Facebook Atuk Banjar Masin

Memaparkan catatan dengan label Pakatan Harapan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pakatan Harapan. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 15, 2016

Pakatan Harapan hanya sekadar kosmetik

PAKATAN Harapan, yang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), perlu membuktikan bahawa ia mempunyai kekuatan tersendiri, sekali gus berupaya mengubah landskap politik Malaysia, demikian menurut penganalisis politik.

Tekad memeterai perjanjian kerjasama pada 9 Januari lepas, ketiga-tiga parti perlu membuktikan dan tidak mengulangi kesilapan lampau ketika bersama-sama dalam PR melalui gerak kerja dan keputusan kolektif sebagai satu gabungan politik mantap.

Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun ini pastinya ditunggu-tunggu oleh banyak pihak untuk melihat sejauh mana kemampuan ketiga-tiga parti itu bekerjasama dan memberi impak kepada dunia politik tanah air.

Bertambah kukuhkah Pakatan Harapan selepas termeterainya perjanjian baharu itu?

Kekal formula lama
Penganalisis politik bagaimanapun melihat perjanjian pakatan kali ini masih menggunakan model serupa dengan PR yang mengamalkan politik berasaskan kepada hubungan berasaskan kepentingan tertentu.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, perjanjian yang ditandatangani ketiga-tiga parti itu masih mengekalkan prinsip sama seperti ketika PR diwujudkan dahulu.

Perbezaannya cuma pada nama dan tanpa penglibatan Pas, yang kedudukannya kini diambil alih Amanah.

“Pembangkang telah pun kehilangan aset yang besar apabila Pas keluar daripada pakatan… mereka (pakatan) mengalami kemerosotan sokongan khususnya orang Melayu apabila Pas tidak menyertai mereka dan inilah realitinya,” katanya kepada Bernama.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Amini Amir, yang bersependapat dengan Samsul Adabi, berpandangan bahawa perjanjian itu sekadar kosmetik dan tidak membawa apa-apa keuntungan kepada rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata, apa yang terjadi ketika PR boleh terjadi di dalam pakatan PKR, DAP dan Amanah.

“Apabila Pas keluar, sudah pasti Pakatan Harapan tidak kukuh dan kuat kerana yang menguatkan PR sebelum ini ialah Pas yang memiliki jentera yang besar. Amanah tidak setanding Pas meskipun parti itu diberikan peranan menggantikan Pas,” katanya.

Retorik
Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib melihat tindakan mengadakan perjanjian itu hanyalah satu retorik politik.

“Apa yang berlaku dalam pembangkang sebelum ini (PKR, Pas dan DAP) menyebabkan gabungan pakatan baharu ini (PKR, DAP dan Amanah) kononnya mahu lebih berwaspada sehingga membawa kepada perjanjian ini,” katanya.

Md Shukri berkata pembangkang ketika ini sedang berusaha keras sehingga menuntut mereka mengadakan perjanjian berkenaan bagi mengikat ketiga-tiga parti, selain cuba menonjolkan kepada rakyat bahawa mereka juga mampu bertahan dan mencapai kesepaduan seperti BN.

“Persoalannya, jika sudah wujud pakatan yang baharu dengan perjanjian bersama maka apa akan jadi dengan pakatan sebelum ini yang melibatkan Pas terutamanya dalam hal pentadbiran kerajaan Selangor?

“Kerajaan Selangor nampaknya perlu membuang anggota Exco Pas dan menggantikannya dengan seseorang daripada Parti Amanah, itupun atas persetujuan dan perjanjian baharu yang dimeterai oleh ketiga-tiga parti. Tetapi, bersediakah Pakatan Harapan menguatkuasakan perkara itu atau adakah ini satu ‘siri drama’ pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14?,” katanya.

Gimik politik
Merujuk kenyataan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 9 Januari lepas yang dilapor sebagai berkata perjanjian itu menunjukkan komitmen serius Pakatan Harapan untuk menjadi ‘government-in-waiting’, penganalisis politik berkenaan berpendapat bahawa ia adalah sekadar gimik politik.

“Realitinya, mereka dah kemerosotan sokongan selepas PAS tidak lagi bersama mereka… ini hakikat yang mereka tidak boleh nafikan dan mereka juga tidak mampu menggantikan BN.

“Kenyataan ini dibuat sekadar untuk menunjukkan kepada umum bahawa pakatan masih lagi kuat meskipun tanpa Pas,” kata Samsul Adabi.

Amini pula berkata: “Ia sekadar untuk mempengaruhi rakyat bahawa mereka semakin matang dan kukuh walaupun realiti adalah sebaliknya.”

Perjanjian Pakatan Harapan antara lain berkenaan hala tuju pakatan termasuk proses dalam membuat keputusan membabitkan gabungan itu, calon pilihan raya dan kesetiaan terhadap kerjasama itu.

Perjanjian itu juga turut menggariskan langkah tegas termasuk memecat keanggotaan parti tidak sehaluan.

Sokongan Melayu pecah
Natijahnya, ke arah mana sokongan orang Melayu selepas penubuhan Amanah, yang berteraskan orang Melayu?

Melihat senario politik semasa ini, kedua-dua penganalisis politik ini berpendapat penubuhan parti Amanah akan membawa kepada perpecahan undi khususnya di kawasan majoriti Melayu.

Mereka juga yakin pertandingan tiga penjuru antara – Pas, Umno, Amanah – pasti tidak dapat dielakkan pada pilihan raya umum akan datang.

Amini berkata, dalam konteks Pakatan Harapan, Pas pastinya tidak akan mendapat sokongan padu daripada penyokong tegar pakatan itu sekiranya bertanding di kawasan majoriti Melayu yang turut ditandingi Umno dan Amanah.

“DAP dan PKR pastinya berhabis-habisan berjuang memastikan rakan sekutu mereka menang manakala Pas bukan lagi rakan sekutu mereka,” katanya.

Samsul Adabi berpandangan ekoran pergolakan politik semasa khususnya melibatkan parti berteraskan orang Melayu akan menjadikan kumpulan atas pagar lebih ramai pada pilihan raya umum ke-14.

“Ini akan menyebabkan perpecahan di kalangan orang Melayu,” katanya. – Bernama

Sabtu, September 26, 2015

Tiada Parti Wakili Kaum India Dalam Pakatan Harapan - NewGen Party

AIDCNews – 25/9/15 – Tiada parti yang mewakili kaum India dalam Pakatan Harapan, oleh itu Parti Generasi Baru (NewGen Party) berharap dapat mengisi kekosongan itu kata Setiausaha Agung parti itu, S. Gobi Krishnan.

“NewGen Party yang merupakan parti berbilang kaum untuk semua rakyat Malaysia tetapi didominasi oleh kaum India di Malaysia bertanyakan parti mana dalam Pakatan Harapan yang menjaga kepentingan kaum India di negara ini,” kata Gobi Krishnan dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, Parti Pekerja Malaysia atau Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan parti berbilang kaum, tetapi kedua-dua parti itu “didominasikan oleh kaum Melayu yang menjaga kepentingan masyarakat Melayu”.

“Begitu juga DAP, sebuah parti berbilang kaum tetapi didominasikan oleh kaum Cina yang melihat kepada kepentingan masyarakat Cina. Jadi, siapa yang akan menjaga kepentingan kaum India dalam Pakatan Harapan yang baharu dibentuk?

“NewGen Party sendiri menawarkan Pakatan Harapan untuk menjaga kepentingan kaum India,” tambah Gobi.

Beliau turut mendakwa, ramai orang India yang menyertai PKR pada 2008 kemudiannya telah menyedari bahawa parti itu bukan menjaga kepentingan orang India.

“Ia (PKR) hanya ‘Umno mini’ yang majoriti kepimpinan mereka dikawal oleh ahli politik bangsa Melayu.

“Sekarang terdapat kekosongan untuk orang India. Inilah di mana NewGen party akan tampil mengisi kekosongan dan menjuarai isu-isu di sekeliling masyarakat India,” katanya lagi.
Newgen Party adalah salah satu daripada 20 parti baharu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada tahun 2013.

Pengasas Newgen adalah S. Gobi Krishnan yang merupakan aktivis PKR bertindak keluar daripada parti itu pada Januari 2013.

Semasa aktif dalam PKR, Gobi adalah pernah menjawat jawatan Setiausaha Biro Strategi dan Polisi Kebangsaan PKR.

“Saya meninggalkan PKR kerana tidak boleh mengubah keadaan dalam parti dengan efektif. Jadi, saya fikir adalah lebih baik untuk melakukannya dengan sendiri,” kata Gobi yang dipetik daripada The Star Online.

Selain Newgen, tiga parti baharu di Semenanjung turut diluluskan ROS iaitu Parti Keadilan India Malaysia (MIJP), Parti Nasional Malaysia (MNP) dan Parti Nasional Penduduk Malaysia.

ROS turut meluluskan 11 parti baharu di Sabah iaitu Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Baru), Parti Gagasan Bersama Rakyat Sabah (Parti Bersama), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Kebenaran Sabah (Kebenaran), Parti Bersatu Bugis Sabah, Parti Ekonomi Rakyat Sabah (Pers), Parti Pembangunan Warisan Sabah, Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (Sapu) dan Parti Damai Sabah (Parti SPP).

Manakala 5 parti baharu juga turut diluluskan di Sarawak iaitu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru), Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (Persb) dan Parti Rakyat Gabungan Jaksa Pendamai.