Kerusi DUN yang menyaksikan Pakatan Harapan berlawan sesama sendiri.
Seramai 1,085,087 rakyat Sarawak dari pelbagai etnik yang menjadi pemilih berdaftar akan keluar mengundi hari ini memilih parti mana bakal membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN 11) Sarawak.Sebanyak 80 daripada 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka untuk dipertandingkan, yang turut menyaksikan Parti Amanah Negara (PAN) mencuba nasib sulungnya dengan meletakkan 13 calon bertanding.
Pas pula bertanding di 11 kerusi, PKR (40 kerusi DUN) dan DAP (30 DUN), manakala BN 82 kerusi, dua daripadanya diumumkan menang tanpa bertanding.
Agak menarik PRN ke-11 ini, parti komponen Pakatan Harapan (PH) berlawan sesama sendiri dalam satu DUN iaitu DAP lawan PKR, PKR lawan PAN dan PAN lawan Pas.
Sedangkan calon Barisan Nasional (BN) tetap masing-masing bertanding satu penjuru di 80 kerusi DUN dan dijangka menang besar dengan anggaran paling banyak 70 kerusi ke atas dan paling rendah, bawah 65 kerusi.
Waktu mengundi bermula jam 8 pagi ini dan ditutup jam 5 petang, kecuali beberapa kawasan pusat pengundian akan ditutup lebih awal berikutan jumlah pengundi yang kecil.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka 1,754 pusat pengundian mulai jam 8 pagi tadi melibatkan bangunan sekolah, dewan orang ramai, rumah panjang dan stadium tertutup.
DUN yang tidak dibuka untuk pengundian Bukit Kota yang dimenangi tanpa bertanding oleh Dr. Abdul Rahman Ismail dan Bukit Sari oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Kedua-duanya diisytiharkan menang oleh SPR pada hari penamaan calon 25 April lalu. Pas, DAP, PKR dan PAN kali ini terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan jumlah undi yang banyak bagi mengatasi calon BN atau Bebas berikutan sikap tamak kepimpinan parti dari PH lebih mementingkan diri sendiri dengan meletakkan calon di kerusi sama.
Antara kerusi DUN yang bertindih sesama mereka ialah DUN Mulu, Sanadin, Murum, Ngemah, Simanggang, Bukit Semunja, Tebedu dan Mambong yang dipertandingkan antara PKR dengan DAP.
Pas pula berlawan dengan calon PAN di DUN Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya dan Muara Tuang, bertemu calon DAP di DUN Samalaju dan bertanding dengan PKR di kerusi DUN Jepal serta Kakus.
Dalam kenyataan pucuk pimpinan PH sebelum ini, masing-masing yakin dapat memangi semua kerusi yang dipertandingkan termasuk DUN yang bertindih sesama sendiri. - MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
, , , ,