Facebook Atuk Banjar Masin

Khamis, Januari 08, 2015

Nilai kerosakan banjir seluruh Malaysia boleh cecah RM2 bilion, kata menteri

Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini menganggarkan nilai kerosakan akibat bencana banjir yang melanda seluruh negara boleh mencecah sehingga RM2 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan itu berkata, negeri yang paling teruk terjejas akibat bencana itu mengalami kerugian sebanyak RM932 juta.

Beliau berkata, anggaran kerosakan itu membabitkan kerosakan infrastruktur bangunan kerajaan, jalan raya, jambatan dan sebagainya.

"Ada beberapa perkara yang perlu kita laksanakan bagi membaiki struktur ‎rosak, sekolah, hospital, klinik, jambatan, jalan dan peralatan," katanya pada sidang media selepas melancarkan forum Pertama Usahahawan Muda Malaysia 2015 di Pusat Konvesyen dan Eksibisi Matrade di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata demikian sebagai mengulas laporan peruntukan mangsa banjir sebanyak RM800 juta yang dibuat Datuk Ahmad Maslan.

Timbalan menteri kewangan itu berkata, peruntukan itu dibelanjakan kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Susulan pendedahan Ahmad, Pengerusi Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) Datuk Jazlan Mohamed Selasa lalu berkata mahu memanggil Kementerian Kewangan dan MKN bagi memperjelaskan‎ peruntukan tersebut.

‎Katanya jumlah yang diumumkan tersebut besar dan memerlukan ketelusan dalam cara menguruskannya.

Menjelaskan mengenai isu tersebut katanya, kerajaan bukan sahaja terpaksa menyalurkan wang ihsan namun mengambil kira pembinaan rumah, dan pembaikan infrastruktur.

"Ini beberapa perkara perlu dilaksanakan iaitu wang ihsan pada mangsa banjir itu kita selalu lakukan pada setiap tahun kalau berlakunya‎ mangsa banjir.

"Yang kedua, kita perlu tangani pembinaan rumah ada juga pampasan pertanian, perladangan, namun angka yang kita beri masih tidak lengkap," katanya sambil menjangkakan bandar di Kelantan dapat dibersihkan pada hujung bulan ini.

Pada masa sama ditanya mengenai cadangan kerajaan campuran bagi PAS dan Umno bagi menangani pasca banjir, beliau hanya menegaskan hanya kerjasama perlu diberi tumpuan.

"Ini adalah kerjasama bagi menangani masalah pasca banjir, yang lain tak penting.

"Ia masalah rakyat apa jua parti kita nak bantu rakyat, jadi kita buat keputusan hal ini merentasi parti politik untuk membantu mangsa banjir dan turut dipersetujui kerajaan pusat," katanya.

Isu mengenai kerajaan campuran dibangkitkan oleh pengasas Kumpulan Media Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub apabila menyeru kepimpinan PAS dan Umno di Kelantan membentuk kerajaan campuran dan mengetepikan fahaman politik demi memastikan rakyat Kelantan bangkit menghadapi situasi selepas banjir yang meranapkan kediaman dan harta benda mereka.

Dalam wawancara eksklusif bersama akhbar terbitan syarikatnya, Sinar Harian, Hussamuddin berkata rakyat Kelantan sudah terlalu lama terhimpit dalam pertembungan ideologi dua parti politik antara Barisan Nasional (BN) dan PAS di negeri itu.

"Sudah berpuluh-puluh tahun rakyat Kelantan tersepit sehingga kita terpaksa berhijrah disebabkan pertelingkahan antara dua kerajaan. Jadi saya rasa untuk pulihkan Kelantan bagi jangka masa pendek dan panjang, perlu sebuah kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang betul-betul jujur.

"Maknanya, kedua-dua belah pihak dapat bekerjasama erat dalam erti kata yang sebenar kerana kita mahu semua perkara yang dirancang berjalan lancar. Dengan hubungan sekarang seperti yang kita lihat pada rekod lepas, setakat kerjasama saja tidak akan jadi (tidak mencapai matlamat) dan rakyat Kelantan akan sengsara," kata Hussammudin, dipetik daripada laporan akhbar berkenaan. – TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=233672:nilai-kerosakan-banjir-seluruh-malaysia-boleh-cecah-rm2-bilion-kata-menteri&Itemid=2#ixzz3OE5Kwh9c
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,