Facebook Atuk Banjar Masin

Jumaat, April 03, 2015

Pemimpin Sarawak pertahan Najib, yakin BN menang PRU14

Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini daripada serangan Tun Dr Mahathir Mohamad, mengatakan setakat yang negeri itu tahu, Najib “akan menang besar di Sarawak pada pilihan raya umum (PRU) 2018”.

Tan Sri James Masing yang merupakan presiden parti Dayak yang terbesar, Parti Rakyat Sarawak (PRS), berkata ini kerana Najib membela kebajikan mereka yang mengundi BN, merujuk kepada sokongan rakyat Sabah dan Sarawak.

Menteri pembangungan tanah negeri itu juga mengatakan kenyataan Dr Mahathir yang rakyat di Sarawak tidak lagi percayakan Najib adalah tidak benar.

Perdana menteri paling lama berkhidmat itu semalam melemparkan kritikan paling keras terhadap Najib di dalam blog popularnya chedet.cc, menjangka kekalahan BN dalam PRU akan datang sekiranya Najib masih berkuasa.

Masing tidak setuju dengan perkara itu, mengatakan yang Najib, tidak seperti 5 perdana menteri sebelumnya, termasuk Dr Mahathir sendiri, bukannya hanya mementingkan Semenanjung dalam polisinya, sebaliknya juga menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat Sabah dan Sarawak, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Daripada 5 perdana menteri sejak 1963, hanya Najib seorang yang betul-betul prihatin dengan kebajikan Sabah dan Sarawak,

“Beliau mengiktiraf 16 September, tarikh yang dekat dengan rakyat Sabah dan Sarawak sebagai Hari Malaysia, 50 tahun selepas kemerdekaan.

“Beliau memperuntukkan dana untuk pembangunan Lebuhraya Pan Borneo sementara 4 perdana menteri sebelum ini, termasuk Dr Mahathir, tidak kisah langsung.”

Masing berkata, di bawah perdana menteri sebelum ini, “lebuh raya di Malaya dibina dari utara ke selatan, timur ke barat dan merata tempat.”

Katanya, berkata projek mega berbilion ringgit seperti Menara Berkembar Petronas, 2 jambatan di Pulau Pinang dan 'jambatan bengkok' yang gagal, semuanya dibina di Semenanjung.

Beliau berkata, hasil pandangan sempit perdana menteri terhadap Malaysia sebelum ini, “kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak tidak diendahkan.”

“Najib ambil masa melawat dan memperuntukkan dana bagi membangunkan Sabah dan Sarawak.

“Najib merupakan perdana menteri yang paling banyak melawat 2 negeri timur ini.”

“Beliau lakukannya kerana faham yang Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian penting Malaysia.

“Tanpa 2 negeri ini, tiadalah Malaysia.

“Perdana menteri sebelumnya, semuanya nampaknya hanya tumpukan pada Malaya.”

Masing berkata beliau yakin BN di bawah kepimpinan Najib akan terus mentadbir Malaysia selepas PRU14 pada 2018.

“Bagaimanapun, lebih mudah sekiranya Umno kekal bersatu padu, kerana parti yang bercelaru susah untuk dipertahankan,” katanya.

Dr Mahathir sejak tahun lepas terus-terusan menyerang Najib kerana perbezaan pendapat mereka berhubung soal dasar.

Dalam blog popularnya semalam, beliau menyenaraikan pelbagai dakwaan yang dibuat terhadap Najib dan mengatakan tidak satu pun antaranya dijelaskan sepenuhnya.

Ini termasuk kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu serta kenyataan daripada pembunuhnya, bekas komando Sirul Azhar Umar, yang merupakan bekas pengawal peribadi Najib.

Dr Mahathir juga menyentuh masalah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mempersoalkan keperluan Putrajaya memberikannya bantuan kewangan hampir RM1 bilion, pembelian tanah kerajaan yang dibuatnya dan perjanjian yang diragui dengan syarikat tidak dikenali ramai, PetroSaudi International.

“"Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Najib. Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar Umno, dan dengan itu BN, akan kalah jika Najib memimpin Umno hingga PRU14,” tulis beliau. – TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=262442:pemimpin-sarawak-pertahan-najib-yakin-bn-menang-pru14&Itemid=2#ixzz3WDWb9RQl
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,