Facebook Atuk Banjar Masin

Khamis, April 02, 2015

Dr Mazlan calon terbaik UMNO rampas Permatang Pauh - Penganalisis politik

Dr Mazlan yang calon UMNO bagi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) itu mampu meraih sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat. -Foto Facebook Kami Sokong Dr. Mazlan Ismail sebagai MP Permatang Pauh

KUALA LUMPUR, 2 April:

Dr. Mazlan Ismail dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk bertanding dalam Pilih Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh tidak lama lagi sekiranya UMNO ingin merampas kerusi berkenaan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr.Sivamurugan Pandian berkata, bekas calon UMNO bagi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) itu mampu meraih sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, Mazlan yang juga merupakan bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang itu dilihat boleh meraih sokongan bukan sahaja daripada ahli UMNO malah juga daripada penyokong PAS.

“Pergeseran antara PAS dan DAP menyebabkan penyokong parti Islam tersebut kurang senang dan mungkin akan memberikan undi kepada UMNO.

“Ia juga mungkin dilihat sebagai jalan terbaik bagi mengelakkan daripada berulangnya kes meletakkan calon yang tidak sesuai di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post di sini.

Tambah Pensyarah Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu lagi, PAS dilihat akan bersama-sama dalam Pakatan Rakyat (PR) dalam mengharungi PRK tersebut.

Namun begitu jelasnya, sekiranya PAS membuat keputusan untuk keluar daripada PR sewaktu PRK berlangsung, ia akan memberikan impak yang cukup besar kepada PKR.

“PAS mempunyai sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Permatang Pasir yang dimenangi sejak 1999 dan merupakan kubu kuat parti berkenaan di Permatang Pauh.

“Oleh itu sekiranya PAS keluar daripada PR dalam tempoh kempen PRK berlangsung mungkin sesuatu di luar jangkaan akan berlaku,” ujarnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/02/dr-mazlan-calon-terbaik-umno-rampas-permatang-pauh-penganalisis-politik/#ixzz3W6iQhfTj

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,