KUALA LUMPUR, 24 Februari:
Cadangan pengasingan fungsi klinik dan farmasi iaitu pengasingan dispensari perlu diteliti dengan sebaiknya bagi memastikan pelaksanaannya tidak membebankan dan menjejaskan keselamatan pesakit.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata apa jua polisi kerajaan berhubung pengasingan dispensari ini perlulah dilaksanakan secara realistik dengan mengambilkira kebersediaan negara dengan jumlah farmasi dan prasarana lain yang mencukupi
Menurutnya, pelaksanaannya juga perlulah mengambil kira sejauh mana ia praktikal kepada keadaan pesakit dan keluarga dari segi keselamatan, kemampuan serta keselesaan mereka.
“Wanita mengakui keperluan mengimbangi tanggungjawab dua entiti penting dalam perkhidmatan kesihatan iaitu kedoktoran yang merupakan profesion yang patut kita sanjung dan hormati namun pada masa yang sama kepakaran ahli farmasi juga perlu diberi ruang yang sewajarnya.
“Bagaimanapun, dalam hal ini kerajaan seharusnya mengutamakan kepentingan rakyat dalam usaha penambahbaikan perkhidmatan kesihatan negara secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pindaan pindaan terhadap Dasar Ubat Negara (DUNAS) untuk pengasingan fungsi klinik dan farmasi atau pengasingan dispensari yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan Mac ini diluluskan.
Sekiranya pindaan berkenaan diluluskan, ia bermakna orang awam yang mendapatkan rawatan doktor di klinik swasta tidak lagi boleh membeli ubat di klinik berkenaan tetapi sebaliknya perlu mendapatkan ubat yang disarankan oleh doktor di farmasi luar.
Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam menjelaskan belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai perkara berkenaan kerana masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan.
Katanya, ia masih terlalu awal untuk membuat keputusan pada ketika ini mengenai perkara berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
, , , ,