RANTAU PANJANG, 11 November:
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menjelaskan Kelantan mungkin akan jatuh ke tangan Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Katanya, berdasarkan pengamatan dan kajian mendapati kemenangan Pas di Kelantan lebih bergantung kepada anak-anak Kelantan yang berada di luar (pengundi luar).
“Kita dapati hanya di Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa (dianggap kubu kuat Pas) sahaja yang boleh menang tetapi di kawasan lain lebih bergantung kepada rakyat Kelantan yang berada di luar.
“Kawasan lain seperti Machang, Pasir Puteh, Tanah Merah serta Kuala Krai dilihat banyak bergantung kepada pengundi luar. Macam di Parlimen Bachok…hanya menang dengan beberapa ratus undi sahaja. Itupun dengan kepulangan pengundi luar,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Pejabat Parti Amanah Negara (Amanah) di sini, hari ini.
Jelasnya, sekiranya rakyat Kelantan mahu ‘menongkat’ Pas, janganlah pula jatuh kepada BN.
Katanya, sejak dua bulan penubuhan Amanah, Pas diligat ‘jatuh’ tetapi keadaan sebenar hanya boleh dilihat dalam tempoh setahun.
“Di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka hampir keseluruhan beralih ke Amanah. Apa yang kita tahu kebanyakan anak Kelantan yang berada di luar amat pertikaikan Pas yang ada sekarang,” katanya yang turut menyindir Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang sebelum ini pernah berkata parti baru ini (Amanah) belum tentu beranak atau tidak tetapi sekarang sudah diam.
Dalam perkembangan sama, Mat Sabu berkata tidak timbul soal berani atau tidak untuk letak nama sebagai calon PRU14 di Kelantan, tetapi belum masanya untuk memikirkan soal itu.
Mat Sabu berkata, beliau mungkin akan memikirkan soal bertanding berdasarkan sokongan ahli kelak.
Ketika ini katanya, paling penting adalah memikirkan soal untuk menambahkan bilangan ahli dan menarik sokongan rakyat.
“Mungkin bertanding di Kelantan atau mungkin di negeri lain, tetapi kami punya masa dua tahun lagi untuk menilai perkara ini sehingga tiba PRU 14.
“Saya yakin, kita akan buat pengumuman tahun depan, sama ada kita bertanding di negeri mana,” katanya.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/11/11/mat-sabu-ramal-kelantan-jatuh-ke-tangan-bn-pada-pru14/#ixzz3rBymjBEQ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
, , , ,