Facebook Atuk Banjar Masin

Sabtu, November 15, 2014

Kanak-kanak 9-10 tahun berisiko hidapi Ambliopia

BERNAMA


IPOH: Kanak-kanak berusia sembilan hingga 10 tahun di negara ini berisiko mendapat masalah Ambliopia atau mata malas, yang merupakan isu kesihatan serius.

Pakar Mata di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Datuk Dr Jasvinder Singh berkata mata malas menyebabkan penglihatan kabur dan tidak dapat dibetulkan dengan cermin mata, kanta lekap atau pembedahan mata.

Pada masa ini, sebanyak 40 peratus daripada kanak-kanak peringkat usia itu berdepan masalah mata malas.

"Mata malas berpunca antaranya kerana kanak-kanak berkenaan hanya menggunakan satu mata untuk proses penumpuan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari Penglihatan Sedunia 2014 negeri Perak di HRPB di sini, hari ini.

Raja Datuk Seri Yong Sofia Almarhum Sultan Azlan Shah hadir merasmikan program sambutan itu yang bertema "No More Avoidable Blindness" (Cegah Kebutaan Boleh Elak) serta menyampaikan cermin mata kepada 10 warga emas dan 20 anak yatim dari Asrama An-Nur Maisarah dan Budi Mulia Nurul Huda.

Hari Penglihatan Sedunia merupakan acara tahunan yang disambut setiap Khamis pada minggu kedua Oktober. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kebutaaan dan masalah penglihatan.

Dr Jasvinder, yang juga pengerusi sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2014 Perak, berkata pemeriksaan mata berkala perlu dilakukan selepas bayi dilahirkan untuk mengelak risiko masalah mata malas.

"Mata malas adalah penyakit kekal jika pemeriksaan dan rawatan awal tidak dilakukan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua murid supaya menjalani pemeriksaan mata dengan pihak perkhidmatan perubatan kerajaan di sekolah.

"Jika murid dikesan mempunyai masalah mata malas, dia akan dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan pakar," jelasnya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

, , , ,