Facebook Atuk Banjar Masin

Ahad, September 28, 2014

"1Malaysia kena Tipu" - Perlantikan Azmin Kemuncak Perancangan Langkah Langkah Kajang............


(1MALAYSIA KENA TIPU) Pelantikan Azmin Kemuncak Perancangan Lengkap Langkah Kajang, kata Lee Chin Cheh, Bekas Adun Kajang


Lee Chin Cheh, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang meletakkan jawatannya untuk mencetuskan Langkah Kajang sehingga membawa kepada kebuntuan isu menteri besar Selangor berpendapat pelantikan Mohamed Azmin Ali adalah kemuncak kepada perancangan yang lengkap.

Bekas Adun Kajang itu percaya Langkah Kajang bukan satu kegagalan kerana PKR Selangor sejak mula lagi mahu Azmin menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Apa yang berlaku sekarang adalah apa yang kita mahukan selama ini, walaupun ia berlaku secara tidak sengaja berpusing-pusing," katanya.

Lee berkata, pemimpin PKR negeri bertemu kepimpinan tertinggi parti dua hari selepas pilihan raya umum 5 Mei tahun lepas, mencadangkan agar Azmin mengambil alih jawatan menteri besar, kerana mereka ragu-ragu dengan kesesuaian Khalid untuk terus menerajui Selangor.
Tetapi cadangan itu ditolak.

"Saya diberitahu kita tidak mempunyai kata sepakat daripada rakan-rakan Pakatan," katanya, merujuk kepada DAP dan PAS yang mahu Khalid untuk terus kekal menerajui negeri terkaya di Malaysia itu untuk penggal kedua.

"Mereka tidak memahami pertembungan kami dengan Khalid dalam PKR dan kita tidak boleh memaksa mereka untuk mempercayainya," katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemubual di firma guamannya di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Lee yang juga seorang peguam berkata, beliau tidak tahu mengapa kedua-dua pihak dalam pakatan itu memilih Khalid tetapi mengakui Azmin sering "disalah faham" ramai orang.
"Orang yang tidak mengenal dia selalu melabel beliau sebagai tamak, rasuah dan gila kuasa tetapi itu tidak benar.

"Beliau menunjukkan kebolehan kepimpinan yang besar, berkarisma sebagai pemimpin dan mempunyai kualiti untuk menggerakkan kami," kata Lee, yang pernah bekerja rapat dengan Azmin selaku ketua PKR negeri ini.

Beliau berkata, Langkah Kajang juga berjaya menggantikan Khalid, walaupun ia mengambil masa 8 bulan dalam huru-hara yang mendedahkan keretakan dalam Pakatan Rakyat (PR) dan mungkin memberi kesan kepada sokongan terhadap pakatan pembangkang daripada pengundi.

PKR mendakwa Langkah Kajang dan keputusan untuk meletakkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi itu adalah untuk mengukuhkan keupayaan pakatan pembangkang.

Pada masa itu, Lee, 43, berharap Anwar akan menarik Azmin menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran negeri. "Jadi bagi saya, Azmin berkaitan dengan langkah itu," katanya.
Bagaimanapun, keputusan itu gagal ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, yang menyebabkan PKR meletakkan isteri Anwar, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di kerusi itu.

Dr Wan Azizah memenangi pilihan raya kecil Kajang dan pilihan tunggal PKR dan DAP untuk jawatan MB itu, satu langkah yang ditentang pemimpin sekutu mereka iaitu PAS, yang merasakan beliau tidak layak.

Ini mencetuskan ketegangan dalam parti Islam itu dan juga dengan PKR dan DAP.
Awal minggu ini, Sultan Selangor melantik Azmin yang juga timbalan presiden PKR sebagai MB, mengakhiri kekalutan negeri untuk beberapa bulan.

Lee berkata, beliau lega krisis berakhir dan tumpuan untuk Azmin sekarang adalah pengurusan negeri yang berkesan dan membawa ketiga-tiga pihak untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang menjelang 2018.

"Terdapat lebih banyak kerja yang perlu dilakukan pada masa akan datang tetapi saya percaya ada peluang baik sekarang untuk dasar parti dilaksanakan dengan lebih berkesan dalam pentadbiran," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,