Facebook pejuang tokgajah46

Ahad, Ogos 11, 2013

Tempoh mesyuarat UMNO Cawangan, Bahagian dilanjutkan

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Tarikh akhir mesyuarat UMNO peringkat cawangan dan bahagian-bahagian serta tarikh baru penamaan calon Majlis Tertinggi dan sayap-sayap parti dilanjutkan dua minggu berikutan tempoh sebelum ini berlangsung pada Ramadan dan Aidilfitri, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Menurutnya, tarikh-tarikh baru lanjutan tempoh mesyuarat tersebut telah dipersetujui oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dimaklumkan kepada MT.
Katanya, tempoh mesyuarat cawangan-cawangan UMNO dilanjutkan daripada 31 Ogos kepada 15 September ini manakala mesyuarat UMNO bahagian-bahagian serentak hari pemilihan MT UMNO dipinda daripada 5 Oktober kepada 19 Oktober ini.
Tambah beliau, pendaftaran penamaan calon Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dilanjutkan daripada 7 September kepada 21 September; persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO ditetapkan pada 12 Oktober ini; dan penamaan calon untuk pemilihan MT UMNO daripada 7 September kepada 28 September.
"Pindaan tersebut dibuat berikutan cadangan dan permintaan daripada UMNO Bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan dengan alasan antaranya mesyuarat sebelum ini berlangsung dalam bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan tempoh asal ialah hingga 31 Ogos.
"Dalam masa yang sama, dua pemimpin negara luar iaitu Presiden China dan Presiden Amerika Syarikat juga akan berkunjung ke negara ini pada awal Oktober ini dan persediaan untuk menerima kedatangan tetamu negara ini perlu dibuat," katanya dalam satu kenyataan hari ini - UTUSAN ONLINE