Facebook pejuang tokgajah46

Jumaat, Februari 05, 2016

Bashah perlu segera pulihkan BN dan UMNO Kedah - veteran

Sebagai orang lama dalam arena politik Kedah, Ahmad Bashah diharap dapat menakhodai Umno/BN dalam pelayaran yang bergelombang menuju pantai PRU14. Foto TRP/ Adib Hakim
KUALA LUMPUR, 5 Februari:

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah perlu segera memulihkan keadaan Barisan Nasional (BN) di Kedah, sebaik selesai krisis Menteri Besar di negeri itu ekoran tindakan ketua Umno Bahagian yang menuntut Datuk Seri Mukhriz Mahathir melepaskan jawatan tersebut.

Tan Sri Abdul Aziz Rahman, yang mengetuai Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) berkata, baki dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seharusnya digunakan bagi memantapkan kembali perpaduan antara mereka untuk memastikan BN terus kekal menguasai negeri itu.

“Jadi keadaan politik di negeri Kedah itu sendiri merupakan satu aset besar kepada BN kerana PRU14 sudah tidak lama lagi, jadi ia memerlukan masa untuk memantapkan, merapatkan semula barisan

“Memang ada tergurisnya perasaan-perasaan orang yang menyokong Mukhriz yang selama ini menunjukkan cara kepimpinan remaja dia,” kata Presiden Mubarak itu kepada The Rakyat Post.


“Masa yang diluangkan untuk merapatkan barisan itu wujud, jadi kena guna masa sebaik mungkin untuk merapatkan jurang itu.”

Beliau berkata, tempoh dua tahun itu juga begitu singkat untuk Ahmad Bashah yang baru diangkat menjadi Menteri Besar menggantikan Mukhriz yang melepaskan jawatan itu pada Rabu.

“Dua tahun ini tidak lama, tetapi cukup untuk mereka berusaha untuk merapatkan kepimpinan dan juga pengikut-pengikut untuk BN akan kekal pada PRU akan datang,” katanya.

Beliau berkata, lebih cepat isu itu diselesaikan lebih baik kerana ia bakal memberikan harapan kepada rakyat Kedah.

“Pertukaran telah dibuat selepas beberapa hari perundingan berlaku, jadi ini penting sebab lebih cepat benda ini diselesaikan lebih baik, kerana ianya memberi harapan kepada rakyat untuk satu lagi pentafsiran yang boleh menumpu membawa pembangunan negeri Kedah itu sendiri

“Ini perkara biasa, sudah berlaku di Terengganu dan beberapa tempat beberapa kali, di Kedah itu sudah berlaku,” katanya.

“Di dalam politik ini satu kebiasaan, saya percaya ianya boleh diuruskan.

“Dan terbukti akhirnya selesai, pada mulanya ia mengambil masa dan berakhir dengan baik. Pada saya itu sudah cukup baik,” tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Veteran Umno Malaysia Datuk Mustapha Yaakub berkata, beliau mengharapkan Bashah mampu menyatu padukan kembali Umno Kedah yang retak susulan krisis tersebut.

“Veteran berharap sebagai orang lama dalam arena politik Kedah, beliau akan berjaya menakhodai Umno/BN dalam pelayaran yang bergelombang menuju pantai PRU14.

“Semoga beliau berjaya menyatukan Umno. Yang retak dipeterikan, yang putus disambungkan dan yang pecah disatukan,” katanya.

Beliau berkata, Mukhriz berjaya menunjukkan sikap mementingkan rakyat dan parti daripada terus berada dalam suasana tidak menentu yang boleh menjadikan kerajaan negeri menjadi lumpuh ketika krisis tersebut berlaku.

“Veteran yakin Mukhriz berjiwa besar dan beliau boleh menerima ketentuan Allah dengan berlapang dada,” katanya.

Malah, beliau turut melihat, sebagai pemimpin muda, Mukhriz masih mempunyai peluang untuk kembali ke dalam arus perdana politik sekiranya beliau tidak melatah dan tahu mengimbangi percaturan dan silat politik.

“Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran yang amat berharga kepada Mukhriz,” katanya.

“Veteran yakin, dengan kerjasama, dan sokongan kuat dari mereka, Umno Kedah akan bekerja sebagai satu pasukan yang kuat bagi mempastikan Kedah kekal dikuasai Umno/BN dalam PRU14 nanti,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2016/02/05/bashah-perlu-segera-pulihkan-bn-dan-umno-kedah-veteran/#ixzz3zFT3d33E