KUALA LUMPUR, 14 Disember:
Saman sivil yang dimulakan parti pembangkang, PKR ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan satu kesalahan pilihan raya berhubung sumbangan kontroversi RM2.6 bilion, adalah palsu.
Ini kerana, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini, saman yang difailkan itu mempunyai motif politik tersembunyi.
Peguam, Tan Hock Chuan yang mewakili 1MDB dalam permohonan membatalkan saman itu memberitahu hakim, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab bahawa tuntutan plaintif itu tidak dapat diterima, kerana tidak ada alasan munasabah untuk tindakan itu, jadi ia adalah remeh dan menyusahkan.
“Tidak ada konspirasi antara yang pertama (Najib), kedua (Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor) dan 1MDB untuk menipu pengundi Malaysia.
“Dakwaan konspirasi antara ketiga-tiga defendan adalah tidak berasas dan plaintif memulakan ekspedisi memancing, yang menjadi bukti berdasarkan notis permohonan plaintif, bagi penemuan pelbagai dokumen dan rekod,” katanya sambil menambah, 1MDB turut dimasukkan ke dalam saman itu tanpa sebarang asas.
Tan menambah, ketika itu, plaintif juga gagal mengemukakan butiran mengenai penglibatan 1MDB pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Tuntutan plaintif terhadap 1MDB juga merupakan penyalahgunaan proses mahkamah, kerana tindakan ini (saman) bermotif dan dianggap mengganggu siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Jabatan Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan juga polis,” tegasnya.
Sementara itu, peguam, Datuk Hafarizam Wan Harun yang mewakili Najib dan Tengku Adnan, dalam permohonan pembatalan itu berkata, mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa yang diperlukan untuk memberi pengisytiharan bersifat jenayah.
Antara deklarasi itu termasuk mendakwa Najib bertindak secara korup dan haram, oleh itu, beliau melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Kanun Keseksaan.
Hafarizam turut memberitahu mahkamah, terdapat pliding tidak mencukupi berhubung dakwaan tort konspirasi dan misfeasans.
“Ini adalah dua tort berasingan…jadi, bagaimana Najib boleh menipu orang ramai dalam tort konspirasi dan bagaimana dia boleh melakukan misfeasans terhadap orang ramai? Ia tidak masuk akal,” katanya.
Peguam kanan persekutuan, Amarjeet Singh yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam hujahnya berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman itu, kerana sebarang tindakan mempersoalkan SPR mesti dimulakan dengan petisyen pilihan raya, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.
Apabila pendengaran disambung pada sebelah petang, Tommy Thomas yang mewakili plaintif berkata, perbicaraan itu perlu diteruskan dengan saman terbabit, berdasarkan tiga perkara penting yang perlu diberitahu kepada rakyat Malaysia.
“Wang telah diterima oleh Najib dan apa yang diperlukan untuk tujuan perbicaraan itu adalah mencari sumber pembayaran, apa yang berlaku kepada wang itu dan mengapa ia telah diberikan.
“Satu-satunya cara untuk mendapat jawapan itu adalah dengan pemeriksaan balas dan itulah sebabnya kita minta perbicaraan diadakan,” katanya sambil menambah, mereka mempunyai bukti mencukupi supaya perbicaraan diadakan.
Mengenai hujah bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara bersifat jenayah, Tommy berkata, salah laku seseorang boleh mendatangkan kesan sivil dan jenayah.
Selepas mendengar hujah panjang lebar daripada semua pihak, Mohd Zaki menetapkan 21 Januari ini untuk membuat keputusan mengenai permohonan pembatalan itu.
Ogos lalu, PKR bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, wakil Parti Amanah Negara, Dr Dzulkefly Ahmad, bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail serta Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua memfailkan saman sivil terhadap Najib dan tiga yang lain, dengan mendakwa Perdana Menteri melakukan kesalahan pilihan raya, susulan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) berhubung sumbangan kontroversi RM2.6 bilion yang telah dimasukkan ke akaun bank Najib.
Plaintif-plaintif itu memohon, antara lain, satu deklarasi bahawa 1MDB secara rasuah dan haram membayar wang kepada Najib serta pengisytiharan bahawa keputusan PRU13 batal dan tidak sah, selain memohon perintah lanjutan bagi mengetepikan keputusan untuk 222 kerusi Parlimen.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/12/14/saman-terhadap-1mdb-bermotif-politik-tersembunyi/#ixzz3uIXAQBwN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
, , , ,