Facebook pejuang tokgajah46

Isnin, Oktober 14, 2013

Satu tamparan hebat terhadap PAS............

Kerajaan menang rayuan


PUTRAJAYA: The Herald, penerbitan mingguan Katolik dilarang daripada menggunakan kalimah Allah.
Ini berikutan Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara di sini hari ini untuk membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah "Allah" untuk merujuk kepada "Tuhan".

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia dianggap dapatan mahkamah bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.

"Mengenai keterangan di hadapan kita juga kami berpuas hati bahawa bahan rujukan yang mencukupi telah dipertimbangkan oleh menteri (dalam negeri) dalam melaksanakan tugas dan kuasa berkanun mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984," katanya.

Beliau berkata ia juga penghakiman mahkamah bahawa keadaan yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam permit penerbitan Herald melarang The Herald daripada menggunakan kalimah "Allah" tidak melanggar mana-mana hak perlembagaan gereja.

"Ia merupakan dapatan bersama kami bahawa penggunaan nama "Allah" bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian," kata Hakim Apandi yang membaca ringkasan keputusan itu.

Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pada 16 Feb, 2010, Ketua Paderi Gereja Roman Katolik Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada "Tuhan" dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.

Pada 31 Dis, 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sini undang-undang, tidak sah dan batal. - Bernama