Facebook Atuk Banjar Masin

Isnin, Januari 05, 2015

Tebang pokok seperti tiada undang-undang

Shahidan akan bincang dengan Perdana Menteri, bagi membantu kerajaan negeri memulihkan kawasan hutan yang diteroka dan mengembalikan tanah rizab yang ditukar statusnya.

PARIT, 5 Januari:

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menyelar kegiatan pembalakan haram yang tidak terkawal di Kelantan kerana ia merupakan faktor utama banjir besar berlaku baru-baru ini.

Menurutnya, program penanaman semula pokok perlu dilakukan bagi mengelak negeri itu dilanda banjir besar sekali lagi.

“Sekarang ini tebatan banjir tidak boleh selesaikan masalah, kita kena tanam semula pokok yang telah dimusnahkan di hutan yang telah diteroka.

“Di Kelantan, cara mereka tebang pokok macam negeri tidak ada undang-undang, jabatan yang patut jaga hutan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Padang Changkat di Parit, Perak yang menempatkan 108 mangsa daripada 38 keluarga setakat ini.

Shahidan berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu kerajaan negeri memulihkan kawasan hutan yang diteroka dan mengembalikan tanah rizab yang ditukar statusnya.

“Rizab hutan adalah rizab hutan, kawasan hutan adalah kawasan tadahan air. Jangan kita tebang pokok di kawasan tadahan air.

“Kita harus buat sesuatu dengan segera. Mereka yang lakukan pembalakan tidak kena apa-apa sedangkan rakyat Kelantan menderita dengan apa yang menimpa mereka,” katanya.

Tambahnya, pihak yang terlibat dengan kegiatan pembalakan haram itu perlu dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,