Pas yang ditendang DAP kini nampaknya lebih tenang bersendirian pada PRN Sarawak dengan hanya bertanding di 11 buah kerusi kerana tahu di mana kemampuan diri selain menghormati rakan pembangkang daripada PKR yang masih boleh diajak berbincang empat mata.
Tidak ada kekecohan berlaku dalam Pas yang bukan anggota PH malah sejak dari mula lagi, proses pemilihan calon PRN Sarawak yang mewakili Pas cukup tenang dan aman damai. Ini tidak berlaku dalam DAP dan PKR yang mana akhirnya kedua-dua parti itu terpaksa bertembung sesama sendiri untuk merebut kerusi dengan calon Barisan Nasional (BN).
Apa sudah jadi dengan PH? Ramai yang melihat PRN Sarawak adalah bukti ketidaksepakatan awal yang ditunjukkan oleh DAP dan PKR seolah-olah PRN ke 11 ini menjadi medan tikam belakang dan pertembungan dalam PH.
Boleh dikatakan hampir semua kerusi yang dipertandingkan pada PRN Sarawak ke 11 ini ada wakil calon DAP dan PKR yang memperlihatkan sekutu PH itu akan bergaduh sesama sendiri! Paling ditunggu, apakah bentuk kempen yang akan dibawa oleh PKR dan DAP nanti sehingga tiba hari mengundi pada 7 Mei nanti?
Kalau BN mendedahkan keburukan parti lawan, itu memang wajar tetapi adakah PKR akan mendedahkan keburukan DAP hanya kerana hendakkan kerusi yang ditandingi? Elok-elok dua penjuru, kini dah jadi tiga penjuru belum termasuk calon bebas! Antara kerusi paling panas dijangka berlaku di N23 Bukit Semuja dan N13 Batu Kitang yang sepatutnya menjadi milik DAP berdasarkan perjanjian PH tetapi pemimpin PKR tempatan membantah dan menghantar calonnya untuk bertanding.
Lima lagi kerusi yang menjadi rebutan PKR dan DAP adalah Tasik Biru, Mambong, Simanggang, Bukit Semuja dan Mulu. Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dalam satu kenyataan berkata, mereka bertanding di Batu Kitang dan Bukit Semuja kerana PKR meletakkan calonnya di kelima-lima kerusi berkenaan.
Siapa betul, siapa salah tidak penting lagi kerana apa yang pasti, peperangan di antara DAP dan PKR tidak dapat dielakkan sepanjang kempen PRN ke 11 ini. PH sudah tidak boleh diharapkan untuk membela rakyat seperti yang dilaungkan sewaktu penubuhannya bersama Parti Amanah Negara yang berani bersuara untuk meleraikan peperangan kedua-dua sekutunya itu.
Pas mungkin susah untuk menang tetapi sekurang-kurangnya, parti Islam itu tidak bersusah payah untuk merebut kerusi PRN Sarawak! Mungkin saat paling indah bagi Pas adalah menyaksikan DAP menentang PKR yang akhirnya akan menguburkan PH tanpa nisan seperti Pakatan Rakyat.--MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
, , , ,