Facebook Atuk Banjar Masin

Ahad, Jun 21, 2015

IFTAR@KL tukar wajah Dataran Merdeka sempena Ramadan

Majlis berbuka puasa dan sembahyang terawih setiap hujung minggu akan diadakan di Dataran Merdeka dengan nama iftar@KL sebagai usaha mengimarahkan bulan puasa pada tahun ini. - Foto TRP/Daniel Chan

KUALA LUMPUR, 20 Jun:

Dataran Merdeka amat sinonim dengan acara sambutan kemerdekaan negara kerana setiap tahun majlis itu akan diadakan di lokasi paling ikonik di ibu negara ini.

Bersempena bulan Ramadan tahun ini, Dataran Merdeka akan bertukar wajah menjadi salah sebuah lokasi bukan sahaja untuk beriadah tetapi juga untuk berbuka puasa dan beribadah.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata, majlis berbuka puasa dan sembahyang terawih setiap hujung minggu akan diadakan di Dataran Merdeka dengan nama iftar@KL sebagai usaha mengimarahkan bulan puasa pada tahun ini.
Pelajar-pelajar sekolah agama mengalunkan bacaan Al-Quran sementara menunggu waktu berbuka puasa – Foto TRP/Daniel Chan

“Selain mengadakan acara kebudayaan, pertunjukan dan sukan kita juga boleh menjadikan acara bersifat keagamaan sebagai salah satu daripada pengikat kepada kesefahaman yang menghubungkan masyarakat di bandaraya Kuala Lumpur,

“Saya memang bercita-cita untuk menjadikan Dataran Merdeka seperti yang dilaksanakan di Dataran Kuantan, Pahang iaitu padang-padang awam yang terdapat di tengah kota seperti majlis berbuka puasa yang sering dijadikan lokasi acara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas berbuka puasa bersama 500 warga kota di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad sempena iftar@KL hari ini.

Pada tahun ini, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi penjenamaan baru kepada Festival Ramadan di Jalan Raja Dataran Merdeka dengan nama baru iaitu Iftar@KL 2015.

Warga kota menunggu waktu berbuka puasa di Dataran Merdeka. Padang bersejarah itu akan menjadi tempat berbuka puasa dan majlis agama ketika hujung minggu. – Foto TRP/Daniel Chan

Antara aktiviti yang diadakan seperti penyediaan dan agihan bubur lambuk, pameran pelancongan, pertandingan dan persembahan nasyid, tazkirah Ramadan, tadarus Al-Quran, majlis berbuka puasa diikuti solat maghrib berjemaah, soal jawab agama, solat Isyak dan terawih berjemaah, dikir zikir, ceramah dan malam kesenian Islam serta moreh

Program Iftar@KL 2015 juga mendapat kerjasama daripada syarikat korporat termasuklah Takaful Ikhlas, Yayasan Pemba­ngunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Nescafe (Nestle), Julie’s, Adabi, Chriszen, Yeo’s, F&N, Al Meswak Mu’min dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/20/iftarkl-tukar-wajah-dataran-merdeka-sempena-ramadan/#ixzz3dc7G3s00

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,