Facebook Atuk Banjar Masin

Isnin, November 10, 2014

'Rahmat' dari banjir lumpur di Cameron Highland

Imigresen gempur PATI 
di Cameron Highlands
Operasi pertama susulan laporan Utusan 181 tiada dokumen sah ditahan
OLEH SAYED HESHAM IDRIS (UTUSANPERAK@UTUSAN.COM.MY) | 10 November 2014 2:55 AM
SEBAHAGIAN daripada pendatang asing tanpa izin yang diberkas dalam operasi besar-besaran dijalankan oleh Jabatan Imigresen di beberapa kawasan sekitar Cameron Highlands, Pahang, semalam. – utusan/Zulkarnain Mohd. Saidin

CAMERON HIGHLANDS 9 Nov. - Jabatan Imigresen mula menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membanjiri tanah tinggi di sini menerusi ‘Ops Gempak Tapi Mesra’ di beberapa buah pekan di kawasan tanah tinggi itu hari ini.

Operasi dijalankan mulai pukul 12 tengah hari hingga pukul 4 petang ini di sekitar pekan Ringlet, Brincang, Kuala Terla dan Kampung Raja.

Sepanjang operasi, sebanyak 581 warga asing ditangkap dan setelah diperiksa, 181 daripada mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh (78), Nepal (40), Myanmar (20), India (10), Indonesia (10) Vietnam (1), Sri Lanka (1) manakala selebihnya dari lain-lain negara.

Sebahagian besar warga asing terlibat ditangkap ketika mereka sedang menghabiskan cuti hujung minggu bertemu rakan-rakan.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Bahagian Kawalan, Datuk Sakib Kusmi berkata, operasi itu adalah yang pertama dijalankan oleh jabatan itu khas untuk menggempurkan PATI susulan laporan akhbar Utusan Malaysia mengenai kebanjiran golongan tersebut di daerah ini.

Menurut beliau, selepas ini operasi akan diperhebatkan lagi sehingga kawasan tanah tinggi itu bebas daripada warga asing yang mema­suki negara ini secara tidak sah.

“Hari ini merupakan operasi pertama dalam menggempur PATI di sini susulan daripada pendedahan oleh pihak media.

“Operasi hari ini tertumpu di kawasan pekan di sini dan selepas ini kita akan masuk sehingga ke kebun sayur di daerah ini untuk mengesan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, operasi hari ini tidak seperti serbuan terhadap PATI yang biasa dilakukan, sebaliknya pihaknya membuat tangkapan secara mengejut tanpa disedari orang ramai, termasuk pelancong.

Menurut beliau, operasi disertai oleh pegawai penguat kuasa dari setiap negeri di Semenanjung.

“Ini adalah kali pertama kita mengadakan operasi yang disertai oleh anggota dan pegawai dari setiap negeri iaitu seramai 369 orang yang membuat tangkapan di kawasan-kawasan yang telah kita tetapkan.

“PATI yang mereka tahan kemudiannya akan dihantar ke depot tahanan negeri masing-masing dan disiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah warga asing di daerah ini sememangnya agak tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja terutama dalam sektor pertanian.

Menurut beliau, terdapat 11,016 warga asing yang bekerja secara sah di pelbagai sektor di daerah ini dengan 10,592 daripadanya bekerja di bidang pertanian, 221 di bidang perkhidmatan, 150 di ladang, 49 pembinaan dan empat orang di sektor pembuatan.

Beliau berkata, sebahagian besar mereka terdiri daripada warga Bangladesh, diikuti Nepal, Indonesia, India, Myanmar, Pakistan, Vietnam dan Sri Lanka.

“Berdasarkan jumlah pemeriksaan warga asing seramai 581 yang kita lakukan hari ini, bermakna masih ramai yang perlu kita kesan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,