KOTA BHARU, 15 Ogos:
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meminta semua pemimpin parti itu di pelbagai peringkat termasuk akar umbi untuk sama bersatu dalam mempertahankan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada serangan pihak tertentu.
Sambil melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan sikap berdiam diri sesetengah pemimpin parti, Abdul Azeez berkata sehingga kini tidak ada pun usaha untuk membela dan mempertahankan pucuk pimpinan parti dari serangan yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Saya rayu kepada semua pemimpin Umno, marilah kita sama-sama bersatu hati. Kita ceritakan kebaikan 1MDB dan apa yang 1MDB telah bantu kita selama ini.
“Saya minta semua pemimpin akar umbi pertahankan institusi parti Umno bukannya Najib. Kalau jatuhnya parti, jatuhlah semua,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Kota Bharu di sini hari ini.
Menurut Abdul Azeez, bukan susah untuk mereka menjelaskan kepada rakyat mengenai kebaikan 1MDB seperti membiayai golongan yang tidak berkemampuan menunaikan haji di Mekah selama lima tahun berturut-turut dan membaiki serta membaik pulih ribuan rumah penduduk miskin di seluruh negara.
Malangnya, kata beliau, apabila tercetus isu 1MDB, semua pemimpin diam, seolah-olah tidak ada pengetahuan untuk menangkis segala fitnah itu.
“Yang paling teruk kena serang ialah Perdana Menteri kita. Serangan datang bertubi-tubi, dari tuduhan kehilangan RM42 bilion sehingga isu derma RM2.6 bilion.
“Saya sifatkan serangan ini adalah serangan politik yang datang dari pihak tertentu dalam UMNO sendiri, yang mahu menjatuhkan Najib.
“Tetapi ke mana pemimpin kita ketika Presiden UMNO kena serang? Semuanya diam, sehingga Najib terpaksa bertarung seorang diri,” katanya
Beliau yang juga Pengerusi Tabung Haji menjelaskan, disebabkan serangan negatif terhadap 1MDB termasuk dari ahli UMNO sendiri, ramai pelabur luar takut untuk datang membeli tanah atau menanam pelaburan di negara ini kerana mereka tidak mendapat penjelasan tepat mengenai isu itu.
Katanya, Perdana Menteri dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy sudah memaklumkan akan menyelesaikan kemelut itu dalam tempoh enam bulan dan semua pihak harus memberi peluang itu kepadanya.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/08/15/kalau-jatuhnya-parti-jatuhlah-semua-azeez/#ixzz3irkGcE7X
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
, , , ,