Facebook Atuk Banjar Masin

Jumaat, November 07, 2014

PAS semakin hanyut......

Fatwa tidak berasas, pemimpin PAS pertahan SIS

OLEH ANISAH SHUKRY

Published: 6 November 2014

Wakil Sisters in Islam bergambar bersama pemimpin PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad serta Datuk Saifuddin Abdullah selepas sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Zhafri Azmi, 6 November, 2014.

Dua pemimpin PAS mempertahankan Sisters in Islam (SIS) dan berkata fatwa yang diwartakan mengatakan pertubuhan itu bersikap liberal dan pluralisme agama tidak berasas.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad, yang merupakan ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata, pihak berkuasa agama seharusnya faham SIS tidak berurusan dengan fahaman teologi, apatah lagi pluralisme dan liberalisme sekiranya mereka menemui kumpulan berkenaan.

"Fatwa yang diwartakan bersangkut paut dengan pemikiran, jadi perlu ada perbincangan dengan mereka yang terlibat," kata Mujahid selepas menghadiri dialog bersama SIS di Menara Manulife, Kuala Lumpur, hari ini.

"Selepas pertemuan hari ini, kami berpuas hati isu pluralisme dan liberalisme tidak timbul. SIS lebih terlibat dengan aktiviti mempromosikan hak wanita dalam Islam, terutamanya berkaitan polisi dan undang-undang," katanya.

Mujahid berkata, beliau, Khalid dan Ahli Parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud mengambil peluang yang dianjurkan melalui dialog bersama SIS untuk memahami kumpulan berkenaan.

Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam berkata, SIS tidak seharusnya dituduh menyebarkan fahaman liberalisme dan pluralisme kerana mereka berhujah menggunakan ajaran Islam dan interpretasi sarjana.

"Pluralisme adalah fahaman semua agama setaraf. Setakat ini, saya tidak menemui penulisan atau ucapan SIS mengisytiharkan semua agama setaraf.

"Liberalisme bermaksud lelaki, mampu bertindak dengan kesedaran dan rasional untuk menentukan betul atau salah. Mungkin SIS memberikan pandangan berbeza, mereka cuba menyokongnya melalui bukti dan fakta," kata Khalid.

Beliau berkat, fatwa oleh Majlis Fatwa Selangor, yang diwartakan pada Julai gagal memperincikan maksud liberalisme dan pluralisme.

Menurut fatwa itu, SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, organisasi, atau institusi yang berpegang kepada fahaman "liberalisme" dan "pluralisme" agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

SIS memfailkan semakan kehakiman pada Jumaat lalu, dan menjelaskan pertubuhan itu tidak ditemui pihak berkuasa agama berhubung perkara itu.

Khalid berkata, meskipun beberapa pendapat SIS tidak dipersetujuinya, tidak bermakna organisasi itu boleh diperlakukan sedemikian tanpa peluang untuk mereka mempertahankan diri.

"Pihak berkuasa seharusnya memberikan peluang mereka mempertahankan diri dan melihat sama ada tuduhan yang dilemparkan kepada mereka itu benar.

"Itu bukan amalan Islam. Islam itu telus daripada ini dan masyarakat tidak seharusnya takutkan Islam,” katanya.

Khalid juga menyelar Pemuda PAS kerana melabelkan SIS sebagai ekstremis agama, dan mempersoalkan timbalannya, Muhammad Khalil Abd Hadi, sama ada beliau ada bertemu SIS atau tidak sehingga mengambil pendirian berkenaan.

Khalid berkata dengan mengisytiharkan mana-mana organisasi sebagai sesat tidak semudah yang dilakukan pihak berkuasa agama kerana ia mempunyai implikasi serius dan disebabkan itu, ia perlu ditangani dengan bijak.

Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid bagaimanapun berkata hari ini beliau enggan menemui SIS kerana khuatir timbulnya prejudis dengan proses mahkamah.

Ketua Pengarah Ekskeutif (CEO) Yayasan Kesederhanaan Global (GMMF) Datuk Saifuddin Abdullah yang menganjurkan dialog hari ini berkata, beliau menyokong tindakan SIS melakukan permohonan semakan kehakiman kerana itu merupakan hak mereka.

"GMMF mengerti terdapat kecenderungan untuk menggunakan undang-undang, fatwa dan kuasa sedangkan ada kaedah yang lebih baik menangani isu itu.

"Dalam Islam, muzakarah, perbincangan dan lain-lainnya adalah digalakkan," kata Saifuddin. – 6 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/fatwa-tidak-berasas-pemimpin-pas-pertahan-sis#sthash.a89Lm3Ks.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,