Facebook Atuk Banjar Masin

Isnin, April 25, 2016

PH bakal berkubur tanpa nisan di PRN Sarawak

OLEH HAMDAN OTHMAN
Melihatkan kepada proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke 11 hari ini, rasanya parti Pakatan Harapan (PH) bakal berkubur tanpa nisan apabila dua sekutunya iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus ‘berperang’ dalam merebut kerusi yang dipertandingkan.

Pas yang ditendang DAP kini nampaknya lebih tenang bersendirian pada PRN Sarawak dengan hanya bertanding di 11 buah kerusi kerana tahu di mana kemampuan diri selain menghormati rakan pembangkang daripada PKR yang masih boleh diajak berbincang empat mata.

Tidak ada kekecohan berlaku dalam Pas yang bukan anggota PH malah sejak dari mula lagi, proses pemilihan calon PRN Sarawak yang mewakili Pas cukup tenang dan aman damai. Ini tidak berlaku dalam DAP dan PKR yang mana akhirnya kedua-dua parti itu terpaksa bertembung sesama sendiri untuk merebut kerusi dengan calon Barisan Nasional (BN).

Apa sudah jadi dengan PH? Ramai yang melihat PRN Sarawak adalah bukti ketidaksepakatan awal yang ditunjukkan oleh DAP dan PKR seolah-olah PRN ke 11 ini menjadi medan tikam belakang dan pertembungan dalam PH.

Boleh dikatakan hampir semua kerusi yang dipertandingkan pada PRN Sarawak ke 11 ini ada wakil calon DAP dan PKR yang memperlihatkan sekutu PH itu akan bergaduh sesama sendiri! Paling ditunggu, apakah bentuk kempen yang akan dibawa oleh PKR dan DAP nanti sehingga tiba hari mengundi pada 7 Mei nanti?

Kalau BN mendedahkan keburukan parti lawan, itu memang wajar tetapi adakah PKR akan mendedahkan keburukan DAP hanya kerana hendakkan kerusi yang ditandingi? Elok-elok dua penjuru, kini dah jadi tiga penjuru belum termasuk calon bebas! Antara kerusi paling panas dijangka berlaku di N23 Bukit Semuja dan N13 Batu Kitang yang sepatutnya menjadi milik DAP berdasarkan perjanjian PH tetapi pemimpin PKR tempatan membantah dan menghantar calonnya untuk bertanding.

Lima lagi kerusi yang menjadi rebutan PKR dan DAP adalah Tasik Biru, Mambong, Simanggang, Bukit Semuja dan Mulu. Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dalam satu kenyataan berkata, mereka bertanding di Batu Kitang dan Bukit Semuja kerana PKR meletakkan calonnya di kelima-lima kerusi berkenaan.

Siapa betul, siapa salah tidak penting lagi kerana apa yang pasti, peperangan di antara DAP dan PKR tidak dapat dielakkan sepanjang kempen PRN ke 11 ini. PH sudah tidak boleh diharapkan untuk membela rakyat seperti yang dilaungkan sewaktu penubuhannya bersama Parti Amanah Negara yang berani bersuara untuk meleraikan peperangan kedua-dua sekutunya itu.

Pas mungkin susah untuk menang tetapi sekurang-kurangnya, parti Islam itu tidak bersusah payah untuk merebut kerusi PRN Sarawak! Mungkin saat paling indah bagi Pas adalah menyaksikan DAP menentang PKR yang akhirnya akan menguburkan PH tanpa nisan seperti Pakatan Rakyat.--MalaysiaGazette

PRN Sarawak: 20 kawasan dijangka 'panas'

 Send by Email
Kuching – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti 20 kawasan yang dijangka ‘panas’ sepanjang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), 7 Mei ini.

Justeru itu, Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata pihaknya akan memberi lebih perhatian terhadap kawasan-kawasan berkenaan.

“Kita sudah mengambil tindakan awal di kawasan berkenaan, namun berdasarkan pengalaman kita di Sarawak sebelum ini, kami yakin tiada isu besar yang akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada petugas PDRM pada PRN-11 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata kesemua 7,000 pegawai dan anggota PDRM yang akan bertugas sepanjang PRN-11, diberikan kursus dan latihan terutama mengenai peraturan pilihan raya.

“Persiapan sudahpun bermula awal, kita telah mengadakan kursus dan latihan supaya mereka bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata semua anggotanya sudah bersedia sepenuhnya bagi memastikan kelancaran serta keselamatan orang ramai sepanjang proses pilihan raya negeri kali ini.

Zulkifli berkata PDRM juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM4 juta merangkumi semua aspek termasuk dari segi logistik.

“Peruntukan ini perlu bagi kelancaran tugasan dan memastikan supaya anggota kita berada di semua pusat mengundi di seluruh Sarawak,” katanya. – Bernama

Sabtu, April 09, 2016

Laporan: Dr M kini gesa campur tangan asing untuk 'jatuhkan' Najib

Dalam satu perubahan yang ironik, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilaporkan menggesa campur tangan antarabangsa untuk membantu "menjatuhkan" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Akhbar The Australian hari ini melaporkan bahawa ia adalah perubahan luar biasa bagi Dr Mahathir yang terkenal dengan ketegasannya menolak campur tangan asing dalam politik Malaysia semasa pentadbirannya.

"Biasanya saya tidak suka campur tangan asing dalam hal ehwal Malaysia tetapi saluran untuk kami telah ditutup sepenuhnya (di dalam parti dan melalui undang-undang zalim yang kini digunakan untuk menakut-nakutkan pengkritik)," Dr Mahathir dilaporkan memberitahu The Weekend Australian.

Bekas pemimpin veteran Umno itu dan juga bekas presiden parti itu dilaporkan mengadu kepada majalah hujung minggu akhbar harian Australian itu mengenai sikap tidak kisah negara itu terhadap skandal yang melanda Malaysia.

"Kerajaan Australia dilihat seperti tidak mahu menyinggung perasaan perdana menteri Malaysia," katanya.

[Baca berita penuh]

6 Kesalahan Besar 1MDB Yang Kita Tidak Tahu

Mujur ada siasatan terhadap macam-macam dakwaan salah laku syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak beberapa tahun.

Dengan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), dibantu laporan Ketua Audit Negara, sebahagian syak wasangka dan tuduh-menuduh selama ini sedikit sebanyak terungkai.

Walaupun isu ini belum tuntas, banyak dakwaan terus dilontarkan dan siasatan masih dijalankan oleh beberapa negara lain, berikut isi-isi utama laporan PAC yang diumumkan hari ini.

1. Ingkar keputusan dan arahan lembaga pengarah

Menurut laporan PAC, pihak pengurusan 1MDB beberapa kali tidak mematuhi keputusan dan arahan lembaga pengarah ataupun mengambil tindakan sebelum mendapat kelulusan khusus daripada lembaga pengarah.

Terdapat beberapa pelaburan dan pinjaman besar yang dibuat tanpa penilaian terperinci, termasuk penelitian kesannya terhadap aliran tunai syarikat. Banyak pula keputusan penting hanya dibuat melalui resolusi bertulis tanpa perbincangan dalam mesyuarat.

2. Bayar US$1.4 bilion ke Aabar Ltd, syarikat yang tidak pasti


1MDB membayar deposit cagaran sekitar US$1.4 bilion (RM5.5 bilion) kepada Aabar Ltd tanpa persetujuan lembaga pengarah.

Malah, bukan itu sahaja, bayaran dibuat tanpa memastikan syarikat tersebut benar-benar dimiliki dana kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC).

Sehingga kini, 1MDB masih belum dapat menentukan mana satu anak syarikat IPIC, Aabar Ltd ataupun Aabar Investments PJS di Abu Dhabi, yang mempunyai nama mirip.

3. Bayar US$700 juta ke firma tidak berkaitan urusan PetroSaudi

1MDB tidak mendapat kebenaran lembaga pengarahnya apabila membayar US$700 juta (RM2.72 bilion) kepada Good Star Ltd pada 2009, sebuah syarikat yang tiada kena mengena dengan usaha sama dengan firma minyak Arab Saudi, PetroSaudi International Ltd.

Daripada US$1 bilion peruntukan untuk usaha sama tersebut, 1MDB memindahkan cuma US$300 juta ke akaun bank JP Morgan (Suisse) SA milik syarikat bersama 1MDB PetroSaudi Ltd.

Manakala bakinya masuk ke akaun RBS Coutts Bank Ltd yang dimiliki Good Star.

4. Pecat dua firma audit berturut-turut, tidak tahan disiasat


Dalam tempoh empat tahun, 1MDB menamatkan khidmat dua syarikat audit terkenal Ernst & Young (EY) dan KPMG selepas mereka sering mendesak dokumen-dokumen penting.

Dokumen itu gagal diberikan oleh syarikat tersebut dan ia berbeza pendapat dengan firma-firma audit berwibawa itu.

EY diberhentikan pada 15 September 2010, sebelum 1MDB menghantar laporan kewangan pertamanya untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010.

KPMG pula diberhentikan pada 31 Disember 2013 sebelum laporan bagi tahun 2013 dikemukakan, lalu digantikan dengan Deloitte.

5. Berharap hutang berbilion-bilion, bahayakan Putrajaya


Kerajaan persekutuan berdepan dengan risiko sebesar RM20.3 bilion pada Oktober tahun lepas jika 1MDB gagal melangsaikan hutangnya.

Jumlah tersebut datang daripada jaminan kerajaan sebanyak RM5.8 bilion, surat sokongan untuk menjamin RM13.56 bilion dan juga kredit tunggu sedia sebanyak RM950 juta.

6. Jadi ‘anak emas’ Putrajaya, dapat banyak kelebihan

1MBD mendapat banyak kelebihan daripada pentadbiran Putrajaya yang tidak diberikan kepada anak-anak syarikat lain di bawah MOF Inc milik penuh Kementerian Kewangan.

Misalnya, 1MDB diberikan pengecualian cukai korporat untuk semua pendapatan selama 10 tahun sejak 23 November 2010.

Lembaga pengarahnya juga tidak mempunyai pegangan saham dan juga diberi pengecualian lain daripada peraturan kerajaan dalam aspek pengurusan bayaran perolehan, penggajian dan bonus kepada lembaga pengarah dan pengurusan.

http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/enam-kelemahan-1mdb-terkantoi-melalui-laporan-pac