Facebook pejuang tokgajah46

Sabtu, Oktober 18, 2014

DAP menguasai PKR dan PAS Selangor


(Suara TV) – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berpendapat PKR dan PAS Selangor banyak dipengaruhi pendirian DAP di negeri itu sehingga beberapa isu Islam gagal diselesaikan dan dibiarkan tenggelam begitu sahaja.

Menyentuh penganjuran pesta arak Oktoberfest yang berlangsung baru-baru ini, Naib Presiden (II) ISMA, Fauzi Asmuni berkata perbezaan pandangan di dalam PKR dan PAS juga dilihat menyukarkan keadaan.

Rakyat juga ‘keliru’ dengan kenyataan yang diberikan beberapa pemimpin PAS berhubungan penganjuran pesta itu.

“Saya tidak tahu mana satu kenyataan rasmi mewakili PAS. Itu masalah PAS.

“PKR bukan sahaja mengikut telunjuk DAP, namun pada saya isunya di dalam PKR sendiri kerana ada ahli yang bukan Islam. Jadi suara bukan Islam di dalam PKR bersatu dengan DAP dalam isu Oktoberfest.

“Orang Islam di dalam PKR kalah, dimana suara mereka tidak boleh melawan, atau yang menjadi masalah lebih besar sekiranya mereka yang Islam (di dalam PKR) merasakan Oktoberfest ini tidak ada masalah,” katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Dewan Ulama sebelum ini membantah sekeras-kerasnya penganjuran Oktoberfest ini dan mahu kerajaan negeri mengambil tindakan kepada pihak penganjur.

Pesta arak ini yang berakhir semalam di tempat letak kereta One Utama Shopping Centre.

Sehubungan itu Fauzi menggesa kepimpinan baru kerajaan negeri yang diterajui PKR menilai kembali kontroversi penganjuran pesta ini yang jelas bertentangan dengan undang-undang Islam negeri.

“Dua pendirian itu tidak betul. PKR sebagai sebuah parti pemerintah negeri dan yang menguasai PBT, jika nak benarkan orang bukan Islam menjual atau minum arak secara tertutup, itu dibolehkan.

“Tetapi jika nak buat pesta secara besar-besaran dan diadakan di tempat terbuka, dengan kuasa yang ada, mereka kena faham sensitiviti orang Islam dan melaksanakan janji-janji berkenaan perlembagaan, kedudukan Islam,” ujarnya.

Pesta arak yang mendapat reaksi negatif dari pelbagai pihak turut dihadiri seramai 5,000 pengunjung termasuk pemimpin dari PKR dan DAP.

Sebagaimana dilaporkan Mingguan Malaysia semalam, dilihat pengunjung yang hadir bersuka ria meminum minuman keras dengan latar muzik yang kuat.

Hadir ke pesta arak itu ialah exco kerajaan Selangor Elizabeth Wong, ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, pemimpin PKR , R Sivarasa, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R Rajiv dan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menegaskan kenyataannya bahawa program Oktoberfest yang dianjurkan untuk orang bukan Islam tidak boleh dihalang, kerana syariat Islam menjamin kebebasan beragama dan berkata bahawa ia tidak boleh dihadiri orang Islam.

Namun ia disanggah beberapa pemimpin parti Islam itu termausklah Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan dengan menyifatkannya sebagai mencabar sensitiviti penganut Islam di negara ini.

Selain kegagalan kerajaan negeri menangani isu pesta arak Oktoberfest, isu rampasan kitab Bible pada awal Januari lalu juga masih belum diselesaikan.