Facebook Atuk Banjar Masin

Rabu, November 04, 2015

BN tuntut penjelasan Azmin RM500 juta DEIG Land

OLEH YASMIN RAMLAN
Barisan Nasional Selangor tuntut Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali beri penjelasan bagaimana syarikat Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) Land terima tawaran pinjaman bank sebanyak RM500 juta selepas 2 bulan ditubuhkan. Gambar fail The Malaysian Insider, 4 November, 2015.

Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini menuntut penjelasan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali bagaimana syarikat Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) Land menerima tawaran pinjaman bank sebanyak RM500 juta selepas 2 bulan ditubuhkan.

Adun Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi berkata apakah aset yang dicagarkan kerajaan negeri sehingga DEIG Land menerima tawaran dengan jumlah yang besar itu.

Katanya, DEIG Land merupakan anak syarikat kepada DEIG yang ditubuhkan pada Mei 2015 dan menerima tawaran pinjaman tersebut pada Julai.

Beliau berkata, Azmin sebelum ini sejak sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu, sering kali menekankan syarikat pelaburan itu masih belum beroperasi.

"Bagaimana sebuah syarikat yang dikatakan belum beroperasi boleh menerima tawaran pinjaman bank? Apakah asas sebuah syarikat baharu didaftarkan boleh menerima tawaran pinjaman sebanyak RM500 juta?

"Tentunya tawaran sebuah bank komersial menimbulkan persoalan kerana menteri besar Selangor kerap kali menyebut DEIG belum lagi beroperasi," katanya kepada pemberita pada sidang media di Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama bank yang terlibat tetapi hanya menyatakan ia sebuah bank tempatan.

Budiman mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak meneruskan pelan penyelesaian asal melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tetapi sanggup membiarkan DEIG berhutang dan menanggung beban faedah yang tinggi.

"Bentangkan secara telus, lengkap dan komprehensif kesemua aset milik negeri yang dicagarkan kepada tawaran pinjaman tersebut," katanya.

Katanya lagi, beliau dimaklumkan pada 22 Julai 2015, DEIG Land menerima tawaran pinjaman daripada sebuah kumpulan perbankan utama di Malaysia, pinjaman RM500 juta untuk mengambil alih dan melunaskan hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sebanyak RM413.2 juta kepada kerajaan negeri.

"Pinjaman tersebut dilaporkan melibatkan aset negeri sebagai cagaran termasuk tanah. Semasa permohonan pinjaman dibuat dan diluluskan, DEIG Land hanya mempunyai 2 ahli lembaga pengarah dan 2 pemegang saham dengan nilai pegangan RM1 setiap seorang.

"Pada masa sama juga, menteri besar memaklumkan yang DEIG dan anak-anak syarikatnya masih belum beroperasi," katanya.

Tambahnya, isu kegagalan anak syarikat KDEB membayar hutang RM413.2 juta kepada kerajaan negeri seperti dibangkitkan dalam sidang negeri Selangor oleh Azmin semalam amat mencurigakan dan mengundang pelbagai persoalan.

Budiman berkata, ini kerana menurut Azmin, KDEB hanya membayar balik RM5 juta daripada jumlah keseluruhan terkini yang menjangkau RM429.728 juta setelah diambil kira caj pembiayaian pada kadar 4% setahun.

"Ini menjadikan baki pinjaman tidak berbayar bernilai RM424.728 juta," katanya. – 4 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bn-tuntut-penjelasan-azmin-pinjaman-rm500-juta-deig-land#sthash.HhApcSDY.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,