Facebook Atuk Banjar Masin

Isnin, September 26, 2016

Tak guna had tempoh PM jika salah guna terus berleluasa

Adam Abu Bakar

Ahli akademik berkata rasuah berlaku jika diberikan kuasa sepenuhnya dan baik jika penggal perkhidmatan dihadkan supaya tidak ada penyalahgunaan kuasa.
PETALING JAYA: Mengehadkan tempoh penggal perkhidmatan perdana menteri (PM) akan hanya sia-sia jika penyalahgunaan kuasa terus berlaku dan prinsip demokrasi tidak dipatuhi di negara ini, kata seorang pensyarah.

Dr Ahmad Ghazali Abu Hassan yang juga yang juga ahli Jawatankuasa Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara berkata perdana menteri masih tidak mengamalkan pengasingan kuasa dan penyalahgunaan kuasa tetap berlaku.

“Harus ingat, rasuah berlaku jika diberikan kuasa sepenuhnya. Jadi, saya setuju jika kita hadkan penggal perkhidmatan supaya tidak ada penyalahgunaan kuasa.

“Namun, mengehadkan penggal itu hanyalah satu perkara kecil saja kerana pengasingan kuasa masih tidak diamalkan sepenuhnya di negara ini,” katanya kepada FMT.

Pada 22 September lalu, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencadangkan untuk mengehadkan penggal khidmat perdana menteri kepada 2 penggal iaitu tidak lebih 10 tahun seperti yang diamalkan di kebanyakan negara maju.

Mukhriz berkata pelaksanaan cadangan itu perlu bagi mengelakkan krisis pengurusan dan salah guna kuasa seperti yang dilihat dalam pentadbiran BN.

Bagaimanapun, Ghazali itu tidak menafikan ada kebaikan dan keburukan jika tempoh penggal perkhidmatan perdana menteri diperkenalkan di negara ini.

“Daripada segi kebaikannya, demokrasi proses semak dan imbang dapat dilaksanakan. Namun, isu tidak ada kesinambungan aspirasi kepimpinan akan wujud,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Dr Jeniri Amir berkata kenyataan Mukhriz tidak sesuai dan tidak praktikal kerana secara realitinya pemimpin politik apabila berada di atas, mereka tidak akan mahu turun.

“Mengapa hanya sekarang Mukhriz mahu kemukakan cadangan itu, sedangkan dulu ada tuntutan untuk Tun Dr Mahathir Mohamad turun jawatan sebagai perdana menteri.

“Bermati-matian penyokong tidak mahu dan menggesa Dr Mahathir berada di kerusinya semula,” katanya.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussain pula melihat kenyataan Mukhriz itu boleh direalisasikan jika ia dibawa ke Dewan Rakyat dan pindaan tatacara pelantikan perdana menteri digubal.

“Negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen seperti Malaysia tidak pernah dan jarang dilakukan buat benda ini (hadkan penggal).

“Kalau mahu buat juga, kena ubah Perlembagaan Persekutuan kerana dalam perlembagaan kita, perdana menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, iaitu yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen,” katanya.

Perlembagaan Persekutuan perkara 40(2) memperuntukkan tatacara pelantikan perdana menteri iaitu Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya dalam melaksanakan beberapa fungsi.

Perkara 43(2)(a) juga menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik “ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan itu” sebagai perdana menteri.

Perdana menteri yang dilantik mestilah seorang ahli Dewan Rakyat (bukannya senator di Dewan Negara) dan harus dapat menguasai keyakinan majoriti, iaitu sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen daripada sejumlah 222 ahli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,