CAMERON HIGHLANDS, 14 Januari:
Sebanyak 979 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas di sekitar Cameron Highlands dalam tempoh 4 Disember hingga 31 Disember tahun lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim berkata PATI yang ditahan itu ditempatkan di depot yang ditetapkan untuk siasatan lanjut dan sebahagiannya sudah dihantar pulang ke negara masing-masing.
Beliau berkata operasi tersebut tidak akan dilakukan secara bermusim tetapi ia akan diteruskan dengan mengesan PATI yang cuba menyorok atau lari ke kawasan lain.
“Kita tidak akan berhenti melakukan operasi…hari ini, esok dan lusa akan diteruskan secara berkala dan tidak berhenti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Imigresen Cawangan Cameron Highlands pada Selasa.
Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan risikan untuk memantau perkembangan mengenai PATI di kawasan tanah tinggi itu yang melibatkan agensi penguat kuasa antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan beberapa agensi penguat kuasa lain.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan laporan media sebelum ini mengenai kebanjiran kira-kira 30,000 PATI sebagai tidak munasabah kerana sehingga kini dakwaan itu tidak dapat dibuktikan.
“Apabila kita buat operasi tidak dapat membuktikan (dakwaan) sedemikian, jumlah yang dapat ditangkap setakat ini jauh berbanding apa yang dilaporkan media.
“Ada yang dakwa PATI sudah lari ke Lojing di Kelantan atau Tapah, tapi bila kita lakukan operasi sebenarnya tak ramaipun PATI di sana. Saya harap media berhati-hati apabila melaporkan sesuatu isu,” katanya.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/14/tidak-munasabah-30000-pati-di-cameron-highlands-kp-imigresen/#ixzz3OkVS9Myr
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
, , , ,