupakan perdana menteri yang paling banyak melawat 2 negeri timur ini.”

“Beliau lakukannya kerana faham yang Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian penting Malaysia.

“Tanpa 2 negeri ini, tiadalah Malaysia.

“Perdana menteri sebelumnya, semuanya nampaknya hanya tumpukan pada Malaya.”

Masing berkata beliau yakin BN di bawah kepimpinan Najib akan terus mentadbir Malaysia selepas PRU14 pada 2018.

“Bagaimanapun, lebih mudah sekiranya Umno kekal bersatu padu, kerana parti yang bercelaru susah untuk dipertahankan,” katanya.

Dr Mahathir sejak tahun lepas terus-terusan menyerang Najib kerana perbezaan pendapat mereka berhubung soal dasar.

Dalam blog popularnya semalam, beliau menyenaraikan pelbagai dakwaan yang dibuat terhadap Najib dan mengatakan tidak satu pun antaranya dijelaskan sepenuhnya.

Ini termasuk kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu serta kenyataan daripada pembunuhnya, bekas komando Sirul Azhar Umar, yang merupakan bekas pengawal peribadi Najib.

Dr Mahathir juga menyentuh masalah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mempersoalkan keperluan Putrajaya memberikannya bantuan kewangan hampir RM1 bilion, pembelian tanah kerajaan yang dibuatnya dan perjanjian yang diragui dengan syarikat tidak dikenali ramai, PetroSaudi International.

“"Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Najib. Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar Umno, dan dengan itu BN, akan kalah jika Najib memimpin Umno hingga PRU14,” tulis beliau. – TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=262442:pemimpin-sarawak-pertahan-najib-yakin-bn-menang-pru14&Itemid=2#ixzz3WDWb9RQl
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

Isnin, Mac 16, 2015

Momen DR M, Najib duduk semeja

Mohamad Fadli

Kelihatan Najib dan Dr Mahathir bertegur sapa di atas pentas namun kurang bersembang ketika duduk di meja makan


KUALA LUMPUR: Di sebalik laporan media pro pembangkang yang menggambarkan hubungan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak baik, namun kedua-duanya dilihat hadir bersama dan duduk bersebelahan dalam majlis penutup Le Tour de Langkawi (LTDL).

Selepas bersama-sama menyampaikan hadiah dan menyarungkan jersi kepada pemenang mengikut kategori masing-masing, Dr Mahathir dan Najib duduk semeja untuk menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak penganjur.

Walau bagaimanapun, Najib dan Dr Mahathir yang bertegur sapa di atas pentas, kurang bersembang ketika duduk di meja makan.

Sebelum ini blog Dr Mahathir, chedet.cc tidak dapat diakses selepas beliau menulis mengenai dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menyoal kredibiliti Najib.

Media juga melaporkan bahawa Dr Mahathir tidak menolak sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam pilihanraya akan datang disebabkan oleh 1MDB dan Najib.

Dalam majlis penutup itu juga Dr Mahathir ditemani oleh isterinya Tun Dr Siti Hasmah dan turut hadir bersama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyambut kedatangan tetamu khas itu dan sementara Najib hanya berdiri di atas pentas.

Sementara itu, Dr Mahatihir yang mengulas mengenai dua pesawat Jupiter Aerobatic Team, Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (AU-TNI) terhempas ketika melakukan latihan aerobatik sempena LIMA ’15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini.

Beliau mengesahkan kesemua juruterbang pesawat tersebut selamat kerana mereka sempat terjun untuk menyelamatkan diri masing-masing.

“Saya cuma dimaklumkan pesawat itu jatuh terhempas di atas rumah yang penghuninya hanya seorang. Namun penghuni rumah tersebut selamat, cuma dia (penghuni rumah) itu hanya bau asap sahaja,” ulasnya ringkas.

Isnin, Februari 23, 2015

Berita panas yang pasti bikin buntut PKR dan DAP berasap............

Najib, MB Kelantan bertemu di Putrajaya
Najib turut memuat naik dua keping gambar dalam catatan tersebut yang menunjukkan kedua-dua pemimpin berkenaan berjabat tangan dan sesi perbincangan yang berlangsung. - Foto Facebook Najib Razak

KUALA LUMPUR, 23 Februari:

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di Putrajaya hari ini.

Najib dalam catatan di laman Facebooknya berkata beberapa isu kesejahteraan rakyat negeri itu menjadi topik perbincangan dalam pertemuan berkenaan.

“Insya-Allah, kerajaan Persekutuan akan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat paling utama dalam sebarang perkara,” katanya.

Najib turut memuat naik dua keping gambar dalam catatan tersebut yang menunjukkan kedua-dua pemimpin berkenaan berjabat tangan dan sesi perbincangan yang berlangsung.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/23/najib-mb-kelantan-bertemu-di-putrajaya/#ixzz3SZQxE8w8

Sabtu, November 15, 2014

Pengislahan Dalam Umno Perlu Bermula Dengan Muhasabah Diri - Najib


JOHOR BAHARU, 14 Nov (Bernama) -- Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan anggota parti bahawa proses pengislahan Umno perlu bermula dengan muhasabah diri dan seterusnya melakukan perubahan dalam usaha untuk menguatkan parti.

Perdana Menteri berkata proses pengislahan bukan terletak kepada kepimpinan tertinggi Umno semata-mata tetapi mesti merangkumi kesemuanya, termasuk akar umbi.

"Pengislahan bermaksud kita ada motivasi untuk berjuang demi kepentingan parti. Kalau ahli Umno disenangi dan diyakini, itu merupakan proses pertama kebolehpercayaan pada Umno," katanya ketika berucap sebelum merasmikan Konvensyen Umno Johor di sini pada Jumaat.

Beliau turut menegur sikap sesetengah anggota Umno yang lebih mementingkan diri sendiri dan kurang semangat cintakan parti.

"Macam dulu, bila Tunku Abdul Rahman (Presiden Umno ketika itu) tidak cukup duit untuk pergi London (runding tentang kemerdekaan Tanah Melayu (kini Malaysia)), ada ahli-ahli yang menghulurkan bantuan tetapi sekarang, bila minta buat kerja, ada yang tanya, apa yang dapat," kata Najib secara sinis, mengundang sorakan daripada lebih 800 perwakilan Umno Johor yang hadir pada konvensyen dua hari itu.

"Jangan hanya kaya material tetapi tidak kaya daya juang dan semangat sayangkan parti. Kalau kita ada semangat cintakan parti, kita akan buat kerja yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata pengislahan perlu bermula dengan muhasabah diri dan seterusnya melakukan perubahan.

"Kita harus sedar dalam mengamalkan demokrasi terbuka ini, kesudahannya, 'it's a game of numbers'. Kita harus menambah lagi sokongan kita yang seterusnya diterjemahkan kepada bilangan kerusi yang semakin meningkat untuk menjamin kekuatan kita yang lebih utuh.

"Kalau parti kuat, kalau parti masih berkuasa, perjuangan boleh diteruskan," kata Najib.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata anggota Umno perlu berfikiran terbuka sekiranya mahu menarik lebih ramai golongan muda menyertainya untuk menjadikan parti kekal relevan.

"Kalau kita terpaksa bagi laluan, bagilah laluan pada orang lain (orang muda contohnya), Barulah parti kita dilihat sebagai parti dinamik, parti segar dan parti berwibawa," katanya.

Merujuk ucapan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyentuh pengislahan moden dan progresif, inklusif, Melayu dan Islam tanpa mengetepikan kaum lain, Najib berkata itulah antara ramuan dan gerak kerja yang diperlukan untuk kelangsungan parti pada masa depan.

"Tidak salah saya cakap yang proses kebangkitan semula Umno adalah amat wajar bermula di sini (Johor). Di bumi inilah kebangkitan semula Umno Johor dan Barisan Nasional sebagai tunjang kekuatan kita. Saya amat sedar yang kelangsungan mesti dimulakan dengan kubu kuat Umno," kata beliau.

Konvensyen itu, yang bermula pada Jumaat, turut dihadiri Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

-- BERNAMA

Jumaat, Oktober 03, 2014

Perdana Menteri Malaysia: Kurang subsidi minyak jaga kepentingan rakyat


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata langkah kerajaan mengurangkan subsidi minyak adalah untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara bagi tempoh jangka masa panjang.

Perdana menteri berkata walaupun tindakan itu tidak popular namun ia harus dilakukan memandangkan subsidi bahan api yang ditanggung oleh kerajaan setiap tahun sangat tinggi.

Malah, katanya, jika langkah itu tidak diambil, ia bakal meninggalkan kesan kepada ekonomi negara berikutan kekurangan hasil untuk perbelanjaan negara.

"Tahun lepas subsidi bahan api petrol, LPG dan diesel berjumlah RM24 bilion dan ia bukan jumlah yang kecil.

"Jika jumlah itu kita tidak kurangkan boleh menyebabkan kita tak cukup hasil untuk menampung perbelanjaan kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian watikah dan wakalah lembu korban untuk kawasan Parlimen Pekan sempena Hari Raya Aidiladha, Ahad ini di sini.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob itu, Najib yang juga anggota Parlimen Pekan menyampaikan 505 ekor lembu untuk seluruh kawasan parlimen itu.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan akan mengumumkan pelbagai langkah untuk membantu rakyat menghadapi masalah pengurangan subsidi minyak dalam pembentangan Belanjawan 10 Oktober ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata langlah itu termasuk pemberian subsidi bersasar terus kepada rakyat seperti bantuan persekolahan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan lain yang akan diumumkan kelak.

"Dalam bajet akan datang sudah tentu kita akan fikir bagaimana nak bantu rakyat supaya bantuan terus sampai kepada mereka dan kurangkan ketirisan supaya ekonomi lebih kukuh, pertumbuhan ekonomi meningkat dan lebih banyak (hasil) yang boleh kita bagi kepada rakyat," katanya.

Najib berkata kerajaan juga akan mengkaji semula pemberian subsidi pukal bahan api berikutan berlaku kes ketirisan terhadap pengagihan bahan api berkenaan kepada rakyat di negara ini.

"Ini kerana subsidi bahan api ketika ini turut dinikmati oleh orang yang lebih kaya, pelancong, pekerja asing dan pekerja asing tanpa izin.

"Malah baru-baru ini ketika Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor, saya dapati minyak diesel kita banyak diseludup keluar dari Rantau Panjang untuk dijual di seberang sana (Thailand)," katanya.

Najib dalam pada itu turut mengingatkan rakyat, agar menjadikan elemen pengorbanan, asas dalam mencapai kejayaan.

"Kalau kita sanggup berkorban dengan ikhlas hati tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran, Insya-Allah kita akan mendapat ganjaran yang setimpal," katanya.

- Bernama

Isnin, Jun 17, 2013

Jangan Terpedaya Dengan Pembohongan Pembangkang

Fitnah dan pembohongan pembangkang berhubung proses PRU13 telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap kerajaan, kata Najib.

Oleh Ahmad Fuad Yahya dan Normalazwa Jamaludin

JAKARTA: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para pelajar Malaysia di luar negara supaya tidak terpedaya dengan pembohongan pembangkang sehingga menyebabkan mereka tidak lagi menyokong kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri berkata fitnah dan pembohongan pembangkang berhubung proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu misalnya telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap kerajaan sehingga ada golongan terpelajar juga turut mempercayainya.

“Sampai hari ini belum ada buktipun bahawa kononnya kita bawa 40,000 warga Bangladesh (untuk mengundi), ini satu fitnah dan pembohongan yang amat besar yang berlaku dalam pilihan raya kali ini.

“Sebab itu saya kata tak kan ada orang tak boleh fikir, rupanya ada orang tak boleh fikir, saya dapat tahu peguam pun tak boleh fikir. Apa sudah berlaku ke atas mereka, apa yang terjadi dengan tahap kecerdikan dan rasional yang tak boleh fikir soal ini,” katanya semasa berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia di Dewan Serbaguna, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di Kuningan, di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan isteri Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail.

Najib berada di sini dalam rangka lawatan peribadi untuk bertemu beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengannya, selain berehat selepas PRU13.

Perdana Menteri meminta para pelajar Malaysia di Indonesia berfikir secara rasional bagaimana Barisan Nasional (BN) kononnya boleh membawa 40,000 warga Bangladesh ke Malaysia sebagai pengundi kerana ia memerlukan 100 pesawat jumbo untuk mengangkut mereka dari negara asal dan memerlukan 1,000 buah bas pula untuk membawa mereka ke tempat mengundi pada hari mengundi.

Secara logik, katanya, dakwaan pembangkang itu tidak masuk akal dan BN pula sukar untuk menyembunyikan warga Bangladesh di Malaysia kerana ciri-ciri paras rupa mereka adalah berlainan dengan kebanyakan warga Malaysia.

“Saya sebagai Pengerusi BN menafikan dengan sekeras-kerasnya wujud penipuan yang kononnya dilakukan oleh BN. Proses pilihan raya telah berlaku dengan adil mengikut undang-undang dan peraturan,” katanya.

Najib berkata BN yang telah banyak melakukan perubahan dari segi penyampaian dalam tempoh empat tahun yang lalu dan telah menang secara sah pada PRU13, namun ia kalah dalam perang persepsi kerana fitnah dan pembohongan yang dilakukan pembangkang melalui media alternatif yang lebih dipercayai daripada kebenaran yang dipaparkan dalam media arus perdana.

Perang persepsi

“Kita perlu untuk PRU akan datang, BN melengkapkan dari segi kemampuan untuk memerangi perang persepsi, realitinya kita sudah sampaikan, Malaysia semakin hari semakin makmur dan menjadi contoh kepada negara lain tetapi persepsinya dikatakan sebaliknya.

“Inilah yang kita hadapi sebagai cabaran yang paling besar kepada BN untuk memerangi perang persepsi,” katanya.

Perdana Menteri berkata sunggupun lawatannya ke Indonesia kali ini bersifat peribadi, beliau turut mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengan beliau.

“Saya telah menegaskan kepada mereka bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia merupakan hubungan yang sangat penting yang perlu dipupuk dan diperkukuhkan melalui lawatan rasmi dan peribadi,” katanya.

Najib berkata dalam lawatannya kali ini beliau turut ditemu bual stesen TV swasta MetroTV dan ditemu ramah majalah Tempo di sini di mana beliau antara lain menyampaikan mesej bahawa Malaysia ingin melihat integrasi ekonomi antara Malaysia dan Indonesia menjadi lebih mendalam walaupun kedua-dua negara mempunyai jumlah dagangan yang sentiasa baik iaitu kira-kira AS$18 bilion.

Sasaran yang dituju dari segi jumlah dagangan untuk kedua-dua negara itu ialah AS$30 bilion menjelang tahun 2015.

“Saya sampaikan mesej ini dengan harapan berdasarkan hubungan kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat yang sangat serasi, maka ia perlu diterjemahkan dalam bentuk hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan, yang boleh menjadikan hubungan Malaysia-Indonesia lebih kukuh,” katanya.

- Bernama