Facebook Atuk Banjar Masin

Khamis, Januari 29, 2009

Mansuh sayap parti untuk atasi gejala rasuah

Bernama
28 Jan 2009

KUALA LUMPUR-- Umno hari ini disaran menyusun semula struktur organisasinya dengan memansuhkan sayap-sayap parti, jika ia benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berpendapat langkah itu perlu bagi memperbaiki dan memperkuatkan semula parti yang telah 50 tahun menjadi tunggak kepada kestabilan di negara ini.

Beliau berkata gejala politik wang di dalam parti boleh dibendung jika pemilihan di dalam parti dapat dikurangkan dengan memansuhkan sayap-sayap parti, terutamanya yang baru ditubuhkan.

"Saya dok fikir perlukah ada Puteri dan Putera kerana selagi ada Puteri dan Putera, banyak lagi duit dok main. Saya juga berfikir barangkali Pemuda dan Wanita juga perlu dipertimbang. Di England, rasanya tidak ada women or ladies association baik dalam parti Konservatif mahupun Parti Buruh," katanya.

Beliau yang ditemui pada sidang media lembaga itu di sini hari ini berkata, anggota Puteri dan Putera yang rata-rata masih terlalu muda sepatutnya memberikan tumpuan kepada pelajaran dan bukannya terlibat di dalam arena politik.

"Puteri dan Putera ini sepatutnya mementingkan pelajaran, bukan masanya untuk mereka terlibat dalam politik, kalau hendak bagi pendedahan pun janganlah terlalu awal.

"Mereka ni masih umur belasan dan awal 20-an," katanya yang mengakui ada anggota sayap itu yang terlibat politik wang tetapi setakat ini tidak ada mana-mana pihak yang tampil membuat aduan.

Beliau berkata banyak yang masih perlu dipelajari oleh golongan itu terutamanya kerana negara bergantung kepada golongan muda untuk menerajui negara pada masa akan datang.

"Kita bergantung kepada orang muda untuk membawa negara kita pada tahap yang tinggi dan bertanding dengan negara lain, kalau nak berpolitik, tak de keje lain la (melainkan) politik sahaja," katanya.

Beliau yang berharap saranan itu dipertimbang pucuk pimpinan tertinggi parti turut berpendapat bahawa sistem kuota yang diamalkan pada masa ini juga perlu dimansuhkan kerana ia membawa akibat buruk kepada parti dari aspek gejala politik wang.

Di bawah sistem itu, seseorang ahli perlu mendapat sejumlah pencalonan dari bahagian-bahagian untuk layak bertanding jawatan dalam Umno.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,