Facebook Atuk Banjar Masin

Ahad, November 08, 2015

Vape ciptaan negara luar rosakkan anak muda kita: Orang Besar Daerah Gombak

Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmood (kiri) bergambar bersama YDP Isma Gombak, En Zuraidi Zakaria selepas merasmikan Karnival Sukan, Kesihatan dan Keluarga (KLIKK) semalam. Gambar oleh Syarifah Hawa A Latip.

Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

AHAD, Gombak – Rokok elektronik atau vape adalah produk ciptaan negara luar untuk merosakkan anak muda kita.

Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pa’Wan Teh berkata, orang yang menghisap vape dengan alasan mahu berhenti merokok adalah umpama ‘keluar dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya’, dan ia wajib dihindari.

Beliau berkata demikian kepada Ismaweb ketika diminta mengulas isu vape yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

Selain itu, beliau menggesa pihak kerajaan menaikkan cukai arak, rokok dan judi sebagai langkah pencegahan.

“Arak dan rokok tak baik untuk rakyat Malaysia, naikkan cukai setinggi-tingginya atau haramkan terus,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Sukan, Kesihatan dan Keluarga (KLIKK) siri ketiga anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Gombak di Surau Al-Ikhwan Taman Samudra, Batu Caves semalam.

Karnival bertemakan kekeluargaan dan kesihatan ini diadakan bertujuan mengajak masyarakat mengutamakan kesejahteraan institusi keluarga di samping menggalakkan gaya hidup sihat.

Turut hadir di majlis perasmian Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Gombak, Datuk Haji Mohd Yunus Haji Tahir, Pengerusi Surau Al-Ikhwan, Haji Muzammir Haji Bakri, Timbalan Presiden Isma, Haji Aminuddin Yahaya dan Yang Dipertua Isma Gombak, En Zuraidi Zakaria.

Dalam ucapannya, Tan Sri Wan Mahmood memuji Isma sebagai salah satu NGO yang aktif menyampaikan mesej-mesej pembangunan umat kepada masyarakat.

Karnival dua hari ini menyediakan pelbagai aktiviti seperti forum kekeluargaan, pertandingan mewarna dan hafazan untuk kanak-kanak, demo masakan, larian maraton dan malam persembahan ‘Malam Inspirasi Palestin’.

Lebih 30 gerai jualan dan pameran disediakan sepanjang karnival ini.
Tan Sri Wan Mahmood membelek album gambar aktiviti Isma Gombak di meja pameran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,