Facebook pejuang tokgajah46

Rabu, Oktober 22, 2014

Penganjur 'sentuh anjing' tidak tepati persetujuan - MAIS

BERNAMA | 21 Oktober 2014.


SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada Selasa menjelaskan penganjur 'I want to touch a Dog' telah tidak menepati objektif program seperti dipersetujui dalam surat permohonannya.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata pihaknya difahamkan program berkenaan pada mulanya dianjurkan bagi memberi pencerahan atau kefahaman mengenai hukum berkaitan anjing dalam perspektif Islam.

Beliau berkata menerusi surat penganjur pada 3 Okt lalu, program berkenaan dibuat untuk memberi persepsi sebenar kepada umat Islam tentang keperluan menyelamatkan anjing dalam situasi kecemasan seperti kesakitan atau terbiar.

Katanya program itu juga dianjurkan bagi menerangkan kaedah yang mengharuskan umat Islam menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan, memegang dan mengendalikan anjing serta cara menyamaknya.

"Saya telah menerima cadangan mengadakan program sedemikian dan telah membincangkannya dengan lebih lanjut bersama salah seorang wakil muda daripada pencadang malah saya juga berbincang dengan Mufti Selangor dan menyampaikan kertas cadangan tersebut kepada pihaknya," kata beliau.

Mohamad Adzib berkata bagaimanapun perlakuan memegang, memeluk dan mencium anjing oleh orang Islam dengan sengaja seperti yang berlaku pada hari tersebut amatlah dikesali dan bertentangan dengan hukum syarak.

Tambah beliau, Jabatan Mufti Selangor telah memberikan panduan kepada penganjur menerusi surat pada 9 Okt lepas bahawa walaupun anjing banyak memberi manfaat kepada manusia, namun ia tetap haram jika sengaja disentuh oleh umat Islam dalam keadaan haiwan itu basah atau sebaliknya.

Ini kerana persentuhan itu dianggap sebagai najis berat tetapi jika kedua-duanya bersentuhan dalam keadaan kering, ia tidak dianggap najis, katanya.

"Oleh itu, jika ingin menjadikan anjing sebagai penjaga rumah atau untuk berburu, hendaklah ditambat di luar rumah bagi mengelakkan kita terlibat dengan najisnya," katanya.

Program yang dianjurkan di sebuah taman rekreasi di Bandar Utama pada Ahad lepas mendapat kritikan pelbagai pihak apabila umat Islam dibenar bermesra dan bermain dengan anjing yang dibawa peserta bukan Islam. - Bernama