Facebook Atuk Banjar Masin

Sabtu, September 26, 2015

Tiada Parti Wakili Kaum India Dalam Pakatan Harapan - NewGen Party

AIDCNews – 25/9/15 – Tiada parti yang mewakili kaum India dalam Pakatan Harapan, oleh itu Parti Generasi Baru (NewGen Party) berharap dapat mengisi kekosongan itu kata Setiausaha Agung parti itu, S. Gobi Krishnan.

“NewGen Party yang merupakan parti berbilang kaum untuk semua rakyat Malaysia tetapi didominasi oleh kaum India di Malaysia bertanyakan parti mana dalam Pakatan Harapan yang menjaga kepentingan kaum India di negara ini,” kata Gobi Krishnan dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, Parti Pekerja Malaysia atau Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan parti berbilang kaum, tetapi kedua-dua parti itu “didominasikan oleh kaum Melayu yang menjaga kepentingan masyarakat Melayu”.

“Begitu juga DAP, sebuah parti berbilang kaum tetapi didominasikan oleh kaum Cina yang melihat kepada kepentingan masyarakat Cina. Jadi, siapa yang akan menjaga kepentingan kaum India dalam Pakatan Harapan yang baharu dibentuk?

“NewGen Party sendiri menawarkan Pakatan Harapan untuk menjaga kepentingan kaum India,” tambah Gobi.

Beliau turut mendakwa, ramai orang India yang menyertai PKR pada 2008 kemudiannya telah menyedari bahawa parti itu bukan menjaga kepentingan orang India.

“Ia (PKR) hanya ‘Umno mini’ yang majoriti kepimpinan mereka dikawal oleh ahli politik bangsa Melayu.

“Sekarang terdapat kekosongan untuk orang India. Inilah di mana NewGen party akan tampil mengisi kekosongan dan menjuarai isu-isu di sekeliling masyarakat India,” katanya lagi.
Newgen Party adalah salah satu daripada 20 parti baharu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada tahun 2013.

Pengasas Newgen adalah S. Gobi Krishnan yang merupakan aktivis PKR bertindak keluar daripada parti itu pada Januari 2013.

Semasa aktif dalam PKR, Gobi adalah pernah menjawat jawatan Setiausaha Biro Strategi dan Polisi Kebangsaan PKR.

“Saya meninggalkan PKR kerana tidak boleh mengubah keadaan dalam parti dengan efektif. Jadi, saya fikir adalah lebih baik untuk melakukannya dengan sendiri,” kata Gobi yang dipetik daripada The Star Online.

Selain Newgen, tiga parti baharu di Semenanjung turut diluluskan ROS iaitu Parti Keadilan India Malaysia (MIJP), Parti Nasional Malaysia (MNP) dan Parti Nasional Penduduk Malaysia.

ROS turut meluluskan 11 parti baharu di Sabah iaitu Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Baru), Parti Gagasan Bersama Rakyat Sabah (Parti Bersama), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Kebenaran Sabah (Kebenaran), Parti Bersatu Bugis Sabah, Parti Ekonomi Rakyat Sabah (Pers), Parti Pembangunan Warisan Sabah, Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (Sapu) dan Parti Damai Sabah (Parti SPP).

Manakala 5 parti baharu juga turut diluluskan di Sarawak iaitu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru), Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (Persb) dan Parti Rakyat Gabungan Jaksa Pendamai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,