Facebook Atuk Banjar Masin

Jumaat, Jun 03, 2016

PRK: Wanita Umno akan perjelas RUU Mahkamah Syariah

Pembentangan usul Rang Undang-undang Persendirian berkaitan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 tidak akan memberi kesan kepada BN meraih sokongan pengundi bukan Melayu dalam dua pilihan raya kecil (PRK) pada 18 Jun ini.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan itu akan turun padang untuk memberi penjelasan mengenai RUU tersebut kepada pengundi sewaktu berkempen di PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

"RUU ini mungkin menjadi isu tetapi kita akan memberi penjelasan. RUU tersebut sebenarnya bukan hudud seperti yang digempar-gemburkan oleh pihak pembangkang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Festival India Global 2016 di ibunegara semalam.

RUU itu dibentang oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga ahli Parlimen Marang, di Dewan Rakyat, Khamis lepas.

Shahrizat turut merayu kepada pengundi agar terus memberikan mandat kepada calon BN bagi kedua-dua pilihan raya itu.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Datin Mastura Mohd Yazid merupakan calon BN di Kuala Kangsar manakala Budiman Mohd Zohdi, calon BN di Sungai Besar.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno mengambil pendekatan mendekati pengundi di Kuala Kangsar dalam menangani pelbagai tohmahan terhadap calon BN yang disebarkan menerusi media sosial.

Naib Ketua Pemudanya Khairul Azwan Harun berkata pihaknya akan bergerak sebagai agen pemasaran bagi memastikan calon BN Datin Mastura Mohd Yazid menang pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Kuala Kangsar itu.

"Kita tidak berasa sukar (untuk berkempen bagi pihak Mastura), kita bersedia untuk memastikan pengundi memilih calon BN pada PRK ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Kerjaya dan Pekerjaan di Safari Resort di Kuala Kangsar hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekangan Mastura yang tidak dapat berkempen berikutan masih dalam edah selepas kematian suaminya yang juga penyandang kerusi berkenaan dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.

Mengulas lanjut mengenai pelbagai tohmahan terhadap Mastura di media sosial, Khairul Azwan berkata mereka yang menyebarkan tohmahan itu perlu sedar bahawa pengundi di Kuala Kangsar bijak dalam menilai calon BN itu.

"Kalau orang di sini tidak kenal calon macam mana boleh nak bertanding? Datin Mastura sudah dikenali ramai (di Kuala Kangsar)," katanya.

Pengundi di Kuala Kangsar juga sedar bahawa Mastura pastinya komited untuk meneruskan perjuangan suaminya dalam membela penduduk kawasan berkenaan, katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRK itu adalah pada Ahad ini, manakala pengundian 18 Jun.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,