SEPANG, 27 Januari:
Siapa sangka di kala negara menuju ke arah negara maju yang pesat membangun, penduduk di Sepang atau lebih khusus bagi mereka yang tinggal di Tanjung Sepat berhadapan dengan masalah yang berlarutan hampir 60 tahun.
Masalah pencemaran bau dan air melibatkan najis babi ekoran wujudnya penternakan haram yang banyak di sekitar kawasan tersebut.
Tinjauan The Rakyat Post mendapati penduduk di kawasan tersebut masih berhadapan masalah yang sama walaupun pentadbiran kerajaan negeri bertukar ganti.
Anak jati Kampung Ladang Tumbuk, Noredah Endut, melahirkan kekecewaan kerana tidak ada tindakan yang efektif diambil mana-mana pihak untuk menyelesaikan masalah ini.
Katanya, masalah ini gagal diselesaikan kerana adanya unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Bila kita cakap, bertahun-tahun tak ada tindakan yang diambil seolah-olah ada yang menghalang. Bila tak ada bukti kita memang tak boleh tuduh, tapi cuba fikir, kalau tak ada yang memberi dan tidak ada menerima, sudah pasti masalah ini boleh selesai.
“Tapi bila ada yang memberi dan ada yang menerima memang tidak selesai masalah. Kenapa sungai-sungai lain boleh selesai masalah, sungai di Batu Untung ini tidak boleh selesai masalah bertahun-tahun.
“Kita bukan pendatang tahu di sini, kita penduduk asal. Mak saya sendiri dah berumur 90 tahun dah,” katanya.
Tambah Noredah, sungai di bahagian tepi rumahnya terjejas teruk dengan hakisan najis babi.
Keadaan tebing tanah yang sekian hari sekian menipis menjadikan pemilik tanah itu enggan berputus asa untuk memperjuangkan keselesaaan penduduk setempat.
Malah katanya, masalah ini amat mudah diselesaikan sekiranya pihak kerajaan negeri mahupun pihak berkuasa melaksanakan tugas sewajarnya.
“Masalah ini memang dah berlarutan 30 ke 40 tahun, tetapi tidak ada inisiatif nak selesaikan masalah ini. Kita minta bersihkan sungai, kalau sungai itu bersih dan tak ada najis-najis melalui longkang-longkang di sekeliling rumah kita. Kita nak sungai itu dibersihkan, itu sahaja yang kita minta. Kalau kita tengok sekarang, kita buat ujikaji, dan Jabatan Kimia lihat itu sudah pasti reject, sebab apa kita tengok dengan mata kasar pun tahu air itu tidak menepati nilai PH yang sepatutunya
“Tak kan nak jadi macam Cameron Highland pula macam ada yang mati baru tindakan nak diambil. Sebab pada saya penyelesaian sangat mudah, semak nilai PH sungai, bersihkan sungai macam sungai-sungai lain-lain. Kita selesaikan ini dulu, soal pembiakan babi itu boleh kita fikirkan kemudiannya, yang penting ini selesaikan dulu. Ini tidak ada tindakan langsung,” katanya kecewa.
Menurutnya lagi, penternak babi di sekitar kawasan terbabit yang gagal mengikut prosedur perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.
Ini termasuk bagi mereka yang melakukan operasi penternakan secara haram perlu diambil tindakan dengan menyita perniagaan terbabit.
“Kita ada bercakap juga dengan penternak, masalah dia di sini, penternak berlesen buat buang najis itu ikut prosedur, yang tak ikut prosedur adalah mereka yang tidak berlesen.
“Buat la macam Cameron Highland, mana yang haram itu kita ambil tindakan. Penguatkuasa ambil tindakan, keluarkan yang tidak berlesen,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, bagi Abd Samad Ahmad, 61, beliau mengakui dirinya seakan-akan sudah lali dengan bau busuk najis haiwan tersebut.
Malah beliau seakan-akan mati akal untuk berusaha mengatasi masalah berkenaan memandangkan perniagaan ternakan babi itu dijalankan di tanah milik penternak-penternak terbabit.
“Apa yang saya boleh buat. Saya dah biasa dah dengan bau ini, tapi bila anak-anak balik memang kuat lah bau. Kalau angin bertiup bawa memang berbau. Saya memang dah lama dah hidu bau ni. Kalau aduan pula, tak ada juga tindakan yang diambil.
“Kita nak cakap lebih-lebih pun tak berani, sebab itu hak dia (penternak babi), mereka buat atas tanah mereka. Tak pernah selesai masalah ini, dari dulu, bukan tak bercakap,” ujarnya ketika ditemui di rumah beliau di Kampung Ladang Tumbuk.
Bagi Morsazila Sahar, 32, yang sudah lebih 20 tahun menetap di situ, beliau juga mempunyai pendirian yang sama dengan Abd Samad.
Sekiranya bau najis babi menerpa ruang rongga pernafasan beliau sekeluarga, pendekatan yang diambil adalah hanya duduk di dalam rumah.
“Bau ini ikut angin, kalau angin lalu memang bau kuat. Lori babi lalu memang akan ada bau kuat. Mengganggu juga bau itu sebenarnya. Kalau dah mula berbau itu, saya dan anak-anak duduk sajalah di dalam rumah, tak keluar. Kalau hujan lagi la, kuat baunya.
“Nak selesai pun, saya tak rasa boleh selesai pun,” katanya.
Masalah bau najis babi di kawasan tersebut bukanlah satu masalah baru, malah telah mendapat liputan meluas oleh media arus perdana dan juga media elektronik.
Namun sejauh mana kesungguhan pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah ini, ikuti siri selanjutnya bersama ADUN Tanjung Sepat, Ir Mohd Haslin Hassan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
, , , ,