Facebook Atuk Banjar Masin

Memaparkan catatan dengan label Pilihan Raya Kecil (PRK). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pilihan Raya Kecil (PRK). Papar semua catatan

Jumaat, Jun 03, 2016

PRK: Wanita Umno akan perjelas RUU Mahkamah Syariah

Pembentangan usul Rang Undang-undang Persendirian berkaitan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 tidak akan memberi kesan kepada BN meraih sokongan pengundi bukan Melayu dalam dua pilihan raya kecil (PRK) pada 18 Jun ini.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan itu akan turun padang untuk memberi penjelasan mengenai RUU tersebut kepada pengundi sewaktu berkempen di PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

"RUU ini mungkin menjadi isu tetapi kita akan memberi penjelasan. RUU tersebut sebenarnya bukan hudud seperti yang digempar-gemburkan oleh pihak pembangkang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Festival India Global 2016 di ibunegara semalam.

RUU itu dibentang oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga ahli Parlimen Marang, di Dewan Rakyat, Khamis lepas.

Shahrizat turut merayu kepada pengundi agar terus memberikan mandat kepada calon BN bagi kedua-dua pilihan raya itu.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Datin Mastura Mohd Yazid merupakan calon BN di Kuala Kangsar manakala Budiman Mohd Zohdi, calon BN di Sungai Besar.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno mengambil pendekatan mendekati pengundi di Kuala Kangsar dalam menangani pelbagai tohmahan terhadap calon BN yang disebarkan menerusi media sosial.

Naib Ketua Pemudanya Khairul Azwan Harun berkata pihaknya akan bergerak sebagai agen pemasaran bagi memastikan calon BN Datin Mastura Mohd Yazid menang pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Kuala Kangsar itu.

"Kita tidak berasa sukar (untuk berkempen bagi pihak Mastura), kita bersedia untuk memastikan pengundi memilih calon BN pada PRK ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Kerjaya dan Pekerjaan di Safari Resort di Kuala Kangsar hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekangan Mastura yang tidak dapat berkempen berikutan masih dalam edah selepas kematian suaminya yang juga penyandang kerusi berkenaan dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.

Mengulas lanjut mengenai pelbagai tohmahan terhadap Mastura di media sosial, Khairul Azwan berkata mereka yang menyebarkan tohmahan itu perlu sedar bahawa pengundi di Kuala Kangsar bijak dalam menilai calon BN itu.

"Kalau orang di sini tidak kenal calon macam mana boleh nak bertanding? Datin Mastura sudah dikenali ramai (di Kuala Kangsar)," katanya.

Pengundi di Kuala Kangsar juga sedar bahawa Mastura pastinya komited untuk meneruskan perjuangan suaminya dalam membela penduduk kawasan berkenaan, katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRK itu adalah pada Ahad ini, manakala pengundian 18 Jun.

- Bernama

Ahad, April 19, 2015

PRK Rompin: Datuk Hasan Arifin diumum calon BN

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat di pejabat UMNO Bahagian Rompin, Muadzam Shah. Turut kelihatan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri), Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (tiga dari kanan) dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin (dua dari kanan). – Foto Farizul Hafiz Awang

MUADZAM SHAH: Barisan Nasional (BN) sebentar tadi mengumumkan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin, 62, sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah Utama PRK Parlimen Rompin di Dataran Muadzam Shah, di sini. Turut hadir, Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; dan barisan kepemimpinan UMNO Pahang dan bahagian.

Hasan yang berasal dari Kampung Ayau, Leban Chondong pernah menjadi Timbalan Menteri Besar dari tahun 1995 sehingga 1999. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tioman dan Bukit Ibam selama empat penggal bermula 1990. PRK Rompin ditetapkan pada 5 Mei manakala hari penamaan calon pada Rabu depan.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 Mei lalu. Nahas itu turut mengorbankan lima yang lain, termasuk Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias.

Khamis, April 02, 2015

Dr Mazlan calon terbaik UMNO rampas Permatang Pauh - Penganalisis politik

Dr Mazlan yang calon UMNO bagi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) itu mampu meraih sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat. -Foto Facebook Kami Sokong Dr. Mazlan Ismail sebagai MP Permatang Pauh

KUALA LUMPUR, 2 April:

Dr. Mazlan Ismail dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk bertanding dalam Pilih Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh tidak lama lagi sekiranya UMNO ingin merampas kerusi berkenaan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr.Sivamurugan Pandian berkata, bekas calon UMNO bagi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) itu mampu meraih sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, Mazlan yang juga merupakan bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang itu dilihat boleh meraih sokongan bukan sahaja daripada ahli UMNO malah juga daripada penyokong PAS.

“Pergeseran antara PAS dan DAP menyebabkan penyokong parti Islam tersebut kurang senang dan mungkin akan memberikan undi kepada UMNO.

“Ia juga mungkin dilihat sebagai jalan terbaik bagi mengelakkan daripada berulangnya kes meletakkan calon yang tidak sesuai di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post di sini.

Tambah Pensyarah Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu lagi, PAS dilihat akan bersama-sama dalam Pakatan Rakyat (PR) dalam mengharungi PRK tersebut.

Namun begitu jelasnya, sekiranya PAS membuat keputusan untuk keluar daripada PR sewaktu PRK berlangsung, ia akan memberikan impak yang cukup besar kepada PKR.

“PAS mempunyai sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Permatang Pasir yang dimenangi sejak 1999 dan merupakan kubu kuat parti berkenaan di Permatang Pauh.

“Oleh itu sekiranya PAS keluar daripada PR dalam tempoh kempen PRK berlangsung mungkin sesuatu di luar jangkaan akan berlaku,” ujarnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/02/dr-mazlan-calon-terbaik-umno-rampas-permatang-pauh-penganalisis-politik/#ixzz3W6iQhfTj