Facebook Atuk Banjar Masin
Rabu, Mac 05, 2014
Isu Kalimah Allah - Mahkamah Persekutuan Tangguh Keputusan Rayuan.........
Umat Islam hari ini membanjiri Istana Kehakiman Putrajaya – tempat mahkamah tertinggi di Malaysia – bagi menanti dengan debaran berhubung kes rayuan penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katolik.
Gereja berharap diberikan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan kontroversi Mahkamah Rayuan Oktober lalu yang melarang mereka menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan bahasa Malaysia mingguan The Herald.
Gereja membangkitkan 26 persoalan yang boleh disumpulkan dalam tiga kategori, iaitu:
Persoalan perlembagaan Perkara 3 berhubung kedudukan Islam, Perkara 11 berhubung kebebasan beragama dan Perkara 12 yang membenarkan setiap agama menguruskan hal ehwal masing-masing.
Sama ada menteri dalam negeri bertindak melebihi kuasa dengan mengekang kebebasan asas.
Sama ada mahkamah boleh memutuskan isu perbandingan agama berdasarkan kajian Internet.
LAPORAN LANGSUNG
11.55am Ketua Biskop Tan Sri Datuk Murphy Pakiam diiringi polis ke kereta beliau melalui satu lagi pintu mahkamah.
11.27am Pendengaran ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
11.25am Manjeet Singh Dhillon, mewakili Majlis Perundingan Buddisme, Kristian, Hindu, Sikhisme dan Taoisme (MCCBHST) menyatakan kebimbangan berhubung hak minoriti menggunakan kalimah Allah.
11.16am Cyrus berkata, dalam kes The Herald, menteri tidak menunjukkan sebab pengharaman penggunaaan kalimah Allah.
Benjamin Dawson pula berhujah, pada tahun 1982, kalimah 'Allah' dibenarkan diguna menggantikan “Tuhan” dalam Alkitab.
Benjamin menunjukkan buku doa Kristian pada 1984 bersama sebuah lagi penerbitan dalam bahasa Melayu pada 1985 yang terdapat kalimah Allah.
11.15am Keadaan bertukar kecoh apabila hadirin mula cuba untuk merempuh anggota polis yang berkawal di pintu masuk Istana Kehakiman untuk pergi ke lobi mahkamah.
Hadirin melaungkan "La ila Ha Illalah" (Tiada Tuhan Melainkan Allah) dan bertakbir secara keras sambil terus mengasak anggota polis yang bertugas.
Hadirin cuba ditenangkan oleh Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris dan Penolong Setiausaha PERKASA, Norlizaizul Ismail.
Polis terus bertahan di hadapan pintu dan keadaan semakin bertambah kecoh apabila pengerusi majlis yang meminta hadirin bertenang dan berundur ke belakang ditarik oleh hadirin yang kelihatan semakin berang.
Punca kekecohan dikenal pasti apabila hadirin mendakwa wakil COMANGO dibenar masuk ke lobi mahkamah.
11.05am Cyrus berkata, perkara itu sepatutnya diputuskan mahkamah tinggi. Beliau membandingkan dengan kes pengharaman buku terbitan NGO Sisters in Islam, yang diedarkan dua tahun sebelum perintah pengharaman dikeluarkan.
“Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menarik balik pengharaman itu kerana menteri gagal menunjukkan buku itu menjejaskan ketenteraman awam.
“Dalam kes ini, kami telah menggunakan kalimah Allah tanpa sebarang insiden,” katanya kepada mahkamah.
10.57am Cyrus berkata, dakwaan menteri semata-mata berasaskan khabar angin. Ditanya hakim Justice Malanjum, Cyrus berkata, The Herald sudah menggunakan kalimah Allah selama 14 tahun sehingga 2009 tanpa sebarang insiden.
Cyrus berkata, masalah hanya bermula selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung perkara itu.
10.55am Cyrus tidak bersetuju dengan hujah Sulaiman bahawa ketenteran awam dan tidak boleh dicabar. Beliau membangkitkan, Keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan tindakan menteri dicabar.
10.52am Merujuk kepada kitab sembahyang Kristian, yang menggunakan kalimah Tuhan dan bukan Allah, dihujahkan bagawa kebenaran tidak perlu diberikan untuk tujuan akademik dan mesti diputuskan di mahkamah lebih rendah.
10:50am Hanif meminta bukti bagi menunjukkan terjemahan perkataan God sama dengan Allah. Katanya, perkataan Allah dapat kamus merujuk peada Deus. Hakim Malanjum kemudian berkata, Deus adalah istilah Latin untuk God.
10.45am Mubashir juga berkata, jika kebenaran diberikan, akan berlaku rayuan balas pada pertikaian yang tidak boleh diadili (non-justiciability).
Katanya, menteri mempunyai kuasa untuk mengenakan peraturan larangan kepada Herald dan jika beliau tidak lakukan begitu, ia mencabuli kuasa pemerintah untuk mempertahankan agama Islam.
10.35am Mubashir berkata, kita sebenarnya menghadapi persoalan salah terjemah dan ia tidak berkaitan dengan isu sama ada Islam campur tangan dengan agama Kristian sama sekali.
10.30am Sulaiman berkata, pengharaman kalimah itu oleh menteri tidak mempunyai niat jahat atau mala fide serta tidak bertindak secara salah.
Sebelum itu, Cyrus berkata, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melihat dengan dekat isu hak-hak beragama golongan minoriti.
Mubashir Mansor pula berhujuh bagi pihak majlis agama di Johor, Kedah, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Katanya, kalimah 'Allah' adalah kalimah daripada bahasa Arab yang diimport ke dalam agama Kristian.
10.22am Sulaiman berkata, menteri bertanggungjawab terhadap negara dan orang Melayu amat mengambil berat tentang Islam. Beliau memetik kes Natrah di Singapura.
Katanya, orang Krisitan tidak boleh menggunakan kalimah Allah untuk terjemahan kepada God dalam bahasa Melayu.
10.15am: Sulaiman Abdullah pula berkata, skema perlembagaan berdasarkan kebebasan bersuara yang tertakluk kepada ketenteraman awam dan moral.
10.10am Selesai majlis solat hajat yang berlangsung selama kira-kira 45 minit, Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali diberi kesempatan oleh pengacara majlis untuk berucap kepada hadirin.
Dalam ucapannya, Ibrahim mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu berucap di gereja di Kajang baru-baru ini, tergamak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam atas alasan "Allah Tuhan sekalian alam".
"Makhluk-makhluk begini sanggup menggadaikan agama demi kepentingan politik," kata Ibrahim merujuk kepada Anwar.
Tegasnya, orang bukan Islam tidak layak menggunakan kalimah itu kerana tidak beriman kepada Allah.
9.45am Cyrus berkata, penghakiman Mahkamah Rayuan melampau kedua-dua pihak dalam permohonan itu.
Ini termasuk 1.6 juta Bumiputera Kristian di Malaysia Malaysia Timur, yang menyumbang kepada 64 peratus orang Kristian di seluruh negara.
“Terdapat juga perbezaan pandangan berhubung penghakiman mahkamah rayuan ekoran ada yang berkata kamu tidak boleh menggunakan kalimah Allah di Semenanjung Malaysia dan ini menyebabkan kekeliruan.”
Katanya, hak golongan minoriti terjejas ekoran penghakiman itu.
9.37am Cyrus Das, peguam mewakili gereja, memulakan penghujahan untuk memohon kebenaran itu.
9.33am Mahkamah Persekutuan memulakan sesi.
9.05am: Sebahagian hadirin mula bersolat hajat di hadapan Istana Kehakiman bagi memohon kepada Tuhan agar hakim yang mendengar perbicaraan hari ini terbuka hati untuk mengekalkan keputusan.
Pada waktu sama, di satu sudut berhampiran pintu masuk mahkamah, seorang wanita tanpa tudung mencuri perhatian apabila memakai baju hitam dengan tulisan "Allah Rabb Al Alamin Allah Tuhan Seluruh Alam" dan memegang beberapa jambangan bunga kekwa.
Dikenali sebagai Siti Kassim, beliau yang menjelaskan hadir di mahkamah bersama empat orang lain menegaskan beliau mahu menunjukkan sisi lain orang Melayu yang tidak menyokong pandangan kalimah Allah eksklusif untuk orang Islam.
"Sesiapa pun jangan takut dan jangan fikirkan Islam yang mereka pamerkan adalah Islam yang sebenarnya," katanya sambil menegaskan akan mengedarkan bunga kekwa itu kepada orang ramai.
8.52am: peguam utama Gereja Katolik, Porres Royan masuk ke dewan mahkamah.
Seorang lagi peguam kanan Datuk Sulaiman Abdullah juga hadir, mungkin mewakili kumpulan Islam.
Kakitangan mahkamah juga dilihat membawa kerusi tambahan ke dalam dewan mahkamah yang sudah penuh termasuk mereka yang berada di meja peguam yang kebanyakannya menjadi pemerhati.
8.50am: Orang ramai memenuhi dataran di hadapan Istana Kehakiman dengan kebanyakannya memakai pakaian berwarna merah - dan sebahagiannya dengan tulisan 'Allah Just For Muslim Fight No Fear'.
Sebuah bas dengan kertas bertanda 'Perkasa Kedah 02' baru sahaja menurunkan penumpang-penumpangnya di hadapan Istana Kehakiman.
Orang ramai yang memenuhi dataran di hadapan istana kehakiman mula berselawat.
8.30am: Selain daripada tujuh kumpulan Islam yang menjadi pencelah dalam permohonan itu, terdapat beberapa peguam yang mewakili pelbagai kumpulan Kristian sebagai pemerhati dalam prosiding itu.
Kumpulan-kumpulan Kristian itu adalah Vatican Embassy, Majlis Gereja Dunia, Sidang Injil Borneo Semenanjung, Sidang Injil Borneo Sabah, Sidang Injil Borneo Sarawak, Persatuan Gereja Sarawak, dan Majlis Gereja Sabah .
Majlis Peguam juga menjadi pemerhati.
Juga dilihat di mahkamah ialah bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu dan Presiden Peguam Malaysia, Christopher Leong.
8.05am: Sah - permohonan didengar oleh panel tujuh hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Yang lainnya Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.
Tiga lagi anggota panel hakim tersebut ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.
7.53am: Ketua Biskop Murphy Pakiam, perayu dalam permohonan yang didengar hari ini tiba. Pemeriksaan keselamatan dilakukan ke atas mereka yang memasuki Istana Kehakiman di Putrajaya.
Peguam ketua biskop Gereja Katolik itu berharap untuk mendapat kebenaran bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan Oktober lepas yang melarang gereja tersebut menggunakan kalimah 'Allah' dalam seksyen Bahasa Malaysia Mingguan The Herald.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
, , , ,