Facebook pejuang tokgajah46

Sabtu, Jun 13, 2015

PAS kini lebih teruk daripada Umno, kata Kassim Ahmad

OLEH LOOI SUE-CHERN
Aktivis Dr Kassim Ahmad menganggap PAS berada di jalan sempit dan terkebelakang kerana dasarnya yang tertutup serta tidak progresif. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Jun, 2015.

PAS kini lebih teruk daripada Umno dan malah berfikiran lebih sempit dan mundur, kata aktivis Dr Kassim Ahmad, susulan keputusan pemilihan parti itu minggu lalu.

Pada pemilihan yang diadakan ketika Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor itu, golongan ulama dan konservatif membolot semua jawatan tertinggi.

"Sekurang-kurangnya Umno ada semangat kebangsaan," kata pemikir berusia 82 tahun itu kepada The Malaysian Insider.

Kassim berkata, gabungan Pakatan Rakyat (PR) kini gagal dan semua parti di dalamnya, bukan sahaja PAS, “dua kali lima” juga.

"Mereka semuanya fanatik. Jika mahu jadi pakatan yang dipilih rakyat, ia perlu lebih progresif daripada pesaingnya, Umno.

"Tetapi mereka gagal. Jadi bagaimana mereka hendak yakinkan rakyat?" soalnya.

Muktamar PAS itu dikatakan dicemari fitnah yang dilemparkan kepada puak progresif dalam parti yang dianggap lebih mesra dengan PKR dan DAP.

DAP menjadi sasaran kemarahan apabila Dewan Ulama PAS meluluskan usul supaya parti itu memutuskan hubungan dan kerjasama dengan parti itu.

Ia satu tindak balas kepada keputusan DAP pada Mac yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menentang hudud di bawah Enakmen Jenayah Syariah Kelantan.

Usul itu kemudiannya diterima tanpa bahas oleh muktamar utama, satu keputusan yang dibuat pemimpin kanan parti itu tetapi dikritik hebat perwakilan.

Kassim berkata, tiada beza antara kemenangan kem pro-ulama atau bukan, kerana baginya, parti Islam itu sudah berada di jalan yang sempit dan terkebelakang.

"Dasar PAS kini tidak seperti zaman Dr Burhanuddin Helmy yang bersikap terbuka dan progresif dalam kepimpinannya," katanya merujuk kepada presiden ketiga PAS yang memegang jawatan itu dari 1956 hingga 1969.

"Hari ini, dasar PAS tertutup dan tidak progresif. Ia bertentangan dengan Islam yang mengajar umatnya cara hidup yang progresif," katanya, menggesa umat Islam mengikuti ajaran al-Quran.

Kassim yang sebelum ini terpalit kontroversi kerana mempertikaikan hadis Nabi berkata,situasi itu terjadi kerana orang Islam di Malaysia mengamalkan mazhab Shafie yang disifatkannya sempit dan kolot.

Salah satu contoh ajaran konservatif katanya, ialah wanita Islam wajib menutup kepala mereka.

Katanya, 95% wanita Islam di negara ini memakai tudung, mengikuti ajaran ulama yang mengatakan rambut itu aurat.

"Tetapi 35 tahun lalu, ibu saya dan wanita generasi itu tidak pernah memakai tudung. Mereka memakai selendang.

"Ini merupakan fenomena yang berlaku selepas Revolusi Iran (juga dikenali Revolusi Islam pada 1979).

"Iran ialah negara teokrasi dan ajaran ulamanya sempit dan jumud," katanya.

Kassim berkata beliau sedia berdebat dengan PAS berhubung dasarnya dalam Islam yang kini sempit dan terkebelakang.

"Saya sedia berdebat dengan mereka," katanya sambil bersetuju dengan label "ular dalam semak" yang sering diberikan kepada golongan ulama dalam PAS akhir-akhir ini.

Beliau pada Isnin lalu melalui blognya menulis di bawah tajuk "Ancaman kepada negara dan bangsa Malaysia kini", Malaysia kini diancam dua bahaya besar, iaitu rasuah dalam Umno dan fahaman agama yang sempit, jumud dan fanatik.

Katanya, parti tulang belakang pemerintahan Malaysia kini korup, dan ia di peringkat yang amat teruk.

Beliau berkata, retorik transformasi yang dilaungkan Najib tidak boleh membersihkan korupsi yang parah itu.

Mengenai ancaman kedua, katanya banyak institusi “Islam” muncul dan dianggotai petugas yang sempit dan berfikiran jumud, mengambil kesempatan dari peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Islam sebagai agama Persekutuan dan perisytiharan Umno yang Malaysia sebuah negara Islam.

Kassim berkata, itu merupakan strategi Umno melawan PAS.

"Bagaimana kita hendak mengatasi bahaya ini? Umno mesti membangunkan fahaman Islam yang luas, terbuka dan humanis dalam dirinya. Demikian juga patriot daripada agama lain.

"Mereka harus memanggil satu persidangan nasional untuk menimbulkan kefahaman keagamaan yang luas, humanis dan progresif," katanya, sambil menambah, perlu satu perbincangan yang ikhlas oleh pemimpin negara.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-lebih-teruk-daripada-umno-kata-kassim-ahmad#sthash.LxTCrU5M.dpuf