Facebook Atuk Banjar Masin

Sabtu, Januari 10, 2015

Peristiwa keganasan di Paris........apa pencetus nya?

Charlie Hebdo: Antara ekstrem dan sensiviti
Oleh Abu Qalam al-Seriani
Masakan pokok bergoyang jika bukan kerana ada ribut. Sikap ekstrem juga tidak mungkin timbul tanpa sebab atau penyebab yang tidak kurang melampaunya. Sebab itu teori logik dan mantiq menyatakan, setiap sesuatu ada pemula atau asbabnya. Seperti 1 + 1 = 2 atau 1 + 1 = 11.

Juga tidak sukar untuk memahami, dan tidak perlu menelaah banyak-banyak buku untuk memahami apakah yang menjadi punca kepada serangan ke atas akhbar mingguan Charlie Hebdo beberapa hari lepas, yang natijahnya 12 nyawa, termasuk empat kartunis.

Berlakunya kematian dalam hal ini memang suatu yang menyedihkan dan dikesali, apatah lagi betapa tragis dan kejamnya cara pembunuhan itu dilakukan. Kenapa perlu ada pertumpahan darah, dan rentetan daripada peristiwa ini yang sebenarnya tidak memberikan sebarang kebaikan kepada kerukunan hidup bermasyarakat dan beragama dalam dunia moden yang kepelbagaian.

Fanatisme akan melahirkan fanatisme, perilaku ekstrem membuahkan tindak balas melampau. Banyak yang boleh dipelajari daripada peristiwa di Paris ini, iaitu tentang hidup dan kerukunan, hubungan antara kaum dan agama yang perlu dijaga dan ditertib.


Soal agama dan kepercayaan, kaum dan adat bukan soal yang boleh dipandang mudah dan dipelekeh. Di dalamnya, ada bom jangka yang boleh secara tiba-tiba muncul dan meledak. Agama dan kepercayaan adalah isu sensitif yang tidak boleh dibuat mainan apatah lagi jika sehingga ke tahap menghina dan mengaib.

Ambillah peristiwa ini sebagai ingatan, peringatan, seperti yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Sebab itu juga apabila sesuatu hal yang kita langkaui sempadan dan garis pemisahnya, maka bersedialah untuk natijahnya.

Charlie Hebdo dalam penerbitannya menjunjung secara mutlak kebebasan akhbar dan media yang menjadi puncak tertinggi, lebih tinggi daripada segala perkara yang lain. Itulah hasil daripada liberalisme yang membenih dan tumbuh sekitar 400-500 tahun lalu di Perancis.

Tetapikah apakah wajar menggunakan hak dan kebebasan bersuara dan media untuk sewenang-wenangnya menyentuh agama lain, kepercayaan lain? Orang yang menganut pemikiran hak individu dan kebebasan media sebagai paramount pasti akan mengatakan, ya.

Selepas melihat beberapa karikatur dalam penerbitannya, boleh difahami kemarahan yang membawa kepada serangan itu, apatah lagi karikatur itu secara terang-terangan menyentuh Nabi Muhammad SAW, iaitu junjung besar umat Islam. Tidak ada manusia yang waras, terutamanya umat Islam yang boleh menatap karikatur penerbitan ini tanpa menzahirkan kemarahan, atau rasa tidak senang.

Apakah perlunya sekumpulan manusia asing memperkatakan perihal agama orang lain dengan cara yang amat menghina dan aib seperti Charlie Hebdo perlakukan kepada umat dan agama Islam. Jika ia bukan provokasi pun, ia menunjukkan si pelaku merupakan orang yang bersikap pelampau dan ektrem sehingga menyalahgunakan kebebasan media dan bersuara.

Kalau berani sentuh, maka tanggunglah akibatnya. Kenyataan ini mungkin ekstrem, tetapi ini peringatan supaya dalam hidup seharian perlunya mengenal batas dan sempadan.

Ulasan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa penerbitan satira ini mencetuskan provokasi memang benar. Sebab, atas alasan apa sekali pun mereka tidak ada hak dan keperluan pun menyentuh mengenai Islam. Apatah lagi provokasi melalui beberapa karikatur yang menjadi paparan muka depannya amat menyakitkan hati umat Islam, sebenar-benarnya.

Tidak mengejutkan juga jika ada segelintir yang marah, dan marah tidak boleh dibendung membawa kepada mengambil tindakan dengan cara mereka sendiri. Ya, tindakan mereka tidak akan menyelesaikan masalah kerana ia menambahkan kekalutan dan ketakutan. Imej Islam sendiri pun tidak boleh dipulihkan di kalangan orang yang memandang negatif dan syak terhadap Islam.

Orang yang sengaja bermain dengan api, lambat-laun api yang dimainkan itu yang membakar diri sendiri, maka itu yang terjadi. Darah yang ditumpahkan dikatakan sebagai akibat perbuatan anarki dan pengganas, tetapi amat malang, segala perihal dan perilaku yang membawa kepada kejadian tidak pernah mahu dipeduli dan direnung secara jujur dan terbuka.


Cara paling mudah adalah dengan meletakkan salah kepada pelaku kepada kejadian serangan, dan juga membuat suatu jaringan umum bahawa Islam membawa fahaman ekstrem.

Orang selalu kata, kalau hendak dihormati, maka hormati dulu orang lain, maka kalau mencela orang lain, mencetus marah orang lain, maka balasan buruklah yang dapat.

Amat mudah untuk menuduh orang lain, manusia lain sebagai pelampau atau ekstrem, tetapi perlu diingat pada sebatang jari yang menunjuk orang lain, ada empat lagi yang menunjuk balik kepada si penunjuk.

Serangan ke atas Charlie Hebdo sepatutnya menjadi pengajaran kepada umat Islam dan juga rakyat Malaysia seluruhnya. Ada sempadan yang tidak tertulis yang perlu diketahui, jika diterjah atau diceroboh, ia seperti perbuatan sengaja menempah bala. - FMT

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=234312:charlie-hebdo-antara-ekstrem-dan-sensiviti&Itemid=2#ixzz3ONRyZoA3
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,