Perdana Menteri yang berkeyakinan dengan peranan yang dimainkan oleh para aktivis itu untuk kerajaan BN, mahu mereka juga melihat diri sendiri sebagai pejuang nasionalis dalam perjuangan di medan perang yang baharu.
"Kita sudah lama berada dalam defensive mode (mod bertahan). Cukuplah. Kini tibalah masa untuk menyerang!" katanya menerusi blog najibrazak.com bertajuk Himpunan Aktivitis Media Sosial 2017.
Najib berkata medan perang pada hari ini, misalnya dalam pilihan raya, sudah berubah dan tidak dalam bentuk fizikal atau face to face (bersemuka), tetapi alam maya atau ruang siber adalah medan perang yang baharu.
Beliau memberi contoh dalam dua pilihan raya umum yang lalu apabila kerajaan BN terdedah kepada serangan tanpa ada bala tentera yang boleh menangkis serangan itu, namun hari ini sudah ramai aktivis media sosial sebagai panglima alam maya yang setia dan tetap percaya dengan perjuangan dan dasar kerajaan BN.
Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan para aktivis media sosial itu supaya berpegang kepada tiga prinsip asas untuk perjuangan bersama.
Pertama ialah mereka perlu mengelakkan pertelagahan sesama sendiri dan komited kepada perjuangan bersama untuk menegakkan kerajaan BN dan yang keduanya ialah memperluaskan rangkaian alam maya agar mesej yang disampaikan kepada rakyat dapat disebarluaskan dengan lebih berkesan.
Prinsip ketiga ialah mereka perlu belajar daripada apa yang berlaku dalam pilihan raya umum terdahulu.
"Kita mesti tangkas dalam respons dan tidak terperangkap, sepertimana yang berlaku pada hari mengundi dalam PRU ke-13 di mana pembangkang telah menyebarkan berita palsu kononnya kita membawa masuk pengundi Bangladesh untuk mengundi, bahawa kononnya kita mewujudkan keadaan blackout di tempat tertentu untuk memanipulasi undi.
"Cerita ini semua langsung tidak masuk akal, tetapi ramai terpedaya dengan berita ini yang sedikit sebanyak membawa kesan kepada pengundi dan pilihan raya itu sendiri," katanya.
Najib menjangka pembangkang akan kembali menggunakan taktik kotor serupa dengan melontarkan sesuatu yang tidak terfikir untuk membuatkan orang marah dan benci pada kerajaan BN kerana mereka berpegang kepada satu prinsip sahaja iaitu "If you cannot convince them, confuse them" (jika anda tidak dapat meyakinkan mereka, kelirukan mereka).
Taktik kotor pembangkang, katanya amat jelas iaitu jika mereka tidak dapat meyakinkan pengundi untuk mempercayai janji-janji kosong atau kata-kata manis mereka, modus operandi mereka adalah untuk mengelirukan rakyat agar menimbulkan ketidakpercayaan serta kemarahan terhadap kerajaan BN.
Perdana Menteri menyifatkan aktivis media sosial pro kerajaan BN sebagai panglima di alam maya yang setia mempertahankan dasar kerajaan BN, mempertahankan maruah parti dan membidas segala pembohongan yang giat dipermainkan oleh pembangkang sejak sekian lama.
"Insya-Allah, dengan semangat juang dan kesepaduan sesama kita, kita mampu peroleh kejayaan besar dalam PRU 14, dan Putrajaya akan kekal milik Barisan Nasional!" katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
, , , ,