Facebook Atuk Banjar Masin

Memaparkan catatan dengan label Parti Amanah Negara (Amanah). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Parti Amanah Negara (Amanah). Papar semua catatan

Jumaat, Januari 15, 2016

Pakatan Harapan hanya sekadar kosmetik

PAKATAN Harapan, yang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), perlu membuktikan bahawa ia mempunyai kekuatan tersendiri, sekali gus berupaya mengubah landskap politik Malaysia, demikian menurut penganalisis politik.

Tekad memeterai perjanjian kerjasama pada 9 Januari lepas, ketiga-tiga parti perlu membuktikan dan tidak mengulangi kesilapan lampau ketika bersama-sama dalam PR melalui gerak kerja dan keputusan kolektif sebagai satu gabungan politik mantap.

Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun ini pastinya ditunggu-tunggu oleh banyak pihak untuk melihat sejauh mana kemampuan ketiga-tiga parti itu bekerjasama dan memberi impak kepada dunia politik tanah air.

Bertambah kukuhkah Pakatan Harapan selepas termeterainya perjanjian baharu itu?

Kekal formula lama
Penganalisis politik bagaimanapun melihat perjanjian pakatan kali ini masih menggunakan model serupa dengan PR yang mengamalkan politik berasaskan kepada hubungan berasaskan kepentingan tertentu.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, perjanjian yang ditandatangani ketiga-tiga parti itu masih mengekalkan prinsip sama seperti ketika PR diwujudkan dahulu.

Perbezaannya cuma pada nama dan tanpa penglibatan Pas, yang kedudukannya kini diambil alih Amanah.

“Pembangkang telah pun kehilangan aset yang besar apabila Pas keluar daripada pakatan… mereka (pakatan) mengalami kemerosotan sokongan khususnya orang Melayu apabila Pas tidak menyertai mereka dan inilah realitinya,” katanya kepada Bernama.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Amini Amir, yang bersependapat dengan Samsul Adabi, berpandangan bahawa perjanjian itu sekadar kosmetik dan tidak membawa apa-apa keuntungan kepada rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata, apa yang terjadi ketika PR boleh terjadi di dalam pakatan PKR, DAP dan Amanah.

“Apabila Pas keluar, sudah pasti Pakatan Harapan tidak kukuh dan kuat kerana yang menguatkan PR sebelum ini ialah Pas yang memiliki jentera yang besar. Amanah tidak setanding Pas meskipun parti itu diberikan peranan menggantikan Pas,” katanya.

Retorik
Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib melihat tindakan mengadakan perjanjian itu hanyalah satu retorik politik.

“Apa yang berlaku dalam pembangkang sebelum ini (PKR, Pas dan DAP) menyebabkan gabungan pakatan baharu ini (PKR, DAP dan Amanah) kononnya mahu lebih berwaspada sehingga membawa kepada perjanjian ini,” katanya.

Md Shukri berkata pembangkang ketika ini sedang berusaha keras sehingga menuntut mereka mengadakan perjanjian berkenaan bagi mengikat ketiga-tiga parti, selain cuba menonjolkan kepada rakyat bahawa mereka juga mampu bertahan dan mencapai kesepaduan seperti BN.

“Persoalannya, jika sudah wujud pakatan yang baharu dengan perjanjian bersama maka apa akan jadi dengan pakatan sebelum ini yang melibatkan Pas terutamanya dalam hal pentadbiran kerajaan Selangor?

“Kerajaan Selangor nampaknya perlu membuang anggota Exco Pas dan menggantikannya dengan seseorang daripada Parti Amanah, itupun atas persetujuan dan perjanjian baharu yang dimeterai oleh ketiga-tiga parti. Tetapi, bersediakah Pakatan Harapan menguatkuasakan perkara itu atau adakah ini satu ‘siri drama’ pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14?,” katanya.

Gimik politik
Merujuk kenyataan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 9 Januari lepas yang dilapor sebagai berkata perjanjian itu menunjukkan komitmen serius Pakatan Harapan untuk menjadi ‘government-in-waiting’, penganalisis politik berkenaan berpendapat bahawa ia adalah sekadar gimik politik.

“Realitinya, mereka dah kemerosotan sokongan selepas PAS tidak lagi bersama mereka… ini hakikat yang mereka tidak boleh nafikan dan mereka juga tidak mampu menggantikan BN.

“Kenyataan ini dibuat sekadar untuk menunjukkan kepada umum bahawa pakatan masih lagi kuat meskipun tanpa Pas,” kata Samsul Adabi.

Amini pula berkata: “Ia sekadar untuk mempengaruhi rakyat bahawa mereka semakin matang dan kukuh walaupun realiti adalah sebaliknya.”

Perjanjian Pakatan Harapan antara lain berkenaan hala tuju pakatan termasuk proses dalam membuat keputusan membabitkan gabungan itu, calon pilihan raya dan kesetiaan terhadap kerjasama itu.

Perjanjian itu juga turut menggariskan langkah tegas termasuk memecat keanggotaan parti tidak sehaluan.

Sokongan Melayu pecah
Natijahnya, ke arah mana sokongan orang Melayu selepas penubuhan Amanah, yang berteraskan orang Melayu?

Melihat senario politik semasa ini, kedua-dua penganalisis politik ini berpendapat penubuhan parti Amanah akan membawa kepada perpecahan undi khususnya di kawasan majoriti Melayu.

Mereka juga yakin pertandingan tiga penjuru antara – Pas, Umno, Amanah – pasti tidak dapat dielakkan pada pilihan raya umum akan datang.

Amini berkata, dalam konteks Pakatan Harapan, Pas pastinya tidak akan mendapat sokongan padu daripada penyokong tegar pakatan itu sekiranya bertanding di kawasan majoriti Melayu yang turut ditandingi Umno dan Amanah.

“DAP dan PKR pastinya berhabis-habisan berjuang memastikan rakan sekutu mereka menang manakala Pas bukan lagi rakan sekutu mereka,” katanya.

Samsul Adabi berpandangan ekoran pergolakan politik semasa khususnya melibatkan parti berteraskan orang Melayu akan menjadikan kumpulan atas pagar lebih ramai pada pilihan raya umum ke-14.

“Ini akan menyebabkan perpecahan di kalangan orang Melayu,” katanya. – Bernama

Khamis, November 12, 2015

'Tak boleh elak kemungkinan kerajaan Umno - PAS'

Shakira Buang 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali tidak menolak kebarangkalian ke arah pembentukan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno.

Penyelaras BN Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata kerajaan negeri sekarang ini juga sebenarnya sebuah “kerajaan perpaduan” antara DAP, PAS dan PKR.

Justeru, Mat Nadzari berkata, tidak mustahil bentuk sama boleh berlaku antara PAS dan Umno.

"Kita tidak boleh menolak sebarang kebarangkalian kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

“(Isu kerajaan) perpaduan PAS dan Umno kita akan akur kepada (pendirian BN) pusat,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Malah, kata Nadzari, keadaan semasa juga menunjukkan empat parti sedang bertelagah berkaitan status kerajaan negeri.

Beliau merujuk kemelut kerajaan negeri ketika PKR dan DAP membentuk gabungan baru dengan serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH).

PAS tidak terlibat dalam gabungan itu di peringkat nasional tetapi bekerjasama mempertahankan kerajaan di Selangor.

Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar kelmarin dilaporkan berkata parti itu tidak pernah mengadakan perbincangan dengan PAS bagi membentuk kerajaan perpaduan di Selangor.

Rabu, November 11, 2015

Mat Sabu ramal Kelantan jatuh ke tangan BN pada PRU14

Kata Mat Sabu, berdasarkan pengamatan dan kajian mendapati kemenangan Pas di Kelantan lebih bergantung kepada anak-anak Kelantan yang berada di luar (pengundi luar). - Foto TRP/Adib Hakim
RANTAU PANJANG, 11 November:

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menjelaskan Kelantan mungkin akan jatuh ke tangan Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Katanya, berdasarkan pengamatan dan kajian mendapati kemenangan Pas di Kelantan lebih bergantung kepada anak-anak Kelantan yang berada di luar (pengundi luar).

“Kita dapati hanya di Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa (dianggap kubu kuat Pas) sahaja yang boleh menang tetapi di kawasan lain lebih bergantung kepada rakyat Kelantan yang berada di luar.

“Kawasan lain seperti Machang, Pasir Puteh, Tanah Merah serta Kuala Krai dilihat banyak bergantung kepada pengundi luar. Macam di Parlimen Bachok…hanya menang dengan beberapa ratus undi sahaja. Itupun dengan kepulangan pengundi luar,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Pejabat Parti Amanah Negara (Amanah) di sini, hari ini.

Jelasnya, sekiranya rakyat Kelantan mahu ‘menongkat’ Pas, janganlah pula jatuh kepada BN.

Katanya, sejak dua bulan penubuhan Amanah, Pas diligat ‘jatuh’ tetapi keadaan sebenar hanya boleh dilihat dalam tempoh setahun.

“Di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka hampir keseluruhan beralih ke Amanah. Apa yang kita tahu kebanyakan anak Kelantan yang berada di luar amat pertikaikan Pas yang ada sekarang,” katanya yang turut menyindir Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang sebelum ini pernah berkata parti baru ini (Amanah) belum tentu beranak atau tidak tetapi sekarang sudah diam.

Dalam perkembangan sama, Mat Sabu berkata tidak timbul soal berani atau tidak untuk letak nama sebagai calon PRU14 di Kelantan, tetapi belum masanya untuk memikirkan soal itu.

Mat Sabu berkata, beliau mungkin akan memikirkan soal bertanding berdasarkan sokongan ahli kelak.

Ketika ini katanya, paling penting adalah memikirkan soal untuk menambahkan bilangan ahli dan menarik sokongan rakyat.

“Mungkin bertanding di Kelantan atau mungkin di negeri lain, tetapi kami punya masa dua tahun lagi untuk menilai perkara ini sehingga tiba PRU 14.

“Saya yakin, kita akan buat pengumuman tahun depan, sama ada kita bertanding di negeri mana,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/11/11/mat-sabu-ramal-kelantan-jatuh-ke-tangan-bn-pada-pru14/#ixzz3rBymjBEQ

Isnin, November 02, 2015

'Janganlah kita marahkan nyamuk, kelambu dibakar'

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hadir menyertai larian amal 'Malaysian United Run' anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) di Padang Merbok hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 1 November:

Politik harus diterjermahkan mengikut ideologi semangat kesatuan tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata mana-mana gabungan parti politik diminta supaya menerapkan perpaduan bagi membina masa depan bangsa dan negara.

Beliau yang merupakan Menteri Pertahanan, berkata sebagai asas politik semua pihak perlu menjauhi politik perpecahan dan kebencian.

“Dalam politik tidak semestinya menjurus kepada perpecahan kerana politik ada had dan batasannya dan janganlah kita marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

“Apa yang penting sekarang kita mestilah ada asas-asas politik yang membina untuk masa depan negara,” katanya selepas menyertai larian amal Malaysian United Run anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) di Padang Merbuk, di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam berkaitan Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipelopori beberapa bekas pemimpin Pas secara tidak langsung telah mewujudkan peluang kepada Umno untuk mencari titik persefahaman dengan Pas.

Mukhriz yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata, tindakan pemimpin Pas melompat ke Amanah merupakan peluang kepada Umno untuk menghidupkan semula usaha mencari titik persefahaman dengan Pas.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/11/01/janganlah-kita-marahkan-nyamuk-kelambu-dibakar/#ixzz3qFFniPY6