Facebook pejuang tokgajah46

Isnin, Disember 26, 2016

Memastikan anak-anak terdidik dengan acuan Islam, PASTI dan SRITI adalah pilihan terbaik

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
Penggal baru persekolahan akan bermula dengan menyinsing fajar 2017, ibubapa yang terbeban dengan kos pendidikan yang meningkat juga sewajarnya memikirkan institusi pendidikan terbaik untuk anak -anak mereka. Dengan membuncahnya gejala sosial, buta al Quran dan seribu satu penyakit sosial kepada generasi muda hari ini maka ibubapa boleh memilih PASTI untuk pendidikan prasekolah dan SRITI untuk pendidikan rendah.

Dengan perkembangan pantas landskap politik, ekonomi dan sosial negara ini selepas kemerdekaan. Pendidikan prasekolah telah dibangunkan dengan pesat sama ada oleh pihak kerajaan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan, kesatuan sekerja setempat, badan-badan Islam seperti Perkim, persatuan gereja-gereja kristian, pertubuhan politik dan juga NGO-NGO Islam.

Berlakunya kebangkitan Islam di negara ini dalam dasawarsa 70-an dan 80-an telah turut menyemarakkan perkembangan pendidikan prasekolah, permintaan rakyat terhadap institusi pendidikan prasekolah Islam telah meningkat dengan berlakunya kesedaran Islam dalam keadaan peserta kebangkitan Islam tidak berpuas hati dengan prasekolah konvensional yang sedia ada di negara ini.

Riak untuk menubuhkan pusat prasekolah yang berorientasikan Islam semakin hebat pada penghujung dekad 70-an, terutama apabila kelompok kelas menengah Melayu semakin membesar terutama yang mempunyai kesedaran Islam. Penubuhan tadika-tadika Islam ini juga mempunyai sejarah yang menarik apabila ia berlaku persefahaman di antara ABIM dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat.

ABIM diamanahkan untuk menggerakkan institusi prasekolah ini yang dikenali sebagai TASKI (Taman Asuhan Kanak-kanak Islam). Pendokong ABIM pula sebahagian besarnya adalah aktivis PAS sehinggalah Anwar Ibrahim menyertai Umno pada tahun 1982 yang menyebabkan sebahagian besar ahli ABIM yang juga aktivis PAS telah meninggalkan ABIM.

Di Terengganu pada tahun 1985, TASKI telah dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu, manakala di Kelantan pula pusat pendidikan prasekolah yang ditaja oleh Lajnah Tarbiah Dewan Pemuda PAS Kelantan dikenali sebagai Putra Islam.

Di negeri Kedah pula telah diwujudkan pendidikan prasekolah dibawah kendalian Dewan Pemuda PAS Kedah yang dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam. Dewan Pemuda PAS Kedah yang dipimpin oleh Hj Najib Pahmi Yahaya telah menubuhkan Pasti di setiap kawasan di Kedah yang dikendalikan oleh Pemuda PAS kawasan masing-masing.
Menurut Ustaz Haji Fauzi Husain, kebangkitan pendidikan pra sekolah Pasti ini berpunca daripada Majlis Ihtifal Pasti bertempat di Bangunan Tepian Gelanggang oleh Tuanku Sultanah Bahiyah iaitu Permaisuri Sultan Kedah sendiri pada penghujung tahun 1988. Penubuhan Pasti dengan pantas mendapat sambutan di Kedah termasuk pelajar bukan Islam turut dihantar belajar seperti di kawasan Padang Serai dan juga Kodiang, Kedah.

Perkembangan pesat pendidikan prasekolah di bawah kendalian Dewan-dewan Pemuda PAS Negeri telah menyebabkan timbulnya usul dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1988 supaya diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.

Keprihatinan pemuda PAS ini juga berkait rapat dengan persaingan agenda kaderisasi dengan pertubuhan Islam lain di negara ini dan juga manifestasi kekecewaan Pemuda PAS dengan sistem pendidikan negara yang dilihat gagal melahirkan pelajar yang memahami Islam dengan baik.

Dewan Pemuda PAS Pusat yang sewaktu itu dipimpin oleh Dato Haji Abu Bakar Chik telah mengambil tindakan susulan daripada usul muktamar Pemuda PAS.

Satu tindakan diambil dalam mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai jabatan pendidikan prasekolah dibentuk diperingkat pusat diketuai oleh Dr Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan pendidikan prasekolah ini.

Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung seminar prasekolah di Masjid Rusila, Terengganu yang telah dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Seminar ini adalah rentetan daripada keseriusan Dewan Pemuda PAS untuk merakyatkan pendidikan prasekolah yang berorientasikan Islam di negara ini dengan penglibatan PAS dengan sistematik.

Dua orang tokoh pendidikan PAS telah membentangkan kertas kerja iaitu Ustaz Dato Harun Taib dan Ustaz Abdul Halim Arshad.

Dalam sejarah penubuhan PASTI dan perkembangannya, Dr Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai pengarahnya yang pertama pada 18 Mei 1989, manakala Hj Mohd Najib Fahami Yahaya sebagai Timbalan Pengarah PASTI Pusat. Setiausaha PASTI Pusat yang pertama ialah Hj Ishak Ismail manakala bendaharinya ialah Hj Noh Ahmad. Semua pengarah-Pengarah PASTI negeri telah dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa PASTI peringkat Pusat.

PAS juga telah mempunyai jaringan pendidikan sekolah rendah yang agak merata di seluruh negara semenjak awal dekad 90an. Pendidikan rendah berorientasikan Islam semakin sistematik apabila Dewan Pemuda dibawah Ustaz Mohamad Abduh menubuhkan SRITI pada tahun 2015 dan merupakan kesinambungan pendidikan prasekolah PASTI yang terbukti berjaya melahirkan pelajar yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Sesi baru persekolahan 2017 ini sebanyak 74 buah SRITI akan beroperasi di medan operasi masyarakat, bahkan diunjurkan ratusan lagi akan menebarkan khidmat bakti sebelum 2020. Kepercayaan masyarakat muncul apabila dua institusi ini berjaya mencetak pelajar yang bermutu tinggi dalam mendepani cabaran millenia baru ini. Dua institusi ini juga adalah produk tarbiah nizomi gerakan Islam yang bukan hanya berpencak dimedan siasah, namun jauh lebih besar lagi menyediakan generasi al Quran yang unik. Jom! kita membantu serta memberdayakan pendidikan Islam di tanahair ini.