Facebook Atuk Banjar Masin

Khamis, Februari 26, 2015

Anwar dalam proses mohon belas ihsan sebagai pesalah - peguam

Khairul Anwar berkata, dengan memfailkan petisyen pengampunan, ia menunjukkan Ketua Pembangkang (foto) itu menerima keputusan yang telah diberikan oleh Mahkamah Persekutuan dan apabila meminta pengampunan, ia membawa maksud dia telah mengaku. - Foto fail TRP/Mokhsin Zamani

KUALA LUMPUR, 26 Februari:

Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam proses memohon belas ihsan daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai seorang pesalah, kata Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam) Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Beliau berkata tindakan memfailkan petisyen pengampunan membawa maksud Ketua Pembangkang itu mengaku atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

“Ia menunjukkan Anwar menerima keputusan yang telah diberikan oleh Mahkamah Persekutuan dan apabila meminta pengampunan, ia membawa maksud dia telah mengaku.

“Permohonan pengampunan itu bukannya untuk menafikan hukuman yang telah dijatuhkan. Sekarang adalah proses mohon belas ihsan bagi pesalah yang dijatuhi hukuman,” jelasnya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Pada 24 Februari lalu, isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, menyerahkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar dalam kes liwat II.

Ketika ditanya mengenai kesediaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyediakan platform untuk sesi debat terbuka antara Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Presiden Badan Peguam Christopher Leong, yang mempertikai keputusan kes liwat Anwar, Khairul berkata beliau tidak menyokongnya.

“Segala hujah, perdebatan, keterangan, alibi, bukti dan pengakuan bersumpah telah dibuat di mahkamah. Apabila keputusan telah dibuat, tidak seharusnya dan sewajarnya perdebatan dibuat di luar mahkamah.

“Ia (jika dilakukan) akan menjadi perbincangan umum dengan pelbagai persepsi kerana mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan fakta yang berpaksikan akta dan undang-undang. Elakkan daripada persepsi.

“Saya fikir, biarlah kita bagi ruang kepada pihak-pihak mempertikai ini menerima keputusan yang ditetapkan kerana ia telah diputuskan di peringkat paling tinggi di Malaysia,” katanya.
Khairul Anwar tidak bersetuju debat terbuka antara Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Presiden Badan Peguam Christopher Leong diadakan kerana ia boleh disalah erti bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh dipersoalkan.

Selain itu, katanya hampir 16 tahun rakyat dikelirukan oleh pelbagai teori serta andaian dan kini tiba masanya untuk rakyat menerima dan menjadikan kes Anwar sebagai iktibar bahawa tiada siapa akan terlepas daripada undang-undang jika terbukti bersalah.

Peguam Shaharuddin Ali juga tidak menyokong cadangan perdebatan itu kerana berpendapat ia boleh disalah erti oleh pihak luar yang menyangka keputusan Mahkamah Persekutuan boleh dipersoalkan lagi.

“Pihak-pihak luar boleh menyangkakan seolah-olah keputusan Mahkamah Persekutuan boleh dipersoalkan lagi, padahal ia tidak boleh (dipersoalkan) kerana keputusan Mahkamah Persekutuan adalah muktamad.

“Lapan hakim telah berkata bahawa Anwar bersalah dan hanya satu hakim sahaja iaitu di Mahkamah Tinggi membebaskannya,” katanya.

Menurutnya perbahasan sedemikian juga boleh disalahertikan sebagai menghina keputusan mahkamah.

“Kena ingat bahawa dalam kes ini, Muhammad Shafee adalah wakil peguam negara dan juga timbalan pendakwa raya, jadi dalam undang-undang, beliau adalah penjawat awam.

“Tidak elok bagi mereka yang berstatus penjawat awam untuk berentap sedemikian,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/26/anwar-dalam-proses-mohon-belas-ihsan-sebagai-pesalah-peguam/#ixzz3SrUoKZ8H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,